Aktiviti pendakian medium pembentukan kerja berpasukan

Satu daripada pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah aktiviti luar seperti aktiviti mendaki bukit atau gunung (hiking).

Feature Image (6)

Oleh: YOHAN KURNIAWAN

DALAM kesibukan dunia kerja yang menuntut pencapaian dan prestasi tinggi, nilai kemanusiaan seperti kebersamaan dan semangat kerjasama sering kali terpinggir.

Justeru, organisasi perlu mencari pendekatan baharu yang lebih segar dan praktikal untuk mengukuhkan hubungan dalaman.

Satu daripada pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah aktiviti luar seperti aktiviti mendaki bukit atau gunung (hiking).

Walaupun aktiviti ini sudah sinonim dengan gaya hidup sihat rakyat Malaysia, penggunaannya sebagai alat pembangunan pasukan dalam konteks organisasi, terutamanya institusi pengajian tinggi, masih relatif baharu.

Namun, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya telah memulakan langkah progresif dengan menjadikan aktiviti ini sebagai medium membina hubungan dan kerjasama antara staf.

Melalui inisiatif Kelab Kebajikan Staf, satu aktiviti pendakian santai telah dianjurkan di Bukit Gasing, disertai sembilan orang staf termasuk Dekan, Prof. Dr. Ahmad Zabidi Abdul Razak.

Kehadiran pemimpin utama fakulti memberi isyarat jelas bahawa pembinaan hubungan kemanusiaan dalam organisasi bukan sekadar pelengkap tetapi keperluan asas. Berbanding latihan formal dalam bilik seminar, hiking memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal dan autentik.

Dalam suasana yang tidak formal, peserta berpeluang mengenali karakter dan kekuatan rakan sekerja melalui cabaran fizikal dan mental. Sifat kepimpinan, empati, daya tahan dan kebolehan berkomunikasi muncul secara semula jadi apabila semua berada dalam kedudukan setara, saling membantu dan menyokong untuk menamatkan pendakian.

Aktiviti ini turut berfungsi sebagai ruang refleksi diri dan terapi semula jadi bagi warga fakulti yang sering dihimpit tekanan kerja.

Ia membantu menyegarkan bukan sahaja tubuh tetapi juga semangat dan emosi staf. Melalui interaksi santai dan tanpa hierarki, hubungan antara pensyarah, pentadbir dan staf sokongan menjadi lebih erat, seterusnya mengurangkan jurang komunikasi dan memperkukuh budaya saling menghargai.

Pendakian di Bukit Gasing yang mengambil masa sekitar dua jam juga disusuli dengan sesi refleksi, di mana peserta berkongsi pengalaman dan pandangan.

Ramai menyatakan bahawa program ini membuka mata terhadap pentingnya saling memahami dan menyedari bahawa kejayaan organisasi bukan bergantung kepada individu tetapi sinergi kolektif.

Kehadiran Prof. Dr. Ahmad Zabidi dalam aktiviti ini membawa kesan simbolik yang besar. Beliau menunjukkan contoh kepimpinan melalui teladan, menyampaikan mesej bahawa pemimpin bukan hanya bertanggungjawab terhadap strategi tetapi juga pembangunan hubungan insaniah dalam organisasi.

Walaupun sederhana dari segi pelaksanaan, impak aktiviti hiking ini sangat besar dalam membentuk nilai bersama dan semangat kekitaan.

Malah, ia boleh dijadikan sebahagian daripada modul latihan tahunan fakulti, dilengkapi dengan unsur-unsur latihan kepimpinan dan pengurusan konflik yang lebih sistematik.

Pendekatan ini juga sesuai dikembangkan kepada pelajar pascasiswazah, alumni dan rakan kolaborasi luar sebagai satu strategi memperkukuh ekosistem fakulti yang inklusif.

Dalam era pascapandemik yang menekankan keseimbangan antara prestasi kerja dan kesejahteraan mental, pendekatan seperti ini menjadi semakin relevan.

Kejayaan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada kecekapan teknikal atau pencapaian KPI tetapi lebih penting ialah kekuatan hubungan insaniah yang terbina melalui kepercayaan, empati dan kerjasama sejati.

Inisiatif Fakulti Pendidikan Universiti Malaya ini wajar dijadikan contoh oleh organisasi lain, baik di sektor pendidikan mahupun korporat.

Ia membuktikan bahawa aktiviti luar yang dirancang dengan matlamat jelas mampu membina pasukan kerja yang bukan sahaja cemerlang dalam prestasi tetapi juga sejahtera dari segi hubungan kemanusiaan.


* Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.