Keberkatan dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan
Setiap kali memasuki bulan Rejab dan Syaaban, pasti majoriti orang Islam akan berharap agar dapat dipanjangkan usia serta sempat menjadi tetamu Ramadan.

TIAP masa dan peluang yang datang biasanya tidak berulang kembali lagi. Setiap detik masa yang Allah kurniakan dalam kehidupan perlu dihargai dengan baik.
Setiap kali memasuki bulan Rejab dan Syaaban, pasti majoriti orang Islam akan berharap agar dapat dipanjangkan usia serta sempat menjadi tetamu Ramadan.
Doa yang masyhur dan sering diungkapkan, Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikan kami ke bulan Ramadan.
Lantaran itu, apakah keberkatan yang didambakan setiap orang Islam sama ada dalam bulan tertentu atau sepanjang kehidupan?.
Pastinya, keberkatan yang diharapkan adalah dalam semua urusan duniawi sama ada melibatkan keberkatan usia, ilmu, rezki, keluarga dan seumpamanya.
Asasnya keberkatan merangkumi ketenangan, kecukupan, kemanfaatan dan kebahagiaan.
Dalam al-Qur’an, terdapat sembilan bentuk ungkapan (sighah) bagi perkataan berkat dalam 32 ayat yang diwahyukan oleh Allah SWT.
Ulama memberikan pelbagai pentafsiran terhadap erti berkat. Antaranya adalah ketetapan kebaikan Ilahi dalam sesuatu perkara yang mana sesuatu yang diberkati adalah apa yang mengandungi kebaikan berkenaan.
Ia bersifat tetap dan kekal di samping berganda, berkembang, bertambah, meningkat kebaikan serta bermanfaat dan tiada kemudaratan. Ia juga dikaitkan dengan kemanfaatan, ketenangan dan kebahagiaan.
Pada dasarnya, keberkatan dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan seperti berkat usia, rezeki, masa, tempat, ilmu, perkahwinan dan seumpamanya.
Keberkatan dalam bentuk rezeki dapat ditafsirkan sebagai rezeki yang halal lagi mencukupi, bertambah, bermanfaat kepada diri dan orang lain dan tidak melalaikan atau menjauhkan diri daripada Allah SWT.
Rezeki yang berkat mendorong pemiliknya untuk mengeluarkan zakat, bersedekah dan berwakaf di samping tidak menjadi beban kepada pemiliknya di akhirat kelak. Mereka tidak mencari reezki dengan cara haram seperti mengambil riba, rasuah dan memakan harta anak yatim.
Keberkatan dalam bentuk usia dapat dihuraikan sebagai jumlah umur seseorang tidak kira sama ada pendek atau panjang tetapi bermanfaat kepada orang lain.
Hidup mereka memberikan manfaat kepada orang lain. Mereka hidup dalam keadaan tenang, bahagia dan berkecukupan di samping tidak menyusahkan orang lain, tidak menzalimi, tidak menganiayai dan tidak dengki dengan orang lain.
Pendek kata keberkatan usia adalah cerminan seorang yang beriman dan beramal soleh. Usianya dihabiskan dalam perkara kebaikan.
Keberkatan dalam ilmu pula dapat dijelaskan seseorang memperolehi ilmu yang bermanfaat, dapat diamakan, dan dapat diajarkan serta diperturunkan kepada orang lain.
Ia juga merujuk kepada ilmu yang baik dan bukan ilmu hitam, ilmu sihir dan seumpamanya. Ilmu yang diperolei dapat disampaikan dan diamalkan oleh pihak lain dan menjadi pahala yang mengalir. Bahkan ilmu yang berkat akan melahirkan seorang Muslim yang berbudi pekerti dan berakhlak.
Keberkatan dalam perkahwinan merujuk kepada situasi bagaimana pasangan suami isteri hidup dalam keadaan bahagia, damai, dikurniakan zuriat yang soleh dan rumah tangga yang dibina menjadi ladang-ladang syurga bukan neraka bagi mereka. Mereka hidup dalam keadaan yang sihat, kasih sayang, tenang, harmoni dan bercukupan.
