Kanser bukan sekadar menguji tubuh tetapi juga jiwa

Pesakit kanser memerlukan rawatan tepat, sokongan keluarga, kekuatan kerohanian dan penjagaan emosi untuk menghadapi cabaran penyakit dengan lebih tabah.

Feature Image

“ENCIK disahkan menghidap kanser.”

Hanya beberapa patah perkataan, namun cukup untuk mengubah seluruh kehidupan seseorang.

Bayangkan seorang bapa yang baru menerima diagnosis kanser. Ketika doktor menerangkan pilihan rawatan, fikirannya melayang kepada anak-anak yang masih bersekolah, isteri yang menunggu di rumah dan masa depan keluarga.

Dalam diam, dia bertanya, “Sempatkah aku melihat anak-anakku membesar?”

Begitulah hakikat kehidupan pesakit kanser. Penyakit ini bukan sekadar menyerang tubuh, malah menggoncang emosi, menguji hubungan keluarga dan mencabar kekuatan jiwa.

Sebab itulah penjagaan kanser tidak seharusnya tertumpu kepada rawatan fizikal semata-mata. Pesakit juga memerlukan sokongan emosi, keluarga dan kerohanian sepanjang perjalanan rawatan.

Apabila kasih sayang membawa kekeliruan

Sebaik seseorang disahkan menghidap kanser, pelbagai nasihat biasanya mula diterima. Ada yang mencadangkan herba tertentu, berkongsi pengalaman saudara yang pernah sembuh atau meminta pesakit meninggalkan rawatan hospital. Walaupun kebanyakan nasihat diberikan atas dasar kasih sayang, maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dan membahayakan pesakit.

Bayangkan seseorang yang sedang bergelut dengan ketakutan, tetapi pada masa sama terpaksa memilih antara nasihat keluarga dengan cadangan doktor. Dalam keadaan ini, sokongan terbaik bukanlah memaksa pesakit mencuba pelbagai rawatan, sebaliknya membantu mereka mendapatkan maklumat yang sahih. Pesakit perlu diberikan ruang untuk memahami penyakit, bertanya soalan dan membuat keputusan bersama pasukan perubatan.

Kemajuan perubatan telah menyediakan pelbagai pendekatan rawatan kanser, termasuk pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon, terapi sasaran dan imunoterapi. Pemilihan rawatan bergantung pada jenis kanser, tahap penyakit serta keadaan kesihatan seseorang.

Dua pesakit yang menghidap kanser pada organ sama tidak semestinya memerlukan rawatan serupa. Oleh itu, pengalaman individu atau testimoni di media sosial tidak boleh dijadikan panduan utama untuk menentukan rawatan.

Pesakit juga tidak perlu menyembunyikan kesakitan, keletihan atau kesan sampingan kerana menganggapnya sebagai sebahagian daripada ujian yang mesti ditanggung sendirian. Maklumkan masalah tersebut kepada doktor supaya rawatan sokongan yang bersesuaian dapat diberikan.

Herba bukan pengganti rawatan hospital

Penggunaan herba sering menarik perhatian pesakit yang berharap menemukan peluang tambahan untuk sembuh. Namun, sesuatu bahan yang menunjukkan kesan terhadap sel kanser dalam kajian makmal belum tentu berkesan atau selamat digunakan oleh manusia.

Malah, sesetengah herba dan suplemen boleh berinteraksi dengan ubat antikanser, sekali gus mengganggu keberkesanan rawatan atau meningkatkan risiko kesan sampingan.

Istilah “semula jadi” tidak semestinya bermaksud selamat.

Pesakit yang ingin mengambil produk herba perlu berbincang terlebih dahulu dengan doktor atau ahli farmasi. Pendekatan penjagaan yang menyeluruh bukan bermaksud menggabungkan semua rawatan tanpa pertimbangan, tetapi memilih kaedah yang mempunyai manfaat dan tahap keselamatan yang munasabah.

Tawakal bukan bererti meninggalkan ikhtiar

Bagi pesakit Muslim, kepercayaan kepada Allah SWT boleh menjadi sumber kekuatan ketika menghadapi penyakit.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Syu‘ara’, ayat 80, yang bermaksud: “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku.”

Ayat ini mengingatkan bahawa kesembuhan berada dalam kekuasaan Allah, manakala manusia dituntut berusaha mendapatkan rawatan.

Berdoa, berzikir dan membaca al-Quran boleh memberikan ketenangan kepada pesakit mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing. Namun, amalan kerohanian tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meninggalkan rawatan perubatan yang diperlukan.

Lebih penting, jangan sesekali menyalahkan pesakit dengan mengatakan penyakit mereka berpunca daripada kelemahan iman atau kurang berdoa. Menangis, takut dan berasa sedih bukan bermakna seseorang kehilangan keyakinan kepada Tuhan.

Kadangkala, kehadiran lebih bermakna daripada nasihat

Dalam menghadapi kanser, pesakit tidak semestinya memerlukan kata-kata semangat yang panjang. Ada waktunya, mereka hanya mahu seseorang mendengar tanpa menghakimi.

Ungkapan mudah seperti “Saya ada di sini jika awak perlukan saya” mungkin lebih menenangkan daripada nasihat yang bertalu-talu. Ahli keluarga juga perlu peka terhadap tanda tekanan emosi yang berpanjangan. Bantuan psikologi atau psikiatri boleh diberikan bersama sokongan kerohanian apabila diperlukan.

Kepentingan pendekatan menyeluruh ini turut diketengahkan dalam buku Kanser: Terapi Perubatan Moden, Herba dan Islam, terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia. Buku tersebut menghimpunkan perbincangan mengenai rawatan kanser, penyelidikan herba dan sokongan psikospiritual Islam sebagai panduan memahami penjagaan pesakit secara lebih menyeluruh.

Akhirnya, di sebalik setiap keputusan pemeriksaan kanser, terdapat seorang manusia yang mempunyai keluarga, harapan dan impian. Ketika tubuhnya sedang berjuang melawan penyakit, jangan biarkan jiwanya berjuang sendirian.