Pedagogi era digital: Pembelajaran mikro pilihan terkini

Bidang pendidikan di negara kita telah menerima satu lagi pembaharuan yang mula mendapat tempat oleh kebanyakan masyarakat dunia iaitu era pembelajaran mikro.

Feature Image

PERNAH satu ketika dahulu, suasana bilik darjah dihiasi dengan bunyi geseran kapur di papan hitam oleh guru, pelajar tekun mencatat nota panjang dan guru menyampaikan pengajaran selama setengah jam sehingga ke satu jam tanpa henti.

Namun kini, suasana pengajaran dan pembelajaran tersebut telah mengalami perubahan, bukan kerana pelajar tidak lagi mempunyai keinginan untuk belajar atau guru kehabisan bekalan kapur tulis tetapi cara dan pendekatan mereka untuk memberi serta mendapatkan ilmu telah berubah, seiring dengan perubahan masa dan zaman.

Tiada lagi kapur dan papan hitam menghiasi suasana pembelajaran, malah ia digantikan dengan peranti mobil seperti tablet, komputer riba atau sekurang-kurangnya telefon pintar yang dimiliki oleh kebanyakan pelajar masa kini.

Bidang pendidikan di negara kita telah menerima satu lagi pembaharuan yang mula mendapat tempat oleh kebanyakan masyarakat dunia iaitu era pembelajaran mikro, pendekatan pendidikan abad ke-21 yang semakin mendapat tempat bukan sahaja di institusi pengajian tinggi, malah mula diterapkan di sekolah dan juga modul latihan profesional.

Ia bukan lagi menghiasi dunia pendidikan hanya sekadar trend kepada teknologi terkini yang banyak diguna pakai dalam pelbagai jenis industri, malah merupakan satu keperluan mendesak dalam dunia yang semakin pantas dan era digital.

Dianggarkan seramai lebih daripada 90 peratus golongan remaja dan dewasa memiliki alat peranti yang dihubungkan dengan kemudahan internet, di mana ia memberikan akses yang mudah dan secara langsung kepada pendekatan pembelajaran mikro ini.

Apakah Itu Pembelajaran Mikro?

Ia mungkin sesuatu yang baru bagi sesetengah masyarakat. Pembelajaran mikro merujuk kepada penyampaian kandungan pembelajaran dalam bentuk unit kecil dan fokus, biasanya berdurasi antara 2 hingga 10 minit, melalui medium seperti video, infografik, kuiz interaktif dan teks ringkas.

Dalam perkataan lain, ia merupakan pendekatan pengajaran pembelajaran bersaiz gigitan (bites-sizes) yang menyampaikan kandungan dalam bahagian yang kecil, boleh diurus dan berfokus tinggi. Pendekatan ini sesuai untuk pelajar yang lebih gemar ‘learning in bites’ berbanding ‘learning in bulk’.

Pendek kata, jika pembelajaran tradisional ibarat menyajikan satu pinggan nasi lemak secara lengkap tanpa mengambil kira keperluan individu, maka pembelajaran mikro ialah menyajikan komponen nasi, sambal, telur, kacang dan timun secara berasingan untuk diambil sedikit demi sedikit, mengikut selera dan keperluan masing-masing.

Justeru, ia dilihat lebih fleksibel kerana disesuaiakn mengikut kehendak dan keperluan secara individu.

Mengapa Pembelajaran Tradisional Mula Ditinggalkan?

Kebelakangan ini, pembelajaran secara tradisional semakin kurang mendapat tempat terutamanya dalam kalangan pelajar sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun pengajian tinggi. Perubahan ini didorong oleh pelbagai faktor. Antaranya perubahan gaya hidup, teknologi dan profil pelajar itu sendiri.

Kajian oleh Microsoft pada tahun 2021 menunjukkan bahawa purata tumpuan seseorang terhadap sesuatu maklumat yang ingin disampaikan kini hanya sekitar 8 saat, lebih pendek daripada purata tumpuan seekor ikan emas! Dalam konteks bilik darjah, ini bermaksud sesi kuliah selama tiga puluh minit atau sejam tanpa interaksi atau visual menarik boleh menyebabkan pelajar ‘hilang fokus’ selepas hanya 10 minit.

Ini dilihat sebagai sesuatu yang kurang berkesan khususnya dalam meningkatkan pemahaman pelajar di dalam kelas terhadap sesuatu maklumat yang ingin disampaikan. Jika dilihat, tempoh tumpuan seseorang akan berubah menjadi semakin berkurang, seiring dengan perubahan zaman akibat penggunaan dan pendedahan kepada pelbagai teknologi terkini.

Di Malaysia, tinjauan nasional Penggunaan Teknologi Pendidikan 2022 menunjukkan bahawa 74 peratus pelajar sekolah menengah lebih mudah memahami kandungan yang disampaikan melalui video ringkas atau modul interaktif pendek, berbanding pembelajaran berasaskan nota panjang atau kuliah.

Ini adalah kerana mereka menggunakan sepenuhnya kuasa tumpuan untuk menyerap maklumat yang disampaikan dengan cara yang lebih interaktif dan ringkas dalam tempoh yang lebih pendek berbanding penyampaian secara tradisional oleh guru di dalam kelas yang memakan masa agak panjang manakala bagi seorang guru pula, masa untuk merancang pelajaran menjadi semakin mencabar terutama apabila perlu menangani pelajar dari pelbagai tahap kemampuan akademik yang diletakkan di dalam satu kelas.