Keberkatan dalam masa dapat dilihat bagaimana masa yang dilalui adalah dipenuhi dengan perkara yang baik dan bermanfaat seperti beribadat, berzikir, mencari rezki, menuntut ilmu dan sebagainya.
Sebaliknya masa yang tidak berkat akan terasa cepat berlalu dan mereka masih berada dalam keadaan lalai. Malahan masa yang ada, dihabiskan dengan perkara tidak bermanfaat dan perkara dosa serta maksiat.
Jadi keberkatan dalam bulan Rejab atau bulan Ramadan dapat dijelaskan sebagai tempoh masa yang dapat dimaksimumkan dalam beramal ibadat bagi mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Dalam konteks bulan Rejab, keberkatan masa seorang Muslim diisi dengan melaksanakan amalan sunat seperti berpuasa sunat, mendirikan solat-solat sunat, berzikir, berselawat, membaca al-Quran, bersedekah dan amal kebajikan yang lain.
Dalam bulan Ramadan, amalan ini ditambah lagi dengan puasa wajib, solat terawih, menjamu orang berbuka puasa atau berbahagi juadah berbuka, sahur dan moreh dan mengeluarkan zakat fitrah.
Jadi bulan yang berkat ini menjanjikan pulangan pahala yang berlipat ganda. Justeru sebagai seorang beriman, kita sepatutnya mengejar keberkatan bulan Rejab dan Ramadan ini dengan memperkemaskan amalan yang wajib, meningkatkan amalan yang sunat, di samping menjauhi perkara yang makruh dan yang diharamkan Syarak.
Alangkah beruntungnya bagi mereka yang direzekikan Allah SWT untuk bertemu dengan bulan Ramadan dan mampu untuk memanfaatkan kehadirannya dengan amal ibadat, kebaikan dan kebajikan.
Ini disebabkan, jika ditelusuri dalam al-Quran, terdapat dua penyesalan utama bagi orang Islam yang sedang nazak dan mereka yang telah meninggal dunia.
Pertama, mereka ingin melakukan amal kebaikan. Ketika hidupnya, mereka mensesiakan peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk melakukan kebaikan tetapi mereka memilih untuk lalai serta melakukan kejahatan.
Mereka berharap agar dapat ditunda kematian dan dikembalikan ke alam dunia supaya dapat mengerjakan amalan soleh kerana mereka bakal tersiksa dengan azab akibat amalan buruk yang telah mereka lakukan ketika hidup di dunia.
Permohonan untuk penundaan tempoh kematian ini dijelaskan dalam surah al-Mukminun, ayat 99-100: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) (99) “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”.
“Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)”. (100)
Permohonan untuk dikembalikan ke dunia diterangkan dalam surah al-Sajadah ayat 12, Allah SWT berfirman: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Kedua, mereka ingin bersedekah. Ketika hidupnya, mereka tidak suka bersedekah atau membantu orang lain, mereka bersikap tangkai jering dan kedekut tetapi ketika hampir meninggal dunia, mereka berangan-angan untuk ditunda kematian agar mereka boleh bersedekah semula supaya dapat menjadi pembantu mereka di alam barzakh dan alam akhirat kelak.
Ia dirakamkan dalam surah al-Munafiqun ayat 10: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ”Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari kalangan orang-orang yang saleh.”
Jelasnya, keberkatan berkait rapat dengan kebaikan ilahi yang mana ia dapat dilihat dalam bentuk berpanjangan, pertambahan, kecukupan, bermanfaat, ketenangan dan kebahagiaan.
Oleh itu, keberkatan dalam bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan menggambarkan pertambahan amal ibadat, amal saleh dan ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Peluang ini wajar diambil oleh setiap orang beriman dan jangan tunggu hingga tempoh nazak atau meninggal untuk kembali bagi melakukan amalan saleh.
Walaupun realitinya, ramai orang yang mengharapkan dan mengimpikan sesuatu yang belum pasti tetapi hanya sedikit sahaja mereka yang menghargai apa yang pasti dan sedang dilalui.
Justeru, rebutlah peluang dan ganjaran yang ditawarkan dalam bulan Syaaban dan Ramadan agar beroleh keberkatannya.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.