Semarak patriotisme di PTAR Rembau: Gabungan ilmu, kreativiti dan jiwa merdeka
PTAR UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia melalui dekorasi kreatif, persembahan seni serta penyertaan dalam perarakan kampus.
KUALA LUMPUR, 22 September 2026 – Setiap kali tibanya bulan Ogos dan September, suasana di seluruh penjuru negara bertukar wajah dengan kibaran megah Jalur Gemilang. Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September bukan sekadar acara rutin tahunan, sebaliknya merupakan asas pembentukan identiti dan jati diri sebuah bangsa bernama Malaysia.
Tanggal 31 Ogos 1957 menandakan detik kebebasan Persekutuan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan, manakala 16 September 1963 mencatatkan sejarah penyatuan Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak. Kedua-dua tarikh keramat ini membawa mesej penting iaitu memelihara perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau turut memainkan peranan penting. Selaras dengan slogan “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa”, PTAR membuktikan bahawa perpustakaan bukan sekadar pusat rujukan bahan bacaan, tetapi juga berfungsi sebagai ruang fizikal dan ejen perubahan sosial yang mampu membina sahsiah serta nilai sejarah warga kampus.
Bagi menghidupkan suasana sambutan, pihak perpustakaan bersama pelajar latihan industri telah melancarkan projek hiasan khas bertemakan kemerdekaan di ruang pameran utama dan pintu masuk perpustakaan. Persiapan ini mengambil masa kira-kira tiga hingga empat minggu yang melibatkan proses merancang susun atur, mengumpul bahan, memotong, hingga ke fasa pemasangan.

Antara elemen hiasan kreatif yang dihasilkan termasuklah binaan replika Menara Kembar Petronas (KLCC), model ukiran styrofoam tokoh Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman melaungkan “Merdeka!”.
Sudut pameran turut diperkaya dengan cetakan semula keratan akhbar ikonik tahun 1957 seperti The Straits Times dan akhbar bertulisan Jawi bagi menyuntik nilai sejarah yang autentik. Selain itu, tayangan digital interaktif, paparan logo Malaysia MADANI, serta gantung bendera Jalur Gemilang yang tersusun di sekitar ruang legar turut menambah seri persekitaran PTAR. Usaha gigih ini turut membuah hasil apabila dekorasi tersebut dinilai dan diiktiraf dalam pertandingan dekorasi kemerdekaan.
Rangkaian program sambutan ini diteruskan dengan penglibatan warga PTAR dalam pelbagai aktiviti kampus. Antaranya ialah acara “The Voice” di bilik studio yang menampilkan pelbagai bakat seperti nyanyian patriotik, deklamasi puisi, monolog sejarah, serta persembahan seni mempertahankan diri silat oleh pelajar praktikal.
Kemuncak sambutan diserikan lagi dengan latihan dan penglibatan kontinjen PTAR dalam perarakan rasmi sambutan kemerdekaan peringkat UiTM Rembau. Bermula dengan latihan perarakan, laungan chant PTAR, hingga ke hari perarakan sebenar, setiap derap langkah yang diatur menterjemahkan semangat kebersamaan dan rasa bangga terhadap tanah air.
Penglibatan secara langsung dalam keseluruhan program ini memberikan pengalaman yang amat bermakna buat para pelajar latihan industri Syabilla Zulfadli, Nur Ahmad Sodiqin Nor Azmi dan Muhammad Haziq Zikri Yusrizal Ashraf.

Selain mengasah kemahiran menguruskan aktiviti dan mereka bentuk dekorasi, pengalaman ini berjaya merapatkan hubungan silaturahim antara staf perpustakaan dan pelajar praktikal. Nilai kerjasama, komunikasi, kreativiti, serta disiplin yang dipelajari sepanjang proses ini menjadi bekal yang sangat berguna untuk melangkah ke alam pekerjaan kelak.
Secara keseluruhannya, inisiatif yang dilaksanakan oleh PTAR UiTM Kampus Rembau membuktikan bahawa semangat patriotisme boleh disemai melalui aktiviti sederhana namun sarat dengan mesej perpaduan. Perpustakaan akan terus menjadi wadah ilmu yang hidup dalam menyemarakkan jiwa merdeka dan menyatukan warga universiti demi masa depan negara yang lebih gemilang.
* Artikel disediakan oleh Syabilla Zulfadli, Nur Ahmad Sodiqin Nor Azmi dan Muhammad Haziq Zikri Yusrizal Ashraf (Pelajar Latihan Industri Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau) dan Ain Ezzatul Aishah Rusila (Pembantu Pustakawan UiTM Kampus Rembau)
