Pusat pengedaran DKSH Malaysia raih pensijilan keselamatan tertinggi TAPA FSR

Pencapaian itu menandakan satu perkembangan penting bagi kemudahan berkenaan yang sebelum ini memperoleh pensijilan Klasifikasi C pada tahun 2019.

Feature Image (4)

KUALA LUMPUR, 6 Mac 2026 – Pusat Pengedaran Logistik Barangan Pengguna (CGL) 1 milik DKSH Malaysia berjaya dinaik taraf kepada pensijilan Transported Asset Protection Association Facility Security Requirements (TAPA FSR) Klasifikasi A, iaitu tahap keselamatan kemudahan tertinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pencapaian itu menandakan satu perkembangan penting bagi kemudahan berkenaan yang sebelum ini memperoleh pensijilan Klasifikasi C pada tahun 2019.

DKSH, penyedia utama Perkhidmatan Pengembangan Pasaran (Market Expansion Services) di Asia dan di peringkat global, memaklumkan peningkatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh standard keselamatan rantaian bekalan serta meningkatkan keupayaan infrastruktur logistiknya.

Menurut syarikat itu, pengiktirafan Klasifikasi A membuktikan usaha berterusan DKSH Malaysia dalam melaksanakan amalan terbaik global bagi memastikan perlindungan barangan serta meningkatkan tahap keselamatan operasi dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

Pensijilan TAPA FSR diiktiraf secara meluas sebagai penanda aras global dalam keselamatan rantaian bekalan dan logistik. Pensijilan bebas itu menilai tahap keupayaan sesuatu kemudahan dalam melindungi barangan bernilai tinggi dan sensitif terhadap risiko kecurian.

Penilaian berkenaan merangkumi pelbagai aspek keselamatan termasuk kawalan fizikal, sistem kawalan akses, pemantauan keselamatan serta pengurusan risiko yang menyeluruh.

Sejak memperoleh pensijilan awal pada 2019, CGL 1 terus meningkatkan infrastruktur keselamatan bagi memenuhi keperluan piawaian global yang semakin berkembang.

Proses peningkatan terkini melibatkan pelaksanaan beberapa penambahbaikan berdasarkan cadangan audit terdahulu selain pengenalan langkah keselamatan tambahan yang lebih komprehensif, sekali gus memperkukuh komitmen DKSH Malaysia terhadap penambahbaikan berterusan dan kecemerlangan operasi.

Ketua Pengurusan Rantaian Bekalan Barangan Pengguna DKSH Malaysia, Ragesh Kumaran berkata, pencapaian tersebut merupakan satu kejayaan penting bagi pusat pengedaran berkenaan.

“Pensijilan TAPA FSR Klasifikasi A mencerminkan peningkatan ketara yang telah kami lakukan bagi memperkukuh infrastruktur keselamatan serta melindungi barangan pengguna bernilai tinggi.

“Kejayaan ini adalah hasil disiplin tinggi, keupayaan teknikal serta usaha berterusan pasukan kami dalam menambah baik operasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Rantaian Bekalan DKSH bagi Malaysia dan Brunei, Joel Solomon, berkata pengiktirafan tersebut turut mengukuhkan kedudukan DKSH Malaysia dalam membangunkan persekitaran pengedaran yang selamat serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Menurutnya, syarikat akan terus mengintegrasikan amalan terbaik global dalam rangkaian logistiknya bagi memastikan keselamatan rantaian bekalan sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Beliau menambah, usaha berterusan itu membolehkan pelanggan dan rakan niaga DKSH terus bergantung kepada syarikat berkenaan dengan keyakinan yang lebih tinggi.