SMC ungguli kedudukan teratas bagi Pediatrik dalam ranking terkini Newsweek

Poster Terkini

BANDAR SUNWAY, 6 Jun 2024 – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), hospital kuaternari utama di bawah Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway (SHG) kekal berada pada kedudukan teratas bagi perkhidmatan Pediatrik di Malaysia dalam ranking Hospital Khusus Terbaik Asia Pasifik Newsweek 2024.

SMC berada pada kedudukan ke-26 untuk perkhidmatan Pediatrik di Asia Pasifik.

Hospital ini turut membuat kemunculan sulung dalam kategori Neurosurgeri dan Pembedahan Jantung iaitu pada kedudukan 75 hospital terbaik di rantau APAC, selain menambah baik kedudukannya dalam kategori Onkologi, Neurologi dan Kardiologi.

“Kami berasa amat sukacita kerana perkhidmatan Pediatrik kami diiktiraf di peringkat serantau, seiring Pusat Perubatan Sunway mengendalikan Jabatan Kecemasan Kanak-kanak yang pertama di negara ini dalam kalangan hospital swasta dan telah menerima kunjungan lebih 22,000 pesakit sejak tahun 2023.

“Pusat sehenti yang diperkenalkan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan bayi, kanak-kanak dan remaja ini digerakkan oleh 45 doktor pakar pediatrik meliputi 24 bidang subkepakaran kanak-kanak,” kata Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr. Seow Vei Ken berkata, prestasi yang konsisten dan pengiktirafan terkini ini mencerminkan kerja keras dan komitmen pasukan yang berdedikasi untuk menyediakan penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

“Pengiktirafan ini menekankan usaha berterusan kami untuk mencapai kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan.

“Ini akan menjadi pemangkin untuk kami terus meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan menginovasikan perkhidmatan perubatan khusus bagi memenuhi keperluan pesakit yang pelbagai,” katanya.

SMC merupakan sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di negara ini dengan 724 katil berlesen dan mempunyai kapasiti untuk berkembang kepada 1,100 katil apabila blok keenam, Menara F dalam kampus hospital siap.

Ranking Hospital Khusus Terbaik Asia Pasifik 2024 mengenal pasti dan memberi penghormatan kepada hospital awam, hospital pengajar/akademik dan swasta terbaik di rantau Asia Pasifik yang mempunyai kepakaran dalam bidang Kardiologi, Pembedahan Jantung, Endokrinologi, Neurologi, Neurosurgeri, Onkologi, Ortopedik, Pediatrik dan Pulmonologi. Penganugerahan ini mengiktiraf hospital terbaik di sembilan negara dan wilayah iaitu Australia, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, dan Thailand.

Pengumuman baru-baru ini dibuat selepas kejayaan SMC sebagai salah satu hospital Malaysia pertama yang disenaraikan dalam 250 hospital terulung dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024, yang menilai hospital di seluruh dunia dalam bidang kecemerlangan klinikal, penyelidikan, dan inovasi.