Wahai ibu, imbangilah rehat dan amanah pembentukan jiwa anak

Maka lahirlah budaya me time, kopi sendirian di kafe, kelas self-care dan skrol tanpa henti di media sosial

Feature Image (3)

DALAM dunia yang serba pantas hari ini, ramai wanita yang bergelar ibu sama ada ibu bekerja atau suri rumah sepenuh masa berhadapan dengan tekanan yang bukan sedikit. Ibu bekerja bergelut dengan jadual yang padat, tugasan profesional yang tidak pernah habis dan pulang ke rumah dengan beban tanggungjawab menunggu.

Ibu suri rumah pula mungkin tidak berada di pejabat tetapi rutin harian mereka tidak kurang memenatkan lantaran perlu mengurus rumah, menjaga anak, mengendalikan emosi dan melakukan ribuan ‘tugasan kecil’ yang tidak terlihat. Kedua-duanya tetap bergelar ‘ibu’ dan melalui kepenatan yang kadangkala sukar difahami oleh sesiapa.

Tekanan berlapis ini mendorong ramai ibu mencari ruang untuk bernafas. Maka lahirlah budaya healing, me time, kopi sendirian di kafe, kelas self-care dan skrol tanpa henti di media sosial. Fenomena ‘ibu penat’ bukan sekadar keluhan di media sosial tetapi ia realiti yang menghiris emosi ramai wanita hari ini. Namun, yang lebih membimbangkan ialah apabila “penat mental” diganti dengan hiburan yang membuat jiwa semakin kusut.

Hakikatnya, Islam mengiktiraf keperluan ibu untuk berehat, memulihkan tenaga dan menjaga kesejahteraan diri. Ini bermaksud, semua aktiviti yang menjadi pilihan para ibu untuk merehatkan diri bukanlah menjadi satu kesalahan. Bagaimanapun, apa yang merisaukan ialah apabila budaya me time, healing, self-care dan seumpamanya perlahan-lahan berubah menjadi budaya escape, lalu tanggungjawab keibuan tercicir tanpa disedari.

Ibu sebagai madrasah pertama

Al-Quran mengangkat martabat kaum ibu bukan hanya kerana keletihan mengandungkan atau melahirkan tetapi kerana peranan mereka dalam mendidik jiwa anak. Pendidikan akhlak bermula daripada suasana rumah yang dikawal dengan teladan dan perkataan yang lembut, bukan sekadar arahan dan menyediakan keperluan material.

Realitinya, dalam proses membesar, anak-anak akan lebih banyak memerhati daripada mendengar. Oleh itu, jika ibu boleh bersabar, maka anak juga akan belajar bersabar, jika ibu mudah melatah, anak turut menyerap reaksi itu. Begitu juga jika ibu kembali kepada Allah SWT di saat kelelahan, maka anak melihat tempat bergantung yang sama.

Islam tidak pernah melarang para ibu untuk mencari kerehatan dengan cara me time, healing dan seumpamanya. Bahkan Rasulullah SAW sendiri dalam sebuah Hadis menegaskan bahawa tubuh, jiwa dan keluarga masing-masing mempunyai hak yang perlu dipenuhi (Hadis Sahih, Riwayat Bukhari)

Namun, rehat yang bermanfaat bukanlah rehat yang menjauhkan ibu daripada keluarga tetapi yang memulihkan tenaga, menambah kesabaran dan melenturkan hati. Ramai ibu mengeluh kekurangan masa, sedangkan sebenarnya mereka hanya tidak tahu bagaimana cara yang betul untuk memanfaatkan masa tersebut.

Masa-masa yang ada sering dihabiskan untuk melayari media sosial yang bermula dengan alasan ‘sekejap sahaja’ tetapi akhirnya memakan masa yang berjam-jam lamanya. Rehat yang dijadualkan lima belas minit selepas Subuh, sepuluh minit sebelum Zohor atau setengah jam ketika anak tidur sebenarnya sudah memadai dan lebih menenangkan serta membantu mengekalkan keseimbangan hak diri dan hak keluarga.

