UiTM–TDTU perkukuh hubungan diplomasi belia ASEAN melalui CrossBridge 2026

Memperkasa agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan mengukuhkan kerjasama dua hala dan serantau dalam kalangan negara ASEAN.

Feature Image (6)

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2026 — Program antarabangsa CrossBridge 2026: Connecting Young Diplomats of ASEAN anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban berjaya memperkukuh hubungan diplomasi belia serantau menerusi kerjasama strategik bersama Ton Duc Thang University (TDTU), Vietnam pada 2 Februari lalu.

Program yang dilaksanakan melalui Kelab International Voluntary and Diplomatic Association (DIPLOMAT) itu turut diserikan dengan kehadiran Naib Konsul (Pendidikan), Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, Koh Bee Ching, sekali gus memberi nilai tambah dari segi hubungan diplomatik dan pendidikan antara kedua-dua negara.

Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam memperkasa agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta mengukuhkan kerjasama dua hala dan serantau dalam kalangan negara ASEAN.

Program tersebut melibatkan penyertaan 15 pelajar dan tiga pensyarah UiTM Cawangan Seremban yang diketuai Dr. Muhammad Aiman Awalluddin dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi selaku Penasihat Kelab DIPLOMAT, bersama Dr. Mohd Ramlan Mohd Arshad dan Dr. Raja Mayang Delima Mohd Beta.

Delegasi UiTM bergabung dengan 30 pelajar serta lima staf akademik TDTU yang diketuai Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr. Pham Thi Ha Thuong bagi menjayakan pelaksanaan program tersebut.

Sepanjang program, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk syarahan perbandingan sistem pentadbiran dan kerja sosial Malaysia-Vietnam, kelas seni kaligrafi, aktiviti kesukarelawanan, lawatan akademik serta sesi pertukaran budaya dan dialog dua hala.

Aktiviti berkenaan bukan sahaja memperkukuh perkongsian ilmu dan pengalaman, malah memupuk semangat toleransi, empati serta kefahaman lintas budaya dalam kalangan belia ASEAN.

Pengarah Program Pelajar, Emir Luqman Muhammad Sharil berkata, CrossBridge 2026 membuktikan keupayaan pelajar UiTM melaksanakan program berimpak tinggi di peringkat antarabangsa serta memperkukuh jaringan global.

“Program ini menjadi platform penting dalam membentuk graduan berwawasan antarabangsa dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Dr. Muhammad Aiman berkata, program berkenaan berperanan sebagai medium strategik dalam membentuk pemimpin muda beridentitikan ASEAN serta memperluas jaringan akademik serantau.

Menurutnya, CrossBridge 2026 bukan sekadar program mobiliti, malah menjadi pemangkin kepada kolaborasi penyelidikan dan pertukaran akademik pada masa hadapan.

Sokongan berterusan daripada pihak TDTU turut memastikan kelancaran pelaksanaan program sekali gus mengukuhkan hubungan jangka panjang antara kedua-dua institusi.

Secara keseluruhan, CrossBridge 2026 selari dengan agenda nasional pengantarabangsaan institusi pengajian tinggi serta berperanan sebagai inspirasi kepada generasi muda untuk menyumbang kepada pembangunan ASEAN yang lebih harmoni dan berdaya saing.