Pensyarah mencalarkan imej profesion sendiri

Bukannya seorang dua pensyarah yang rendah daya fikirnya serta tidak boleh memahami satu-satu konsep baharu dengan mudah.

Feature Image (1)

MEMBACA nukilan rakan sekerja saya dalam portal berita ini berkaitan kualiti graduan pada hari Jumaat lalu telah mengingatkan saya tentang satu peristiwa kira-kira dua tahun lepas.

Peristiwa itu bertitik tolak daripada satu gambar konvokesyen untuk ijazah sarjana (Masters) yang dimuat naik oleh seorang rakan sekolah menengah saya dalam sebuah laman sosial.

Walaupun kami terpisah secara geografi setelah tamat SPM, hubungan kami tetap rapat sehingga kini dan sering berkomunikasi.

Rakan saya itu sempat menjadi menjadi guru sekolah menengah untuk tempoh beberapa tahun setelah tamat menyertai program KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah).

Hasil kecemerlangan beliau dalam kerjayanya sebagai seorang guru, beliau kini menjadi seorang nazir sekolah di sebuah negeri di pantai timur Semenanjung.

Berbalik kepada gambar konvokesyen beliau tadi, di bawah gambar tersebut tertulis satu kapsyen yang merendah diri, menyatakan beliau bukanlah seorang pelajar yang pintar semasa di peringkat sekolah menengah mahupun di peringkat ijazah pertama.

Ketika rakan-rakan sekolah lain berjaya memasuki program matrikulasi dan asasi di universiti seluruh negara, beliau terpaksa mengikuti program pramatrikulasi kerana keputusan SPM yang sekadar cukup makan gred 1 dan di peringkat ijazah sarjana muda pun CGPA beliau tidaklah sehebat mana.

Kapsyen beliau itu lantas saya balas dengan ungkapan: “Jangan terlalu merendah diri dan berasa diri kamu kecil. Meskipun kamu berasa kamu tidak sebijak mana, namun kamu sebenarnya jauh lebih cerdas daripada ramai rakan sekerja yang bergelar pensyarah yang saya kenal.”

Sesungguhnya komen yang saya tulis itu bukanlah sekadar untuk memujuk beliau agar tidak terlalu merendah diri, bahkan itu adalah satu luahan yang jujur datang daripada pemerhatian saya setelah lebih sedekad berada dalam dunia pendidikan tinggi.

Ya, ramai rakan pensyarah yang saya kenal jauh ketinggalan dari pelbagai segi berbanding rakan sekolah saya tadi.

Sewaktu di bangku sekolah dahulu, saya mengagumi dan menyanjung mereka yang bekerja sebagai pensyarah. Saya sentiasa beranggapan bahawa pensyarah adalah antara golongan paling terpelajar dan bijaksana dalam sesebuah negara.

Anggapan ini berterusan apabila saya memasuki alam universiti di peringkat ijazah sarjana muda di sebuah universiti swasta kerana majoriti pensyarah saya memang membawa watak sedemikian rupa.

Namun begitu, perasaan kagum itu mula luntur apabila saya mula menyertai dunia akademia pada 2011. Saya mula berjumpa pensyarah-pensyarah yang tahap kualitinya tidak menepati jangkaan saya, bahkan mereka yang bergelar profesor sekalipun ada segelintir yang mengecewakan saya.

Bukannya seorang dua pensyarah yang rendah daya fikirnya serta tidak boleh memahami satu-satu konsep baharu dengan mudah.

Terdapat pensyarah yang gagal memahami sesuatu perkara baharu yang dijelaskan berkali-kali, walaupun penerangan yang sama boleh difahami dengan baik dan cepat oleh pelajar-pelajar diploma yang cemerlang.

Adakala sesuatu perkara itu boleh diselesaikan dengan hanya sedikit penelitian dan daya kreatif, namun tidak mampu mereka lakukan dan perlu disuap penyelesaiannya.

Tidak kurang juga yang jarang-jarang mengaplikasi pemikiran kritis apabila dimajukan dengan berita-berita atau ‘maklumat’ daripada sumber meragukan, terlebih-lebih lagi sekiranya maklumat itu berbau agama ataupun berkaitan politik.

Walhal mereka ini telah dilatih pada peringkat sarjana (sekurang-kurangnya semasa menyiapkan tesis mereka) untuk memastikan kesahihan satu-satu perkara.

Di samping itu, ramai pensyarah yang saya kenal juga tidak mencapah ilmunya serta sangat terhad pengetahuan am mereka.

Bukannya seorang dua yang tidak tahu perbezaan antara benua Amerika dengan negara Amerika Syarikat, tidak tahu perbezaan antara kaum Punjabi dengan Benggali ataupun menyangka Paus di Vatican City adalah ketua kepada semua penganut Kristian (kerana mereka tidak tahu pun terdapat pelbagai mazhab dalam agama Kristian).

Lebih malang lagi, ada pensyarah bidang kejuruteraan elektrik misalnya yang tidak tahu asas ilmu kimia, dan pensyarah kimia yang jahil dalam ilmu biologi yang fundamental.

Bahkan saya juga pernah berjumpa pensyarah yang tidak tahu ilmu di peringkat pertengahan dalam bidang mereka sendiri dan tidak mempunyai kemahiran mencukupi untuk membuat penyelidikan akademik.

Itu belum lagi bercerita tentang tahap penguasaan bahasa Inggeris. Saya akui bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris saya bukanlah hebat tetapi saya boleh mengesan kesalahan tatabahasa yang asas.

Setakat hitungan kasar saya, majoriti pensyarah yang saya kenal tidak menguasai bahasa Inggeris dengan memuaskan. Jika disuruh menulis dalam bahasa Inggeris tanpa bantuan, hampir setiap baris akan ada kesilapan tatabahasa mahupun struktur ayat.

Sesungguhnya segala ciri-ciri di atas mendorong saya untuk menulis ayat berikut dalam komen kepada gambar konvokesyen yang disebut pada permulaan artikel ini, “Saya pun tidak tahu bagaimana mereka ini boleh jadi pensyarah”.

Saya cuma mampu berharap agar pensyarah generasi seterusnya tidak mewarisi kebobrokan yang saya nukilkan di atas.

Buat pensyarah-pensyarah sedia ada, perbaikilah diri anda agar profesion ini terus dihormati dan sedikit sebanyak menyumbang kepada kualiti graduan yang lebih baik.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.