Mata Helang: Jalur Gemilang terbalik, maruah pun tersungkur

Jalur Gemilang bukan sekadar kain berjalur merah putih dengan bulan sabit dan bintang pecah empat belas, ia lambang kedaulatan dan identiti.

Feature Image (3)

SETIAP kali bulan Ogos menjelma, riuhlah negara dengan pesta mengibarkan Jalur Gemilang.

Daripada bangunan pencakar langit hinggalah ke pondok usang, daripada kenderaan mewah berkilauan hinggalah ke motosikal yang rantai pun longgar, bendera akan dipasang dengan penuh semangat kononnya demi menunjukkan cinta pada tanah air.

Namun, setiap kali tiba musim patriotisme ini, berita yang sama juga akan muncul di dada media, Jalur Gemilang dipasang terbalik, bintang bercacat cela, jalur terlebih atau terkurang, serta warna yang entah siapa yang mereka rujuk.

Bagai sudah menjadi tradisi, kesilapan ini diulang saban tahun seolah-olah kita semua sedang diuji tahap IQ kebangsaan melalui sehelai kain yang sepatutnya menjadi simbol kebanggaan.

Apabila ditegur, alasannya sungguh menyayat hati. Ada yang kata terlalu sibuk sehingga tidak sempat menyemak, ada yang menyalahkan pembekal kerana menghantar bendera cetakan salah, malah ada yang dengan bangga berkata bendera itu diimport dari luar negara.

Jalur Gemilang bukan sekadar kain berjalur merah putih dengan bulan sabit dan bintang pecah empat belas, ia lambang kedaulatan dan identiti tetapi setiap kali ia dikibarkan secara terbalik, mesej yang disampaikan ke seluruh dunia ialah Malaysia sedang berada dalam kecemasan, kucar-kacir atau menyerah kalah.

Malang sekali, mesej sebegini bukan datang daripada musuh luar tetapi rakyatnya sendiri.

Fenomena ini sebenarnya mencerminkan budaya patriotisme kita yang hanya muncul setahun sekali.
Menjelang 31 Ogos, tiba-tiba semua mahu menjadi wira negara. Kereta dipasang bendera kecil berderet-deret, konvoi merdeka diadakan sambil hon dibunyikan tanpa henti dan slogan ‘Merdeka!’ dilaungkan seolah-olah negara baru sahaja bebas semalam.

Namun sebaik sahaja masuk bulan September, semangat itu hilang begitu sahaja. Bendera yang lusuh dibiarkan reput di tiang, ada yang tersangkut di longkang, malah tidak kurang pula yang dijadikan alas kaki atau dilipat bersama sampah.

Beginilah wajah patriotisme ala mi segera. Mendidih sekejap, kemudian basi sebelum sempat dihirup.
Jika diteliti lebih dalam, masalah ini berpunca daripada kegagalan kita mendidik generasi baharu tentang makna sebenar bendera.

Di sekolah, pelajar diajar menghafal tarikh kemerdekaan dan nama tokoh perjuangan tetapi berapa ramai yang boleh melukis Jalur Gemilang dengan betul tanpa rujukan?

Ada guru sendiri yang keliru memasang bendera semasa perhimpunan rasmi. Kalau guru pun tidak pasti, bagaimana pula dengan murid?

Ia bukan sekadar kesilapan teknikal tetapi kegagalan sistem pendidikan dalam menanam rasa hormat terhadap lambang negara.

Kita boleh menyanyi lagu Negaraku setiap pagi, tetapi hati kosong. Kita boleh melaungkan ‘Hidup Malaysia!’ tetapi tangan sendiri tidak mampu memastikan bendera dipasang dengan betul.

Ahli politik pun tidak kurang hebatnya dalam hal ini. Berapa kali kita menyaksikan program rasmi kerajaan, malah kempen pilihan raya, yang memaparkan Jalur Gemilang terbalik atau salah cetak?

Bila ditegur, mereka menyalahkan kontraktor dan menafikan tanggungjawab. Katanya isu kecil tetapi lucunya, jika ada individu di media sosial yang mempersendakan bendera, laporan polis akan segera dibuat dengan alasan menghina Jalur Gemilang.

Hipokrasi jenis apa ini? Kalau benar bendera itu lambang maruah negara, maka kecuaian mengibarkannya dengan betul juga satu penghinaan.

Bezanya, ia dilakukan dengan tidak sengaja atau mungkin dengan tidak peduli.

Sebenarnya, Jalur Gemilang hanyalah cermin yang memantulkan wajah kita. Bila ia dipasang terbalik, ia bukan sekadar salah kain atau salah tiang tetapi refleksi mentaliti sambil lewa yang sudah sebati dalam masyarakat.

Kita terlalu selesa dengan alasan, terlalu pandai mencari kambing hitam, terlalu suka berpura-pura cinta negara sedangkan jiwa kosong daripada makna patriotisme sebenar.

Kita ingin dikenali sebagai bangsa yang merdeka, tetapi kita tidak mampu menjaga simbol kemerdekaan itu sendiri.

Maka, jangan terkejut jika generasi muda hari ini lebih mengenal logo syarikat permainan video berbanding rupa sebenar Jalur Gemilang.

Jangan salahkan mereka semata-mata, kerana kita sendiri yang gagal memberi contoh.

Kita suka berarak dengan bendera ketika bulan Ogos tetapi selepas itu dibiarkan reput. Kita marah orang luar jika menghina bendera tetapi kita sendiri tidak serius menjaganya.

Inilah wajah patriotisme plastik, nampak gah di luar, kosong di dalam.

Malaysia tidak akan runtuh hanya kerana sehelai bendera terbalik tetapi maruah negara akan runtuh jika rakyatnya terus bersikap acuh tak acuh terhadap simbol kebangsaan.

Jika kerajaan benar-benar serius, tindakan tegas mesti diambil. Adakan kempen kesedaran sepanjang tahun dan bukan hanya sebulan sebelum Merdeka serta pastikan setiap institusi seperti sekolah, pejabat, syarikat, badan bukan kerajaan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan, bukan sekadar hiasan bermusim.

Akhirnya, kita harus jujur mengakui bahawa bendera yang dipasang terbalik itu sebenarnya lambang yang lebih besar.

Ia bukan sekadar kesilapan teknikal tetapi cerminan bahawa mentaliti kita sendiri sudah lama terbalik.
Selagi Jalur Gemilang terus diperlakukan sebagai aksesori bermusim, selagi itulah kita hanya merdeka pada nama, tetapi tidak pada jiwa.