Mahasiswa UM perkasa ilmu tajwid pelajar SMKA Segamat
Program menghimpunkan seramai 101 pelajar berumur antara 13 hingga 16 tahun, dengan penyertaan aktif 42 mahasiswa dan mahasiswi daripada Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

UNIVERSITI MALAYA (UM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, Johor menganjurkan satu program motivasi dan ilmiah bertemakan The Light Within: Glow Journey yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini.
Program tersebut menghimpunkan seramai 101 pelajar berumur antara 13 hingga 16 tahun, dengan penyertaan aktif 42 mahasiswa dan mahasiswi daripada Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).
Ia merupakan sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM), yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti dan turut mendapat sokongan daripada Yayasan Restu.
Penasihat program, Profesor Madya Dr Selamat Amir berkata, penganjuran ini bertujuan memperkukuh penguasaan ilmu tajwid secara praktikal, di samping membina hubungan erat antara generasi muda dan al-Quran.
“Antara objektif utama ialah memberi kefahaman tentang keindahan dan peranan al-Quran sebagai panduan hidup, di samping membina keyakinan pelajar dalam pembacaan yang fasih dan tepat. Selain itu, program ini juga bertujuan membentuk sahsiah pelajar agar menjadi insan yang berdaya saing dan progresif dalam cabaran semasa,” katanya.
Sepanjang program, pelbagai modul dilaksanakan termasuk aktiviti interaktif dengan ayat-ayat al-Quran, latihan tajwid dan makhraj serta aktiviti kolaboratif berteraskan nilai-nilai Islam. Pendekatan ini juga memberi penekanan kepada pembentukan jati diri melalui interaksi sosial yang sihat dan pengukuhan ukhuwah.
Wakil SMKA Segamat, Ustaz Muhammad Alif Jamali menyambut baik penganjuran program tersebut dan merakamkan penghargaan kepada pihak UM atas inisiatif murni itu.
“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan mahasiswa UM yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga menjadi contoh dan inspirasi kepada pelajar kami. Diharapkan kerjasama sebegini dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang cintakan al-Quran dan berakhlak mulia,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama ini memberi pengalaman bermakna kepada pelajar dan mampu menjadi pemangkin dalam pembinaan kekuatan spiritual serta peribadi mereka.
Program The Light Within: Glow Journey diharap dapat menjadi pemacu kepada usaha berterusan dalam memperkasakan generasi muda melalui pendekatan pendidikan Islam yang holistik dan berimpak tinggi.