Teka-teki kehidupan digital anak-anak

Hampir semua anak prasekolah menggunakan peranti digital dan penggunaan yang berlebihan lama-kelamaan menjadi biasa bagi anak-anak kecil ini.

Feature Image (4)

ANAK-ANAK kini membesar dalam dua dunia, dunia nyata dan dunia atas talian. Realiti ini bukan setakat melingkari kehidupan di rumah tetapi telah memasuki ke dalam bilik darjah. Tidak dinafikan, aplikasi digital membuka jalan-jalan baru bagi sesi pengajaran dan pembelajaran supaya proses ini menjadi lebih menarik dan dapat menggalakkan penglibatan yang aktif.

Namun demikian, penggunaan peranti berjam-jam lamanya setiap hari mempengaruhi tumpuan dalam kelas, kualiti tidur dan pencapaian akademik. Malah, impak daripada pengurusan peranti yang tidak efektif ini seringkali diingatkan oleh para pakar pendidikan dan psikologi.

Jika diimbas, generasi yang lepas menganggap akses kepada internet merupakan satu kemewahan, hanya dapat dicapai oleh golongan tertentu ettapi, pada hari ini, internet sudah menjadi keperluan satu dunia.

Merujuk kepada laporan kerja dan tinjauan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di Malaysia, kebanyakan anak berumur 5 hingga 17 tahun berada atas talian dan akses ini selalunya dicapai melalui telefon mudah alih.

Trend akses internet ini dilihat kian meningkat semenjak tahun 2018. Dalam pada itu, kajian-kajian berkaitan pendidikan dan perubatan menemui penggunaan peranti dalam kalangan anak-anak bermula sangat awal.

Berdasarkan sampel satu kajian, hampir semua anak di prasekolah menggunakan peranti digital dan penggunaan yang berlebihan lama-kelamaan menjadi biasa bagi anak-anak kecil ini.

Di sebalik trend yang merisaukan itu, perkembangan teknologi ini membawa manfaat kepada umat manusia. Paling mudah, ia dapat diterjemahkan dalam sesi pembelajaran. Para guru menggunakan video, aplikasi dan platform atas talian untuk menyesuaikan strategi pembelajaran dengan keperluan pelajar dan menggalakkan penyertaan aktif dalam bilik darjah.

Namun demikian, para pakar mengingatkan tidak semua waktu layar itu perlu diperuntukkan sama rata. Penggunaan yang pasif atau lebih kepada hiburan, terutamanya sebelum waktu tidur, boleh menyebabkan mutu tidur dan tumpuan yang rendah dan mengurangkan masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti mengulang kaji pelajaran dan bermain secara fizikal di mana aktiviti-aktiviti ini penting bagi menyokong pembelajaran akademik seseorang pelajar.

Justeru, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mencadangkan pelaksanaan had masa yang terhad terutamanya kepada anak-anak kecil seperti tidak memperuntukkan lebih daripada satu jam untuk duduk menghadap peranti dan mengurangkan penggunaan itu lebih baik pada waktu-waktu awal pembentukan kehidupan anak-anak kecil.

Penyelidikan terbaru mengemukakan hubungan yang jelas antara penggunaan peranti yang berlebihan dan hasil pencapaian akademik. Ada satu kajian pada tahun ini yang melibatkan para pelajar sekolah, mendedahkan waktu layar yang berlebihan merupakan penentu kepada pencapaian akademik yang lemah selain daripada kenaikan berat badan kerana tidak bergerak aktif.

Di samping itu, penggunaan peranti yang berlebihan juga menggalakkan kelakuan negatif di dalam kelas, seperti tumpuan yang pendek semasa belajar, tugasan yang dihantar tidak lengkap atau terburu-buru dan juga gangguan semasa sesi pembelajaran.

