Meningkatkan keyakinan kerjaya individu OKU
OKU juga memerlukan pekerjaan untuk meneruskan kehidupan. Tanpa pekerjaan, mereka mungkin bergantung kepada orang lain seperti ibu bapa dan juga kerajaan.

KURANG upaya boleh dikategorikan kepada banyak jenis antaranya kecacatan penglihatan, kecacatan pendengaran, kecacatan mental, kecacatan intelek, kecederaan otak, gangguan spektrum autisme dan kecacatan fizikal.
Seperti individu normal, orang kurang upaya (OKU) juga memerlukan pekerjaan untuk meneruskan kehidupan. Tanpa pekerjaan, mereka mungkin bergantung kepada orang lain seperti ibu bapa dan juga kerajaan.
Malangnya, pelbagai halangan yang masih berleluasa di Malaysia hari ini menyumbang kepada beberapa cabaran yang dihadapi oleh OKU.
Halangan ini termasuklah kebolehcapaian yang terhad, struktur pendidikan yang tidak mencukupi dan faktor kemiskinan, yang mana ia memberi kesan negatif kepada kualiti hidup OKU.
Faktor sedemikian sering membawa kepada akibat yang tidak diingini bagi mereka seperti pengecualian sosial, stereotaip dan persepsi negatif, kesusahan kewangan, serta cabaran dalam bidang kesihatan fizikal dan mental.
Dalam konteks Malaysia, kesejahteraan psikologi dan mental golongan OKU kurang mendapat perhatian sewajarnya oleh bidang profesional membantu kerana disiplin perhubungan menolong seperti kaunseling lebih menumpukan kepada golongan bukan OKU.
Terdapat pelbagai jenis OKU seperti OKU fizikal dan OKU mental. Sesetengah golongan OKU mental seperti OKU intelektual atau mereka yang mempunyai masalah pembelajaran tidak mendapat perhatian kerana anggapan bahawa golongan ini tidak berupaya dari segi mental untuk berfikir dan bertindak.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa meramalkan 386 juta orang dalam umur bekerja di dunia mempunyai beberapa jenis hilang upaya, dengan kadar pengangguran setinggi 80 peratus di beberapa negara (International Labor Organization, 2024).
Tiada data spesifik berkenaan pekerjaan dan pengangguran OKU di Malaysia. Bagaimanapun, data dari 2018 menunjukkan bahawa kira-kira 4,500 OKU bekerja di kedua-dua sektor awam dan swasta.
Ini adalah kira-kira 1.4 peratus daripada orang dewasa kurang upaya dalam umur bekerja (320,870) yang diketahui dalam daftar OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun tersebut.
Sementara itu, pada tahun 2021, hanya 0.35 peratus pekerja dalam perkhidmatan awam adalah OKU, jauh lebih rendah daripada dasar yang menyasarkan kuota 1 peratus dalam sektor awam (OKU Right Matters, 2024).
Menyedari pentingnya OKU memiliki pekerjaan, Bengkel Daya Klang, sebuah pusat latihan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, menyediakan pelbagai bentuk latihan yang membolehkan mereka memiliki kemahiran sebelum memasuki dunia pekerjaan.
Namun, satu elemen penting yang tidak boleh diabaikan ialah tahap keyakinan mereka sendiri untuk memasuki dunia pekerjaan.
Halangan daripada persekitaran, keluarga dan masyarakat mungkin membantutkan usaha mereka untuk menjadi sebahagian daripada ahli masyarakat yang bekerja.
Menyedari kepentingan meningkatkan keyakinan dalam membuat keputusan kerjaya, penyelidik dan kaunselor dari Fakulti Pendidikan dan Fakulti Ekonomi serta Pentadbiran dengan kerjasama Bengkel Daya Klang dan Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya, telah menjalankan bimbingan kerjaya dan psikososial ke atas 12 OKU terpilih selama 12 sesi.
Tujuan utama bimbingan ini adalah untuk meningkatkan keyakinan diri mereka dalam membuat keputusan berkaitan kerjaya dan seterusnya memiliki jati diri untuk bersaing dalam masyarakat.
Program ini juga diharapkan dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan status kewangan mereka.
Peserta program ini adalah mereka yang mendaftar di Bengkel Daya Klang bagi mendalami kemahiran dalam pelbagai bidang, termasuklah kulinari dan pertanian.
Usia mereka merangkumi remaja hingga dewasa. Program ini dijalankan dalam beberapa fasa dengan mengambil kira keperluan peserta yang mempunyai masalah pembelajaran, menyebabkan proses bimbingan memerlukan masa yang lebih lama berbanding individu biasa.
Pada fasa awal, peserta diberikan bimbingan untuk mengenali diri mereka sendiri dan memahami peranan mereka dalam persekitaran keluarga serta masyarakat.
Setelah mereka memahami identiti diri, peserta dibantu untuk melihat kepentingan pekerjaan dan kerjaya dalam kehidupan.
Fasa seterusnya melibatkan pemadanan diri dengan pekerjaan yang sesuai berdasarkan minat dan keupayaan mereka. Program bimbingan ini bermula pada Disember 2024 dan dijangka berakhir pada Mac 2025.
Memiliki kerjaya membantu seseorang berfungsi dalam masyarakat dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan.
Program bimbingan psikologi dan penyesuaian kerjaya ini diharapkan dapat meningkatkan jati diri OKU agar mereka lebih berdikari dan berperanan dalam masyarakat.
Selain memberi impak kepada komuniti OKU melalui penyampaian ilmu dan kemahiran berkaitan kesihatan psikologi dan kerjaya, program ini turut memberikan manfaat kepada negara dengan memastikan OKU mendapat perkhidmatan yang inklusif.
Dengan bimbingan yang sesuai, golongan ini berpeluang mengurangkan kebergantungan kepada sistem bantuan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, kejayaan program ini juga mampu mempengaruhi polisi dan dasar kerajaan dengan menunjukkan keperluan untuk mempertimbangkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang, selari dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih inklusif.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.