Tengku Zafrul dilantik penasihat kanan politik Perdana Menteri
Pelantikan itu bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 25 November lepas.
KUALA LUMPUR, 4 Mac 2026 – Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.
Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri menzahirkan harapan agar Tengku Zafrul dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik dan penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.
Tengku Zafrul mengakhiri perkhidmatan beliau selaku menteri di bawah pimpinan Kerajaan MADANI pada 2 Disember lepas, serentak dengan penamatan perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara.
Kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri pula berlaku susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 25 November lepas.
Tengku Zafrul yang kini merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga pernah mengemudi Kementerian Kewangan bagi tempoh 9 Mac 2020 hingga 9 November 2022.
Dilahirkan pada 25 Jun 1973, anak kelahiran Kuala Lumpur itu memulakan kerjaya dalam sektor perbankan dan kewangan sebagai eksekutif kewangan korporat dengan AmInvestment Bank pada 1996.
Beliau kemudian menyertai kumpulan perbankan Crédit Agricole sebagai penganalisis pelaburan dan seterusnya menaiki tangga korporat sebagai pengarah dalam tempoh beberapa tahun.
Tengku Zafrul juga pernah menjadi penasihat kepada Presiden Tenaga Nasional Bhd., selain menjawat Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd., serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd., dan CEO CIMB Bhd.
Beliau yang juga ahli PKR Cabang Ampang merupakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2025 hingga 2029.
