Keseimbangan AI dan pemikiran kritis dalam pendidikan
Penggunaan AI yang berlebihan berpotensi mengikis inti falsafah pendidikan itu sendiri iaitu melatih proses berfikir pelajar.

KEHADIRAN kecerdasan buatan (AI) dalam dunia pendidikan kini menjadi topik yang semakin hangat diperbincangkan.
Di satu sisi, AI menawarkan kemudahan, kepantasan dan kecekapan dalam memperoleh jawapan, menyusun tugas, bahkan membantu pelajar memahami pelbagai konsep rumit.
Namun di sisi lain, muncul kegusaran mendalam bahawa penggunaan AI yang berlebihan berpotensi mengikis inti falsafah pendidikan itu sendiri iaitu melatih proses berfikir pelajar.
Pendidikan bukanlah sekadar tentang jawapan yang betul tetapi tentang perjalanan panjang bagaimana seorang pelajar mengolah informasi, menganalisis, menimbang, lalu sampai kepada sebuah kesimpulan.
AI menghadirkan sesuatu yang sangat menggoda hasil segera. Dengan hanya menaip arahan, pelajar dapat memperoleh jawapan terperinci, esei yang tersusun, bahkan penyelesaian matematik yang rumit dalam sekelip mata.
Kepantasan ini tentu memudahkan, apalagi di tengah tuntutan akademik yang semakin tinggi. Namun, di sinilah persoalan bermula. Apabila pelajar terbiasa mendapatkan sesuatu secara instan, mereka cenderung kehilangan minat dan motivasi untuk melalui proses berfikir yang mendalam.
Aktivitas intelektual yang seharusnya mengasah otak seperti mencari sumber, menghubungkan konsep atau membandingkan pandangan, perlahan-lahan ditinggalkan.
Falsafah pendidikan sejak dahulu menekankan bahawa berfikir adalah sebuah proses. Seorang pelajar yang belajar untuk memahami tidak hanya berhenti pada jawapan akhir tetapi juga menekuni jalan panjang menuju jawapan itu.
Proses inilah yang melatih daya kritis, membina ketahanan intelektual, serta memupuk kebijaksanaan dalam mengambil keputusan.
Tanpa proses ini, pendidikan akan tereduksi menjadi sekadar pengumpulan jawapan, bukan pembentukan manusia yang berfikir. Kehadiran AI berisiko menurunkan kedalaman intelektual pelajar kerana mereka tidak lagi merasakan pentingnya usaha, pertanyaan kritis atau rasa ingin tahu yang biasanya muncul ketika mereka menghadapi kebuntuan.
Namun, menyalahkan AI semata-mata tentu bukan jawapan yang adil. AI sebenarnya juga membawa sisi positif yang tidak dapat diabaikan.
Teknologi ini dapat menjadi penolong bagi pelajar yang mengalami kesulitan belajar, misalnya dalam memahami bahasa asing, menyelesaikan persoalan matematik yang kompleks atau bahkan mendapatkan penjelasan tambahan di luar kelas.
AI juga dapat menjadi alat pembelajaran yang inklusif, menjembatani perbezaan tahap pemahaman pelajar, sehingga guru boleh lebih fokus kepada aspek-aspek pengajaran yang bersifat humanistik dan reflektif.
Dengan penggunaan yang bijaksana, AI mampu memperkaya pengalaman belajar, membuka akses kepada pengetahuan yang luas, serta mendemokratisasikan ilmu agar dapat diakses oleh lebih ramai orang.
Persoalan yang sebenar bukanlah pada teknologi itu sendiri, melainkan pada cara ia digunakan. Jika pendidikan menyerahkan sepenuhnya proses berfikir kepada mesin, maka pelajar akan tumbuh dengan kemampuan yang rapuh dalam menghadapi masalah dunia nyata.
Mereka mungkin cekap dalam mendapatkan jawapan, tetapi lemah dalam menilai kebenaran, keabsahan dan relevansi jawapan itu. Di sinilah guru dan institusi pendidikan harus kembali menegaskan asas falsafah pendidikan iaitu melatih pelajar untuk berfikir. AI sepatutnya diposisikan sebagai alat bantu, bukan pengganti.
Cadangan terbaik ialah pendidikan perlu merangkul AI dengan sikap selektif dan kritis. AI boleh digunakan untuk mempermudah akses informasi, memberikan gambaran awal atau memperkaya perspektif tetapi setelah itu, pelajar tetap harus diajak melalui latihan berfikir sendiri—menganalisis, mendiskusikan, dan menilai.
Guru dapat memainkan peranan penting dengan merancang tugasan yang tidak hanya menguji jawapan, tetapi menilai proses pemikiran di balik jawapan tersebut.
Dengan cara ini, AI tetap hadir sebagai fasilitator, sementara pelajar tetap terlatih untuk mengasah kemampuan kognitif mereka.
Pendidikan pada akhirnya adalah tentang manusia, bukan tentang mesin. Jika kehadiran AI diterima dengan bijaksana, kita dapat menikmati manfaat teknologi tanpa kehilangan nilai fundamental pendidikan.
Justru dengan perpaduan yang seimbang, pelajar dapat dilatih untuk menggunakan AI sebagai batu loncatan, bukan sebagai tongkat bergantung.
Mereka akan belajar bahawa pengetahuan sejati tidak hanya terletak pada jawapan instan tetapi pada perjalanan intelektual yang mengajarkan kesabaran, kejujuran, dan daya kritis.
Di tengah derasnya gelombang teknologi, pendidikan harus tetap setia pada falsafahnya: melatih proses berfikir pelajar.
Tanpa itu, pendidikan hanya akan melahirkan individu yang pintar mencari jawapan, tetapi miskin dalam kebijaksanaan.
Dengan itu, kehadiran AI seharusnya menjadi peluang untuk memperbaharui pendekatan belajar, bukan alasan untuk mengabaikan proses berfikir yang menjadi inti pembentukan manusia yang kritis dan bijaksana.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.