Kadangkala, me time terbaik bukan bermaksud perlu bersendirian atau sentiasa berbentuk hiburan tetapi bagaimana masa berkualiti diluangkan bersama anak-anak seperti membaca buku, memasak atau sekadar berpeluk sebentar. Me time seorang ibu juga tidak semestinya jauh dari rumah. Ada me time yang lebih menenangkan daripada sekadar kopi atau skrol media sosial iaitu saat ibu kembali kepada Tuhan.

Islam sendiri mencadangkan bentuk me time yang mengikat terus hubungan langsung seorang hamba dengan Allah. Solat yang dilakukan tanpa tergesa-gesa, beberapa ayat al-Quran yang dibaca sepenuh hati, atau berzikir sambil memeluk anak semuanya akan menjadi terapi yang sangat menenangkan dan menyembuhkan jiwa ibu yang penat. Kajian menunjukkan sepuluh hingga lima belas minit hubungan fokus ibu-anak sehari cukup bagi mengurangkan tantrum, meningkatkan kerjasama dan menstabilkan emosi kedua-duanya.

Anak-anak tidak akan mengingati berapa kali ibu keluar minum kopi sendirian tetapi mereka akan lebih mengingati memori semasa kecil di mana ibu benar-benar hadir dengan hati, perhatian dan sentuhan.

Kembali kepada al-Quran

Al-Quran telah merakamkan banyak contoh perjalanan hidup wanita-wanita agung yang telah berperanan dengan baik dalam aspek pendidikan anak serta membentuk masyarakat bertamadun. Sebagai contoh; Hajar, ibu Nabi Ismail AS, menunjukkan keberanian, kesabaran dan tawakkal ketika ditinggalkan di padang pasir, mengajar Ismail tentang keimanan dan daya usaha sejak kecil. Seterusnya, Sarah, ibu Nabi Ishak AS, walaupun menghadapi ujian panjang menanti kelahiran anaknya, tetap bersabar dan menanam keyakinan kepada janji Allah SWT, menjadi teladan akhlak dan ketabahan bagi generasi seterusnya.

Maryam binti Imran pula mendidik Nabi Isa AS dengan kasih sayang, iman dan keteguhan hati walaupun dalam cabaran sosial. Tidak dilupakan isteri kepada Fir’aun iaitu Asiyah binti Muzahim yang tidak gentar menegakkan tauhid dan nilai moral walaupun bersuamikan lelaki yang sangat zalim.

Setiap sosok ini mengajar bahawa kekuatan seorang ibu bukan pada kesempurnaan, tetapi pada iman, karakter, dan kasih sayang yang dipandukan wahyu. Dalam sebuah hadis, baginda Nabi SAW juga menyatakan: “Dan wanita (isteri/ibu) adalah pemimpin dalam rumah tangganya dan dia akan dimintai pertanggungjawaban atas urusan ahli rumahnya.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Peranan ibu sangat ditonjolkan kerana kedekatan mereka dengan anak, terutamanya pada fasa awal perkembangan. Ibu adalah pendidik pertama, pengasuh emosi dan pelindung nilai moral anak. Tanpa kehadiran ibu yang menyeluruh secara fizikal, mental dan emosi maka pendidikan rumah tangga menjadi pincang.

Kesimpulannya, budaya me time dan healing sememangnya tidak salah tetapi perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab keibuan menurut al-Quran. Anak-anak memerlukan ibu yang hadir sepenuh hati, melihat, mendengar dan memeluk mereka dengan kasih sayang.

Al-Quran tidak memaksa ibu untuk menjadi sempurna tetapi memanggil ibu kembali kepada peranan asal iaitu membentuk akhlak dan karakter generasi. Dalam masa yang sama, sokongan suami pula sangat penting dalam mengurus institusi keluarga.

Akhirnya, tanggungjawab ibu bukanlah untuk menyaingi dunia luar tetapi membentuk dunia kecil yang ada di hadapan mereka iaitu membangunkan jiwa seorang anak yang sedang belajar menjadi sebaik-baik manusia.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.