‘Co-teaching’ tuntut komitmen kita semua untuk menjayakannya

KPM merancang pelaksanaan kaedah ini secara berperingkat bermula 2027, dengan fokus kepada sekolah bandar dan luar bandar yang mempunyai kepelbagaian murid.

Feature Image (3)

KAEDAH pengajaran berpasukan atau co-teaching semakin mendapat perhatian apabila Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan pelaksanaannya secara rasmi bermula sesi akademik 2027.

KPM merancang pelaksanaan kaedah ini secara berperingkat bermula 2027, dengan fokus kepada sekolah bandar dan luar bandar yang mempunyai kepelbagaian murid.

Bagi merealisasikan kaedah ini, beberapa siri program latihan intensif telah dirangka dan akan diberikan kepada guru, termasuk modul pengajaran bersama, strategi pengurusan kelas serta penggunaan teknologi pendidikan sebagai sokongan.

Pendekatan ini melibatkan dua orang guru yang akan mengajar secara bersama dalam satu kelas, dengan tujuan meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta memenuhi kepelbagaian keperluan murid.

Walaupun kaedah ini dilihat masih baru di Malaysia, ia dilihat relevan berdasarkan beberapa manfaat yang diterima khususnya kepada para pelajar sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Pendekatan ini dapat meningkatkan perhatian guru terhadap murid secara individu di mana dua orang guru dapat memberi tumpuan lebih seimbang kepada murid, terutamanya mereka yang memerlukan sokongan tambahan.

Perkara ini dapat membantu pelajar untuk meningkatkan pemahaman serta pencapaian mereka di sekolah sekiranya diberikan perhatian yang lebih secara individu, seterusnya meningkatkan kualiti pencapaian prestasi akademik sekolah-sekolah di Malaysia.

Kajian antarabangsa menunjukkan model ini membantu meningkatkan prestasi murid dalam subjek kritikal seperti Matematik dan Sains. Ini disokong oleh sebuah lagi kajian dari Texas Tech di mana melalui kaedah ini, terdapat peningkatan yang baik berkaitan literasi & Matematik dalam kalangan murid berkeperluan khas.

Kajian sistematik oleh sebuah universiti di Denmark terhadap lebih 40 kajian antarabangsa mendapati pendekatan kaedah ini dan model kolaboratif lain memberi kesan positif kepada pencapaian murid.

Secara purata, murid dalam kelas co-teaching mencatat peningkatan skor akademik sebanyak 12–15% berbanding kelas tradisional manakala sebuah kajian lain dari Amerika Syarikat menunjukkan bahawa murid dalam kelas co-teaching lebih aktif bertanya dan terlibat dalam perbincangan, dengan peningkatan penglibatan murid sebanyak 20% berbanding kelas biasa.

Selain itu, kaedah pengajaran secara co-teaching ini juga dapat mempelbagaikan metod pengajaran guru dengan mengadakan pembelajaran secara interaktif.

Kehadiran dua tenaga pengajar pada masa yang sama membolehkan aktiviti kelas lebih dinamik, seperti perbincangan kumpulan kecil dan penilaian segera.

Co-teaching dilihat menggalakkan pembelajaran interaktif kerana dua guru dapat membahagikan peranan, memberi perhatian individu, dan melaksanakan aktiviti dinamik di dalam bilik darjah. Melalui penerangan konsep yang diberikan oleh seorang guru, guru lain dapat membahagikan kelas kepada kumpulan kecil untuk perbincangan, simulasi atau pembentangan bagi meningkatkan lagi tahap pemahaman terhadap sesuatu topik yang diperkenalkan.

Apabila berlaku kekeliruan dalam kalangan segelintir murid, seorang guru boleh memberi penjelasan tambahan tanpa mengganggu aliran pengajaran utama.

Seterusnya, kaedah ini juga dilihat seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang menekankan kemahiran insaniah, pemikiran kritikal dan pembentukan sahsiah. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 menetapkan tiga aspirasi utama iaitu akses, kualiti, dan ekuiti.

Jadi, kaedah ini secara langsung menyumbang kepada pencapaian inisiatif kerajaan kerana ia dapat meningkatkan kualiti PdP di mana dua guru dalam satu kelas membolehkan pengajaran lebih mendalam, interaktif, dan responsif terhadap keperluan murid.

