Hentian Komuniti Taiping simbol bandar berjiwa
Pengiktirafan ZUS Taman Tasik Taiping sebagai Hentian Komuniti di kawasan ini selari dengan sejarah tasik sebagai ruang awam inklusif.

SATU lagi detik bermakna tercatat dalam usaha memperkukuh jaringan komuniti bandar Taiping apabila ZUS Taman Tasik Taiping diiktiraf sebagai Hentian Komuniti kelapan di bandar bersejarah ini di samping Perpustakaan Taiping, Muzium Taiping, Zoo Taiping, Yinn’s Patisserie, Gigi Coffee Taiping, Kopi Antong Taiping dan Taiping Gallery.
Pengiktirafan ini bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan komitmen berterusan untuk memperluas rangkaian Hentian Komuniti, khususnya di kawasan tumpuan awam berjalan kaki iaitu berhampiran Taman Tasik Taiping.
Taman Tasik Taiping atau Taiping Lake Gardens merupakan taman awam pertama di Malaysia, dibangunkan pada tahun 1880 hasil transformasi bekas lombong bijih timah menjadi landskap hijau yang indah.
Berlatarkan Bukit Larut dan deretan pokok hujan-hujan (rain trees) yang ikonik, kawasan ini sejak dahulu menjadi ruang rekreasi, pertemuan sosial dan simbol identiti bandar Taiping.
Lebih seabad lamanya, tasik ini menyaksikan generasi demi generasi membesar bersama bandar Taiping. Daripada aktiviti riadah pagi, aktiviti berjalan santai keluarga, hinggalah perbualan warga emas di bangku tasik, semuanya membentuk memori kolektif warga Taiping.
Pengiktirafan ZUS Taman Tasik Taiping sebagai Hentian Komuniti di kawasan ini selari dengan sejarah tasik sebagai ruang awam inklusif, tempat orang berhenti, santai sambil berehat setelah berjalan kaki dan beriadah di Taman Tasik Taiping.
Sebagai jenama kopi tempatan yang berkembang pesat, ZUS COFFEE membawa pendekatan moden dalam industri minuman, namun tetap mengekalkan sentuhan mesra dan keterbukaan kepada komuniti setempat. Cawangan di Taman Tasik Taiping ini kini melangkah setapak ke hadapan dengan menyertai inisiatif Hentian Komuniti.
Gabungan lokasi strategik berhampiran tasik dan konsep hospitaliti yang mesra menjadikan ZUS Taman Tasik Taiping bukan sekadar tempat membeli minuman, tetapi sebuah tempat yang menyantuni semua lapisan masyarakat tidak terhad kepada pelancong malah kepada keluarga usia muda hingga warga emas.
Apakah itu Hentian Komuniti?
Hentian Komuniti ialah satu konsep “community pit stop” ruang persinggahan mesra komuniti yang terbuka kepada orang ramai. Ia bukan sekadar menyediakan kemudahan asas seperti tandas untuk digunakan tetapi membawa makna yang lebih mendalam.
Hentian Komuniti menzahirkan satu pendekatan pembangunan bandar yang berteraskan nilai kemanusiaan, kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam kehidupan seharian masyarakat. Kewujudan Hentian Komuniti di dalam sebuah premis yang mesra komuniti boleh menjadi simbol kepada elemen penyatuan komuniti yang semakin penting dalam bandar moden.
Ia berfungsi sebagai titik pertemuan yang merapatkan hubungan antara penduduk tempatan, pelawat, peniaga serta pengguna ruang awam tanpa mengira latar belakang sosial, umur atau tujuan kunjungan. Melalui interaksi santai yang berlaku di ruang ini, semangat kejiranan dan rasa kebersamaan dapat dipupuk secara semula jadi.
Selain itu, Hentian Komuniti turut mencerminkan penyertaan aktif dalam kerjasama awam-swasta, di mana sektor perniagaan memainkan peranan bersama pihak komuniti dan pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan kualiti persekitaran bandar.
Penyertaan premis komersial sebagai rakan komuniti menunjukkan bahawa pembangunan bandar tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan sokongan pelbagai pihak yang berkongsi aspirasi yang sama terhadap bandar yang lebih inklusif dan mesra pengguna.
Konsep ini juga menggambarkan komitmen terhadap kesejahteraan bandar dengan menyediakan kemudahan asas seperti tempat rehat, tandas, maklumat setempat dan layanan mesra kepada orang ramai.
Kemudahan ini memberi manfaat khusus kepada pejalan kaki, warga emas, keluarga bersama anak kecil serta pelancong yang memerlukan ruang rehat yang selamat dan selesa ketika berada di bandar. Secara tidak langsung, ia menyokong gaya hidup bandar yang lebih aktif, sihat dan lestari.
Pada masa yang sama, Hentian Komuniti menonjolkan keprihatinan terhadap keperluan sebenar pengguna ruang awam. Pendekatan ini mengiktiraf bahawa bandar yang baik ialah bandar yang memahami pengalaman harian penggunanya. Dengan menyediakan ruang yang terbuka, mudah diakses dan bersifat mesra komuniti, Hentian Komuniti menjadi manifestasi kepada bandar yang prihatin, inklusif dan berorientasikan manusia.
Ia melambangkan kepercayaan bahawa perniagaan dan komuniti tidak terpisah. Sesebuah premis yang diiktiraf sebagai Hentian Komuniti menunjukkan kesediaannya untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem bandar yang menyokong mobiliti pejalan kaki, dan menyumbang kepada pengalaman bandar yang lebih inklusif.
Pengiktirafan ini juga memperkukuh usaha untuk menambah lebih banyak Hentian Komuniti di sekitar Taman Tasik Taiping. Kawasan ini menerima kunjungan tinggi setiap hari dan kewujudan rangkaian hentian mesra komuniti membantu meningkatkan keselesaan, keselamatan serta pengalaman pengguna ruang awam.
Apabila perniagaan tempatan tampil bersama menyokong inisiatif ini, ia mencerminkan semangat kebersamaan bahawa pembangunan bandar bukan hanya tentang infrastruktur fizikal, tetapi juga tentang hubungan sosial dan rasa memiliki.
Dengan pengiktirafan sebagai Hentian Komuniti kelapan, ZUS Taman Tasik Taiping kini menjadi sebahagian daripada naratif bandar yang lebih besar iaitu sebuah bandar warisan yang terus bergerak ke hadapan tanpa melupakan asasnya.

