Prasarana surau dan masjid terjaga, jemaah ceria

Kerjasama erat semua pihak khususnya dalam kalangan jemaah adalah dituntut agar sedar dan cakna bagi menyelesaikan isu kerosakan prasarana di surau atau masjid.

Poster Terkini

Oleh: MOHAMMAD SUFIAN ABDUL MANAN & MOHD. RIZAL HANAFI

BAYANGKAN situasi ini, anda hendak menggunakan kemudahan tandas di surau atau masjid sama ada di kariah anda ataupun ketika sedang musafir, alih-alih anda dapati selak pintu sebelah dalam rosak ataupun patah. Kemudian, apabila anda hendak mengepam tandas, anda mendapati pelampung rosak. Tentu anda hampa bukan?

Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan definisi prasarana sebagai keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan asas yang perlu bagi pembangunan dan kemajuan. Ia bersinonim dengan perkataan infrastruktur, kemudahan awam dan utiliti.

Dalam surah At-Tawbah, ayat 18: “Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut selain kepada Allah.”

Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat), memakmurkan bermaksud: Meningkatkan kemakmuran atau membangunkan.
Menjadikan sesuatu lebih baik atau makmur seperti memajukan keadaan sosial, ekonomi atau budaya.
Menghidupkan atau menjadikan sesuatu tempat lebih aktif dan berkembang, contohnya memakmurkan masjid dengan pelbagai aktiviti keagamaan atau sosial.

Dalam konteks masjid, memakmurkan bermaksud menghidupkan masjid dengan amalan ibadah seperti solat berjemaah, zikir, pengajian dan aktiviti-aktiviti lain yang bermanfaat bagi umat Islam.

Mengapa kerosakan prasarana di surau dan masjid dipandang sepi?

Pertama, kos. Bagi surau ataupun masjid yang terletak di kawasan pedalaman mahupun di kampung-kampung, apabila kerosakan prasarana ini berlarutan dalam tempoh masa yang panjang, kerosakan ini akan merebak. Ini membuatkan kos pembaikan kerosakan menjadi lebih tinggi.

Selain itu, sumber kewangan surau atau masjid yang tidak stabil juga akan melewatkan kerja-kerja pembaikan kerosakan kemudahan di surau atau masjid.

Kita kecualikan perkara ini kepada masjid-masjid ataupun surau-surau di bandar besar kerana sumber kewangan mereka stabil disebabkan kutipan tinggi yang diterima setiap kali Solat Jumaat termasuk bagi surau-surau yang diberikan kebenaran menganjurkan Solat Jumaat serta sumbangan kewangan daripada individu.

Namun, soal kewangan dilihat meruncing di surau dan masjid dalam kawasan pedalaman mahupun di kampung-kampung. Sudahlah bilangan jemaah tidak ramai, bilangan yang mengimarahkan surau-surau tua ini pula hanya daripada golongan veteran dan berusia.

Justeru, sukar bagi pihak surau atau masjid melaksanakan pembaikan segera bagi kerosakan prasarana yang berlaku.

Individu sangat digalakkan untuk memberikan sumbangan kewangan kerana kelebihan ganjaran yang bakal diperoleh sangat besar seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261: “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai terdapat seratus biji.”

Kedua, budaya tidak kisah dan meletakkan tanggungjawab kepada AJK masjid atau surau semata-mata. Perkara ini bukan hanya terjadi kepada surau atau masjid di pedalaman, bahkan di bandar juga.

Jemaah tidak kisah kepada kerosakan prasarana yang berlaku dan tidak memaklumkan pengurusan surau dan masjid berkenaan perkara ini. Selain itu, budaya menunggu AJK masjid atau surau melakukan rondaan sehingga menemukan kerosakan yang berlaku menyebabkan kerosakan semakin bertambah ataupun berlakunya pembaziran yang sia-sia disebabkan kerosakan tersebut. Contohnya kerosakan paip pecah.

