Pertimbangan ulasan filem, mengingatkan kualiti atau sekadar luahan hati?
Ulasan yang baik memungkinkan masyarakat terkesan untuk keluar menonton dan mampu meningkatkan jumlah tontonan bagi sesebuah filem.

ULASAN filem melalui platform media baharu kian popular dan berkeupayaan untuk menjadi salah satu faktor penerimaan masyarakat dalam membuat keputusan untuk menonton di pawagam.
Ulasan yang dibina agak bersahaja iaitu melalui lontaran idea berdasarkan pengalaman menonton dan rata-rata bersandarkan daripada perspektif penilaian peribadi.
Ulasan yang baik memungkinkan masyarakat terkesan untuk keluar menonton dan mampu meningkatkan jumlah tontonan bagi sesebuah filem.
Ulasan filem kini kebiasaannya dilakukan atas penilaian berdasarkan pengalaman menonton individu dan turut diselitkan berkenaan jangkaan penceritaan yang diharapkan sampai kepada penonton. Ulasan ataupun kritikan dilakukan secara keseluruhan dan kebiasaannya menyentuh beberapa perkara asas penerbitan karya kreatif.
Antaranya seperti tema, naratif, lakonan, mesej, kesinambungan pengarahan dan juga penerapan teknologi terkini serta segi pandangan teknikal yang di dalam radar jangkauan penceritaan.
Bukan mudah untuk memulakan ulasan atau kritikan kerana pengulas seharusnya mempunyai asas pengetahuan yang baik dalam perihal penerbitan seni kreatif memandangkan proses menterjemah karya teks ke bentuk audio visual memerlukan imaginasi yang ketara dan hal ini berbeza antara minda manusia jika dibuat perbandingan.
Ini merupakan keunikan yang ada dalam karya seni kreatif terutamanya drama dan filem. Benar, pengulas tidak mustahil mampu untuk memberi pandangan berkenaan pelbagai aspek yang dirasakan perlu untuk diulas kewajarannya namun jika diperhalusi, penilaian individu akan ada perbezaannya walaupun menilai perkara yang sama atas beberapa faktor yang menyokong sesuatu pandangan tersebut.
Oleh kerana ulasan kebiasaannya adalah berdasarkan pemahaman dan sisi pandang pengulas maka hal ini mungkin berlainan antara satu ulasan dengan ulasan yang lain jika tidak dituntuni dengan sandaran yang betul.
Realitinya, sesiapa sahaja mampu untuk mengatakan sesuatu pendapat berdasarkan asas pemikiran mereka terhadap sesebuah hasil karya namun persoalannya adakah prinsip andaian yang dikemukakan adalah benar-benar menyentuh kualiti karya ataupun sekadar luahan hati. Analisa penilaian sebagai panduan agar menjadi yang lebih baik atau sekadar luahan kekecewaan ekoran kealpaan dalam menyusun imaginasi sendiri.
Ulasan daripada penonton terutamanya memainkan peranan dalam perkembangan industri ini kerana mereka adalah khalayak sasaran bagi sesebuah penghasilan filem. Cita rasa khalayak harus diambil berat dalam menghasilkan karya dimasa hadapan.
Namun, perlu difahami juga berkenaan fungsi sebenar ulasan iaitu bukan hanya sekadar merumuskan kekurangan yang ada tetapi juga tentang kelebihan yang menjurus kepada pujian sewajarnya turut diberi perhatian.
Dalam merencanakan ulasan samada secara tulisan ataupun lisan, pengulas seharusnya berhati-hati dalam mengulas sesuatu yang bersifat subjektif dan kompleks. Ini adalah kerana filem merupakan karya seni yang mempunyai struktur yang rumit iaitu melibatkan pelbagai aspek seperti tema, bahasa filem, pengkisahan, teknik dan alatan filem, sudut pandangan, imaginasi dan kreativiti pengarah serta pelbagai persoalan berkenaan tujuan ianya dihasilkan. Kesemuanya ini merupakan adunan yang melengkapkan proses daripada idea ke naskah kreatif.
Ulasan bukanlah bertujuan untuk menghakimi sesuatu filem secara total dan dilakukan secara tergesa-gesa tanpa perlu penelitian terlebih dahulu. Hakikatnya, ulasan adalah saluran penghujahan yang kritis dalam membuat suatu keputusan berdasarkan justifikasi tertentu.
Matlamat utamanya adalah untuk membentuk pemahaman, penjelasan dan sudut penghayatan berteraskan galur pemikiran secara teliti dalam menganalisis, mentafsir dan menilai serta berkongsi perspektif yang bermanfaat dengan masyarakat.
Ulasan bukanlah suatu pendapat yang kabur ataupun pengumuman sehala tetapi harus berpandukan hujah dan logika dalam aspek yang dibincangkan. Hal ini memerlukan keterangan yang nyata dan contoh yang jitu dalam mengungkap pandangan utama yang cuba disampaikan. Bukan sekadar lintasan pemikiran tatkala menonton secara rambang atau tanpa diatur terlebih dahulu.
Banyak yang perlu diteliti sebelum sesebuah kupasan idea diutarakan dan sebolehnya mengelak tanggapan bahawa ulasan adalah sesuatu yang menjurus kepada suatu pendapat tanpa pembuktian. Oleh kerana itu, ulasan seharusnya menawarkan rasional yang munasabah untuk memberi kefahaman kepada masyarakat dari sudut teori dan praktikalnya.
Hasilnya akan memberikan perkongsian pengalaman yang berguna kepada masyarakat dalam mendalami dan menerima tafsiran kritis yang dibina oleh pengulas. Pendek kata, ulasan bukan sekadar hadir untuk meluahkan apa yang dirasa ketika menonton tetapi tanggungjawabnya adalah lebih dari yang disangkakan kerana hal ini bakal memberi kesan kepada bakal penonton.
Di sisi lain, sudah semestinya dalam melakukan ulasan, kita tidak dapat lari dari diuji dengan kecenderungan minat sendiri. Kita mungkin akan sedikit terbuka jika mengulas sesuatu genre filem kegemaran sendiri berbanding genre yang lain. Kita mudah untuk menerima kekurangan yang ada pada genre kegemaran sendiri berbanding mengiktiraf kekuatan genre filem yang lain.
Oleh kerana itu, ulasan harus bersifat adil dan setimpal dengan catatan pertimbangan yang nyata. Perlu ada kriteria khusus yang sistematik dalam menghurai dan menilai hubungan antara filem dan golongan sasar mengikut perkongsian perspektif yang berbeza. Apa yang lebih utama mesej yang cuba disampaikan melalui filem, terarah dan sampai kepada penonton.
Dengan berpandukan kata-kata mengukuhkan yang lemah dan merobohkan yang kuat, bermakna ulasan harus tidak hanya tertumpu kepada pandangan kepada filem semata-mata namun harus diteliti tentang keadaan diluar filem tersebut juga.
Pengulas juga harus memahami proses penerbitan filem dan melihat secara mendalam tentang keterbatasan, rintangan, dan faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi pembikinannya agar dapat meletakkan ulasan pada kedudukan yang tidak salah.