Justeru, pembelajaran mikro menawarkan satu bentuk penyelesaian bijak di mana ia membahagikan kandungan kepada unit-unit kecil yang mudah dicerna, sekali gus memberi ruang kepada pelajar mengakses semula bahan pada bila-bila masa mengikut kesesuaian masing-masing.

Kelebihan Pembelajaran Mikro

Pembelajaran mikro bersifat fleksibel dan boleh diakses pada bila-bila masa. Pelajar tidak lagi terikat kepada waktu kelas yang telah ditetapkan secara khusus. Mereka boleh mengulangkaji topik tertentu melalui video atau bahan mikro yang boleh didapat secara atas talian sambil menunggu bas atau berada di rumah.

Tiada lagi kehadiran secara fizikal diperlukan memandangkan mode penyampaian yang sangat fleksibel dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pelajar kerana sifatnya yang ringkas dan mudah diakses.

Seteruanya, pembelajaran mikro dilihat lebih interaktif dan menarik jika dibandingkan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara tradisional. Penggunaan animasi, kuiz dan elemen visual menjadikan pembelajaran lebih hidup dan memberikan pengalaman pembelajaran yang menarik kepada para pelajar.

Ini dilihat amat bersesuaian untuk generasi digital-native yang membesar dengan pelbagai jenis aplikasi media sosial seperti TikTok, YouTube, Instagram dan sebagainya. Elemen interaktif ini selain menghilangkan rasa bosan, ia juga mampu meningkatkan motivasi kepada pelajar khususnya secara visual untuk mengikuti pengajaran yang telah disediakan oleh guru.

Selain itu, ia juga mengamalkan pendekatan pembelajaran mengikut kadar sendiri (Self-paced learning). Tidak semua pelajar dapat memahami tentang sesuatu konsep dalam satu masa yang sama. Justeru, pembelajaran mikro memberi peluang untuk melakukan ulangkaji secara kendiri, mengikut kadar pemahaman masing-masing.

Ini seterusnya mampu meningkatkan pemahaman dan minat pelajar terhadap pengetahuan yang dipelajari, yang akhirnya memberikan kesan positif terhadap pencapaian akademik mereka. Ini juga dapat membantu guru untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan pelajar memandangkan waktu yang diperuntukkan di sekolah agak pendek dan terhad.

Melalui kaedah pembelajaran mikro juga, ia mampu untuk mengurangkan beban guru dan pelajar dengan hanya memberi tumpuan kepada satu objektif pembelajaran yang khusus dalam skala yang kecil melalui satu modul mikro. Guru tidak perlu merangkumi terlalu banyak isi dalam satu masa, manakala pelajar tidak dibebani maklumat berlebihan, selaras dengan peribahasa Melayu sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit.

Cabaran Pelaksanaan

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa peralihan penddekatan ini datang bersama beberapa cabaran tertentu. Antara isu utama termasuklah akses kepada peranti dan internet, terutamanya bagi pelajar luar bandar yang sangat terhad. Memandangkan pembelajaran mikro ini banyak bergantung kepada penggunaan teknologi digital dan kemudahan internet, maka fasiliti alat peranti amatlah perlu dan menjadi keperluan asas di dalam pembelajaran mikro.

Selain itu, terdapat juga isu lain iaitu guru yang kurang berkemahiran menggunakan peralatan moden bagi tujuan penyediaan kandungan pembelajaran. Kemahiran literasi digital guru merupakan suatu komponen penting dalam mereka bentuk bahan mikro yang efektif untuk menarik minat pelajar terhadap sesuatu topik yang diperkenalkan.

Di samping itu, kekangan lain yang dihadapi adalah penyesuaian sistem penilaian dan kurikulum yang masih berpaksikan kaedah konvensional. Boleh dikatakan secara keseluruhan, sistem penilaian pelajar di sekolah-sekolah di Malaysia masih berpaksikan kepada pembelajaran secara tradisional di mana guru mengajar manakala pelajar tekun mendengar di dalam kelas.

Justeru, perlunya latihan profesional yang sistematik kepada para pendidik untuk memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi perubahan alaf baharu, termasuk modul pembangunan bahan mikro, reka bentuk pengajaran digital dan penggunaan platform e-pembelajaran secara efektif.

Masa Depan Pendidikan di Hujung Jari

Beberapa negara seperti Finland, Singapura dan Korea Selatan telah lama mengintegrasikan pendekatan pembelajaran mikro dalam sistem pendidikan mereka. Di Malaysia, inisiatif seperti Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan program MyDigital membuka ruang yang besar bagi memberi laluan kepada pengembangan pedagogi baharu ini.

Apa yang penting ialah kesediaan minda guru, pentadbir dan pembuat dasar untuk berubah. Guru hari ini bukan sekadar penyampai ilmu tetapi pencipta pengalaman pembelajaran dan pembelajaran mikro adalah antara alat terbaik untuk tujuan itu.

Kita Perlu Berani Berubah

Revolusi dalam pendidikan tidak berlaku hanya dalam tempoh semalaman. Ia memerlukan komitmen, latihan dan perubahan budaya. Namun jika kita ingin melihat pelajar kita lebih fokus, lebih bermotivasi dan lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar, maka pendekatan pembelajaran mikro wajar diberi ruang dan perhatian.

Daripada kapur dan papan hitam, kita kini bergerak ke klik dan skrin digital dan dalam dunia yang bergerak pantas ini, pembelajaran mikro bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.