Jadilah jemaah yang cakna

Budaya ‘surau dan masjid kita tanggungjawab kita’ perlu diperkukuhkan dalam kalangan jemaah surau ataupun masjid sesebuah kariah. Janganlah mengharapkan aduan kerosakan prasarana diutarakan oleh pengunjung yang singgah bermusafir kerana kitalah yang perlu menggalas tanggungjawab tersebut. Musafir singgah dan pergi, namun kita jemaah menggunakan surau dan masjid setiap hari.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kalian melihat sesuatu yang kotor di masjid, maka bersihkanlah ia.”
(Hadis Riwayat Muslim, no. 550) Status: Sahih (dikeluarkan oleh Muslim)

Ibu bapa boleh mendidik anak-anak untuk cintakan surau dan masjid dengan lebih erat lagi. Jika sebelum ini anak-anak diajar untuk datang ke masjid bagi melaksanakan solat berjemaah, sekarang ibu bapa boleh mengajar untuk anak-anak mengadu kepada mereka ataupun kepada jemaah dewasa jika anak-anak tersebut menjumpai kerosakan prasarana.

Selain itu, jemaah remaja dan belia boleh berperanan sebagai ‘mata-mata’ untuk membantu AJK masjid atau surau melakukan pemantauan berkala terhadap kerosakan prasarana.

Ada sesetengah surau ataupun masjid dimana AJK surau atau masjid terdiri daripada golongan berusia dan veteran yang kadangkala menghadapi masalah kesihatan serta kurang cergas untuk melakukan kerja-kerja pemantauan kerosakan secara berkala dan kerap.

Selain itu, jemaah remaja dan belia yang mempunyai kemahiran teknikal dan TVET boleh membantu kerja-kerja pembaikan awal sebelum dilaksanakan oleh pihak kontraktor.

Justeru, dengan penglibatan jemaah remaja dan belia dalam urusan prasarana surau dan masjid, ia mampu mengurangkan beban yang ditanggung oleh AJK surau atau masjid sebelum ini.

Pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ sungguh indah dan bererti jika seluruh jemaah cakna dan sedia menggalas tanggungjawab terhadap isu kerosakan prasarana di surau atau masjid.

Manfaatkan teknologi

Dengan ledakan teknologi masa kini, sewajarnya ia dimanfaatkan oleh pihak surau atau masjid bagi mendepani isu kerosakan prasarana. Sebagai contoh, dengan memanfaatkan aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram, aduan kerosakan yang dijumpai oleh jemaah akan lebih pantas diketahui oleh pengurusan surau atau masjid apabila jemaah tersebut memaklumkan menerusi grup WhatsApp atau Telegram surau atau masjid.

Gambar dan video yang dimuatnaik memperincikan kerosakan tersebut akan memudahkan pengurusan surau dan masjid melaksanakan tindakan susulan. Langkah ini lebih menjimatkan bagi surau ataupun masjid yang tidak mampu mengadakan kemudahan CCTV bagi memantau kerosakan dan lain-lain.

Justeru, semua pihak boleh mengambil inspirasi daripada Hadith berikut: Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah seorang pun dari umatku yang membangun masjid dengan niat yang baik, melainkan Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 450)

Apabila niat membangunkan sesebuah masjid kerana Allah, pasti mengambil segala cara demi kebaikan yang boleh menyokong individu atau kumpulan lakukan agar berhasil atau memberi manfaat yang luas antaranya menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan lain-lain bagi memaparkan kerja-kerja pembaikan kerosakan prasarana sedang berlangsung dan apabila kerja-kerja tersebut telah selesai.

Ini dapat memberikan maklumat serta menjawab pertanyaan jemaah yang ingin tahu status pembaikan kerosakan prasarana serta bila ia boleh digunakan semula. Justeru, imej surau dan masjid akan terjaga dan tidak diperlekehkan pihak lain.

Sebagai penutup, isu kerosakan prasarana di surau atau masjid bukanlah isu baharu. Justeru, kerjasama erat semua pihak khususnya dalam kalangan jemaah adalah dituntut agar semua pihak sedar dan cakna bagi menyelesaikan isu ini.

Dengan kehadiran Hari Raya Aidiladha kurang dari 2 bulan dan sudah pasti surau serta masjid akan digunakan untuk solat sunat Aidiladha, isu kerosakan prasarana surau dan masjid bukan sekadar kerosakan, ia boleh memberi gambaran terhadap imej dan jenama sesebuah surau dan masjid.


Mohammad Sufian Abdul Manan merupakan Penolong Pendaftar Kanan di Penerbit UiTM, Universiti Teknologi MARA, manakala Mohd Rizal Hanafi adalah Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Islam) di Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Kampus Arau.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.