Selain daripada isu akademik, kesihatan mental dan kemahiran sosial-emosi juga terkesan. Analisa daripada kajian berskala besar mendapati waktu layar rekreasi yang berlebihan seperti permainan video dan penatalan pasif, menyebabkan masalah emosi dan sosial meruncing di kalangan anak-anak.

Para penyelidik menegaskan ia bukan serangan moral daripada teknologi itu sendiri tetapi bukti mendedahkan bahawa kandungan, konteks dan aturan masa memainkan peranan penting dalam kehidupan digital anak-anak.

Pakar psikologi klinikal, Dr Catherine Steiner-Adair berpendapat bahawa media dan rangkaian sosial boleh membentuk kelakuan manusia, maka tidak hairanlah anak-anak kita membesar dalam persekitaran yang menganggap kekejaman itu boleh dilakukan.

Menurut beliau lagi, pengaruh media menggalakkan kelakuan negatif ini manakala rangkaian sosial memudahkannya berlaku. Bagi kita, golongan pendidik di Malaysia, soalan utama yang perlu diselesaikan adalah bagaimana untuk mengimbangkan antara peluang digital dan pelindungan.

Antara strategi bilik darjah yang boleh diamalkan adalah memasukkan teknologi rendah bagi sesetengah kandungan pembelajaran, mengajar literasi digital dan kawalan diri dengan jelas, bekerjasama dengan ibu bapa berkenaan peraturan peranti di sekolah dan di rumah, dan mempraktikkan reka bentuk pentaksiran yang menekankan pemikiran yang mendalam.

Amalan-amalan ini jelas selari dengan pendapat-pendapat di peringkat antarabangsa yang menegaskan bahawa kecekapan digital diasah sebagai kemahiran yang perlu dipelajari, bukan setakat lihat dan guna.

Dalam melahirkan generasi bijak teknologi, ibu bapa turut memainkan watak yang penting. Banyak kajian menerangkan tabiat layar ibu bapa yang baik melahirkan corak penggunaan peranti anak-anak yang baik dan pelaksanaan peraturan digital di rumah seperti ada peranti semasa makan bersama dan sebelum tidur, menyaksikan perbezaan yang ketara.

Walau bagaimanapun, tinjauan keibubapaan menunjukkan kesedaran ibu bapa terhadap risiko siber menurun sejak kebelakangan ini sedangkan anak-anak semakin terdedah dengan dunia digital. Oleh itu, ibu bapa perlu bergerak aktif untuk memastikan keselamatan digital anak-anak terjamin, seiring dengan kerjasama, komunikasi dan bimbingan daripada pihak sekolah.

Kita tidak akan dapat lari daripada arus perkembangan teknologi. Justeru itu, penyelesaiannya bukan untuk mengharamkan peranti tetapi mereka bentuk diet digital yang berpusatkan anak seperti penyediaan kandungan pendidikan yang berkualiti tinggi, aturkan masa untuk melindungi waktu tidur dan bermain fizikal dan tentu sekali, peranan ibu bapa sebagai penimbangtara aktiviti digital.

Bagi guru-guru yang turut mencorak kehidupan anak-anak, reka bentuk semula sesi pembelajaran supaya teknologi dapat menguatkan pembelajaran, bukan menggantikannya. Jadikan aplikasi digital sebagai sekutu untuk menjadikan kesihatan dan pembelajaran sebagai misi utama kehidupan anak-anak kita.

Akhir kata, bilik darjah di Malaysia atau di mana-mana sahaja sentiasa mengalami perubahan. Maka, pentadbirannya merangkumi sesi perbincangan yang aktif dan pelaksanaan yang konsisten dan inklusif. Ia memerlukan pembentukan polisi berasaskan bukti, latihan kepada guru-guru dalam pedagogi digital dan kerjasama malah perkongsian dengan institusi keluarga dan komuniti. Ini kerana amalan penggunaan digital anak-anak pada hari ini menjadi penentu siapa mereka pada masa akan datang.