Selain itu, di dalam mencapai sasaran PPPM ini, co-teaching juga dapat memperkukuh pendidikan inklusif di mana murid berkeperluan khas mendapat sokongan tambahan tanpa dipisahkan daripada rakan sebaya yang lain.

Kaedah ini juga menyumbang kepada pembangunan kemahiran abad ke-21 melalui aktiviti kolaboratif, perbincangan kumpulan dan penilaian segera, selari dengan aspirasi PPPM untuk melahirkan pelajar berfikiran kritis dan kreatif.

Justeru, pendekatan ini bukan sahaja selari dengan aspirasi PPPM, malah mempercepatkan pencapaiannya. Melalui peningkatan akses, kualiti dan ekuiti pendidikan, co-teaching berpotensi menjadi pemangkin utama dalam menjayakan transformasi pendidikan Malaysia menjelang 2025 dan tahun-tahun seterusnya.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kekangan dan cabaran yang dikenalpasti dalam menjalankan pendekatan co-teaching di sekolah-sekolah di Malaysia. Memandangkan kaedah co-teaching ini memerlukan dua orang guru pada satu masa yang sama, masalah paling utama yang perlu diberi perhatian serta memerlukan kordinasi yang sangat teliti adalah berkaitan logistik penjadualan.

Keadaan ini boleh menyebabkan gangguan pada struktur jadual waktu sekolah kerana perlu memastikan kedua-dua guru tersedia pada masa yang sama. Ia menjadi semakin sukar jika pelaksanaan ini melibatkan sekolah kecil yang mempunyai bilangan tenaga guru yang terhad.

Seterusnya, kaedah co-teaching memerlukan lebih ramai guru untuk subjek yang sama, sekali gus meningkatkan kos operasi di sekolah kerana perlu mendapatkan jumlah guru yang lebih ramai berbanding kaedah tradisional yang diguna pakai ketika ini.

Kos tambahan tersebut bukan sahaja melibatkan gaji tetapi juga latihan, bahan pengajaran dan penyelarasan pentadbiran di peringkat sekolah.

Walau bagaimanapun, peruntukan KPM dalam Belanjawan 2026 telah diluluskan sebanyak RM66.2 bilion untuk pelbagai faedah pendidikan termasuk sokongan untuk inisiatif baharu seperti co-teaching yang diperkenalkan.

Selain itu, faktor keserasian di antara pasangan guru juga menjadi penentu kejayaan dalam inisiatif co-teaching yang bakal dijalankan pada 2027 nanti. Bernama melaporkan pandangan dari seorang pakar tempatan bahawa jika guru tidak mempunyai keserasian, keadaan kelas boleh menjadi kurang teratur dan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pelajar.

Jepun dan Korea Selatan membuktikan kaedah co-teaching ini menunjukkan keberkesanan yang tinggi jika pasangan guru yang dipilih mempunyai keserasian yang tinggi. Selain keserasian, latihan profesional juga merupakan cabaran lain dalam pelaksanaan kaedah co-teaching ini. Guru perlu diberi latihan khusus untuk memahami strategi yang berkesan seterusnya memberikan pengalaman pembelajaran yang menarik dalam kalangan pelajar.

KPM sedang giat merangka dan menyediakan modul latihan kepada para guru sebelum pelaksanaan penuh pada tahun 2027. Tanpa latihan yang bersesuaian, kebarangkalian guru untuk kembali kepada kaedah lama adalah tinggi seterusnya menjejaskan keberkesanan kaedah ini seperti yang diwar-warkan.

Pelaksanaan kaedah co-teaching di Malaysia merupakan satu langkah transformasi pendidikan yang berani dan progresif. Dengan adanya dua orang guru yang berganding bahu di dalam satu kelas, pendekatan ini berpotensi meningkatkan keberkesanan pengajaran, memperkukuh penglibatan murid serta menyokong kepelbagaian tahap pencapaian.

Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada sejauh mana cabaran logistik penjadualan, kos tambahan, keserasian guru dan latihan profesional dapat ditangani dengan teliti oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Jika dilaksanakan dengan perancangan yang rapi, co-teaching bukan sahaja mampu memperkasa guru, tetapi juga melahirkan murid yang lebih aktif, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Justeru, kaedah ini wajar dilihat sebagai gelombang baharu pendidikan negara yang menuntut komitmen bersama daripada pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pembuat dasar.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.