Home » IDEAS, BHEUU anjur persidangan antarabangsa mengenai reformasi pembiayaan politik

IDEAS, BHEUU anjur persidangan antarabangsa mengenai reformasi pembiayaan politik

Poster Terkini (3)

KUALA LUMPUR, 7 Januari 2024 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan menganjurkan Persidangan Prospek, Cabaran dan Peluang bagi Reformasi Dalam Pembiayaan Politik di Malaysia pada 14 Januari di The Majestic Hotel di sini.

Dalam kenyataan hari ini IDEAS memaklumkan persidangan itu bertujuan untuk menangani isu mendesak reformasi pembiayaan politik di Malaysia dan menyediakan platform untuk penggubal dasar, ahli politik, ahli akademik dan organisasi masyarakat sivil untuk membincangkan strategi bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti pada landskap pembiayaan politik dalam negara.

“Perbincangan akan memberi tumpuan kepada amalan terbaik, rangka kerja inovatif dan cabaran melaksanakan reformasi dalam konteks politik yang pelbagai.

“Reformasi pembiayaan politik adalah nadi dalam mengukuhkan demokrasi Malaysia. Dengan menangani cabaran sistemik, persidangan ini akan menyumbang kepada pembinaan sistem politik yang lebih adil dan telus yang meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi,” menurut kenyataan itu.

Acara utama persidangan itu adalah ucapan perasmian oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang akan mencetuskan perbincangan mantap mengenai masa depan reformasi pembiayaan politik di Malaysia.

Acara ini juga akan menampilkan sesi melibatkan panel pakar, dengan penceramah antarabangsa dan tempatan terkemuka seperti Prof. Madya, Pusat Pengajian Politik dan Perhubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham, Dr. Fernando Casal Bértoa dan Pengarah Pejabat Wilayah Eropah, International Foundation for Electoral Systems (IFES), Dr. Magnus Ohman.

IDEAS berkata Ahli Parlimen, parti politik, pemimpin perniagaan, penggubal dasar dan pertubuhan awam dijemput untuk menyertai dialog dan menyumbang ke arah membentuk sistem politik yang lebih adil dan telus. – BERNAMA