Kecerdasan emosi pupuk disiplin murid
Bentuk salah laku murid juga kian kompleks dengan bermula dengan ponteng kelas dan buli fizikal sehinggalah kepada buli siber serta ketagihan gajet.
                
ISU disiplin murid bukanlah fenomena baharu dalam dunia pendidikan. Seiring perubahan zaman, bentuk salah laku murid juga kian kompleks dengan bermula dengan ponteng kelas dan buli fizikal sehinggalah kepada buli siber serta ketagihan gajet.
Meskipun pelbagai bentuk hukuman telah dikenakan, masalah disiplin masih belum dapat ditangani secara tuntas. Hal ini menandakan bahawa disiplin bukan sekadar soal peraturan dan kawalan luaran tetapi turut melibatkan aspek yang lebih mendalam iaitu kecerdasan emosi (emotional intelligence).
Kecerdasan emosi merujuk kepada keupayaan seseorang mengenal, memahami dan mengawal emosinya sendiri serta berinteraksi dengan emosi orang lain secara positif.
Menurut penyelidik Daniel Goleman (1995), kecerdasan emosi merangkumi lima komponen utama iaitu kesedaran diri, pengurusan diri, motivasi, empati dan kemahiran sosial.
Individu yang tinggi kecerdasan emosinya bukan sahaja mampu menahan diri daripada tindakan impulsif, tetapi juga lebih berdisiplin dalam membuat keputusan. Justeru, membina disiplin murid sebenarnya bermula dengan membina kestabilan emosi mereka.
Ibu bapa sebagai cermin emosi anak
Tidak dapat dinafikan bahawa keluarga ialah sekolah pertama dalam pendidikan anak-anak termasuk emosinya. Sejak kecil, anak-anak belajar cara mengurus marah, kecewa dan sedih melalui pemerhatian terhadap reaksi ibu bapa mereka.
Jika ibu bapa menzahirkan komunikasi yang tenang dan penyayang, anak juga cenderung meniru ketenangan tersebut ketika berdepan konflik di luar rumah.
Namun, jika suasana rumah dipenuhi tekanan, jeritan atau hukuman fizikal, anak mudah terbiasa mengaitkan emosi negatif dengan penyelesaian masalah.
Setiap ibu bapa perlu sedar bahawa tanggungjawab mendidik anak tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada sekolah. Rumah ialah madrasah pertama yang membentuk nilai dan disiplin diri anak-anak.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Muslim, 4805)
Hadis ini menggambarkan bahawa ibu bapalah cerminan pertama yang menentukan arah pembentukan emosi dan akhlak anak. Oleh itu, pendekatan berasaskan empati, kasih sayang dan komunikasi terbuka perlu diamalkan dalam mendidik.
Setiap kali anak melakukan kesalahan, gunakan perbualan yang membimbing, bukan herdikan yang menghina. Ibu bapa juga wajar berganding bahu dengan pihak sekolah melalui mesyuarat PIBG, bengkel keibubapaan dan laporan kaunseling bagi memastikan kesejahteraan emosi anak dipantau secara berterusan.
Keseimbangan disiplin di rumah dan di sekolah akan lebih mudah dicapai apabila kedua-dua pihak saling memahami falsafah pendidikan emosi.
Anak-anak akan lebih yakin, berdisiplin dan berjiwa besar apabila mereka dibesarkan dalam suasana kasih yang mendidik, bukan dalam ketakutan yang membelenggu.
Nilai Islam dalam pengurusan emosi dan disiplin
Daripada perspektif Islam, kecerdasan emosi ialah cabang daripada akhlak yang mulia. Rasulullah SAW menegaskan bahawa kekuatan sebenar seseorang tidak terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi pada keupayaannya menahan marah.
Prinsip ini mengajarkan bahawa emosi yang dikawal dengan iman akan melahirkan disiplin yang ikhlas dan berakar daripada kesedaran dalaman. Murid yang berakhlak bukan kerana takut kepada hukuman tetapi kerana sedar bahawa Allah sentiasa memerhati, memiliki disiplin yang lebih tulen dan berterusan.
Konsep tazkiyah al-nafs atau penyucian jiwa turut menegaskan bahawa kestabilan emosi ialah asas kepada kejayaan rohani dan sosial.
Maka, pendidikan Islam sebenarnya telah lama menekankan kecerdasan emosi sebagai tunjang kepada pembentukan sahsiah murid.
Nilai sabar, syukur, empati dan tanggungjawab perlu terus disemai dalam kurikulum, aktiviti kokurikulum dan budaya sekolah bagi membina insan yang seimbang.
Kesimpulan
Tuntasnya, kecerdasan emosi merupakan hakikat kemanusiaan yang mendasari pembentukan disiplin sejati. Murid yang mampu mengenal emosi, mengawal diri dan menghargai orang lain akan lebih beradab serta berdisiplin.
Namun, membentuk kecerdasan emosi bukan tugas satu pihak sahaja. Ia menuntut sinergi antara murid, sekolah dan ibu bapa yang saling melengkapi peranan masing-masing.
Guru juga wajar diberikan autonomi dan ruang profesional untuk mendidik murid mengikut garis panduan yang ditetapkan. Penguatkuasaan disiplin perlu dilaksanakan secara seimbang dan adil, dengan mengambil kira hak guru sebagai pendidik.
Dalam hal kesalahan yang masih boleh dikompromi, guru seharusnya diberi kepercayaan untuk menanganinya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan, dengan pendekatan yang mendidik dan berhemah.
Sekolah perlu menjadi ruang yang memanusiakan murid, guru perlu menjadi model emosi yang menenangkan dan ibu bapa pula perlu menjadi teladan kasih yang membimbing.
Apabila ketiga-tiga komponen ini berfungsi dalam ekosistem yang harmoni, barulah lahir generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga matang emosi, berakhlak dan berdisiplin secara tulen.
Disiplin bukan lagi hasil paksaan, tetapi lahir daripada kesedaran diri. Dan di situlah letaknya kejayaan sebenar sebuah pendidikan yang mendidik jiwa.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
Muhamad Azamuddin Mohamad Ali ialah mahasiswa tahun akhir Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
