Bertahanlah kerana dunia masih memerlukanmu
Bulan September mengingatkan pentingnya empati dan sokongan kepada individu yang berdepan kesakitan emosi, selain menggalakkan masyarakat mendapatkan bantuan profesional.

BULAN September kembali lagi membawa peringatan penting buat kita semua menerusi Bulan Pencegahan Bunuh Diri Sedunia. Di sebalik kesibukan harian dan deretan hantaran media sosial yang kelihatan sempurna, hakikatnya ramai dalam kalangan kita yang sedang bertarung dengan kesakitan emosi yang tidak terucap.
Sebagai seorang kaunselor, saya kerap menyaksikan betapa ramainya insan yang kelihatan tenang di luar, namun di dalam diri mereka sedang menggalas bebanan perasaan yang teramat berat. Kepada anda yang mungkin sedang membaca bait-bait kata ini dengan dada yang sesak dan fikiran yang sarat, ketahuilah bahawa kelelahan yang anda rasai itu adalah benar dan anda tidak seharusnya laluinya seorang diri.
Dalam realiti masyarakat hari ini, perbuatan atau hasrat untuk mengakhiri hidup sering kali dipandang serong dan disalah erti sebagai tanda kelemahan jiwa atau rasa putus asa semata-mata. Sedangkan dari sudut kesejahteraan psikologi, individu yang berada di fasa ini bukanlah berhasrat untuk menamatkan kehidupan itu sendiri, sebaliknya mereka mahu menghentikan kesakitan emosi yang sudah melimpahi kapasiti kendiri.
Apabila tekanan hidup memuncak, pandangan seseorang menjadi tumpu dan sempit menyebabkan mereka sukar melihat jalan keluar lain selain daripada melarikan diri secara mutlak. Memahami hakikat ini membolehkan kita melepaskan tanggapan menghakimi dan mula membuka pintu empati untuk membantu mereka yang memerlukan.
Setiap manusia ciptaan Tuhan dikurniakan had keupayaan yang berbeza dalam mendepani ujian kehidupan. Apabila jiwa dilanda gelombang kesedihan yang berpanjangan, keupayaan emosi untuk berfikir secara waras akan beransur pudar, lalu menggantikannya dengan rasa tidak berguna dan keseorangan. Keadaan ini bukanlah satu pilihan yang dibuat secara sengaja, tetapi seperti satu jeritan kecemasan daripada jiwa yang sudah terlalu lama berjuang tanpa henti.
Dalam ajaran Islam, sifat kasih sayang serta saling mengambil berat merupakan tiang seri kehidupan bersama. Kita diajar untuk tidak membiarkan rakan sejawat, ahli keluarga atau jiran tetangga tenggelam dalam duka tanpa sebarang huluran tangan. Secara khusus, menerusi Surah Al-Ma’idah ayat 32, Al-Quran menggariskan satu prinsip kemanusiaan universal yang amat murni dan luhur iaitu sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.
Nilai kemanusiaan yang bersifat sejagat ini merentas batas agama dan bangsa, di mana setiap nyawa yang bernafas mempunyai harga yang amat tinggi. Menyelamatkan satu jiwa bukan sahaja mengembalikan senyuman kepada individu berkenaan, malah menyembuhkan keseluruhan ekosistem keluarga dan masyarakat di sekelilingnya. Agama dan nilai kerohanian tidak pernah memandang serong pada luka yang tidak kelihatan, sebaliknya menuntut kita untuk menjadi penawar, tempat berteduh dan penyebar harapan.
Sebagai rakan dan anggota masyarakat yang prihatin, sokongan berpijak di bumi nyata boleh dimulakan dengan bersedia menjadi pendengar yang ikhlas tanpa perlu tergesa-gesa menghukum atau memberi nasihat yang menekan. Apabila seorang sahabat membuka rasa, cukuplah sekadar kita hadir dengan penuh rasa hormat, memberi validasi perasaannya dan menyatakan bahawa kewujudannya amat bermakna buat kita.
Jangan ragu untuk bertanya khabar secara jujur jika melihat perubahan tingkah laku yang membimbangkan kerana tindakan berani bertanya itu sering kali menjadi talian hayat pertama yang membuka ruang untuk mereka meluahkan bebanan di dada. Selepas itu, bimbinglah mereka dengan penuh lembut untuk mendapatkan bantuan kaunselor atau pakar kesihatan mental profesional yang sedia membantu.
Buat anda yang sedang hebat berjuang di luar sana, yang berasa seolah-olah dunia ini terlalu berat untuk dipikul, teruskanlah melangkah walaupun sekadar satu tapak kecil pada hari ini. Mengakui bahawa diri anda sedang lelah dan memerlukan sokongan profesional bukanlah satu tanda kekalahan, melainkan satu langkah paling berani untuk memulakan proses penyembuhan.
Badai emosi yang menghempas pada saat ini tidak akan kekal selamanya dan di sebalik kegelapan yang melanda, sentiasa ada sinar yang menanti sekiranya kita izinkan orang lain untuk membantu.
Hulurkanlah tangan anda, biar kami dampingi perjalanan ini kerana setiap jiwa berhak untuk kembali pulih dan menikmati keindahan kehidupan. Jangan pilih pergi jika belum dijemput kembali.

