Inovasi ubi bit bawa tiga mahasiswa UiTM raih dua kejayaan keusahawanan nasional
Tiga mahasiswa UiTM mencipta kejayaan menerusi BeetGlow, produk pelembap kulit berasaskan ubi bit yang meraih dua pengiktirafan dalam pertandingan keusahawanan.
DINI dan pensyarah pembimbing menerangkan produk kepada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman.
Oleh: BADRUL ISA
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Inovasi pelembap kulit daripada ubi bit membawa tuah kepada tiga mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila pasukan BeetGlow yang dianggotai mereka meraih dua pengiktirafan dalam pertandingan keusahawanan sepanjang tempoh kurang dua minggu.
Kejayaan terbaharu diraih menerusi Best Pitch Presentation Award dalam IEC Startup Pitching Competition 2026 yang berlangsung sempena International Entrepreneurship Convention (IEC 2026) di sebuah hotel di Putrajaya pada 7 hingga 8 Oktober lalu.
Pengiktirafan tersebut membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 selepas mempamerkan keupayaan membentangkan idea perniagaan inovatif kepada panel penilai.
BeetGlow dianggotai Dinie Nabila, Iman Akma Nadiah dan Zukrina Batrisyia, mahasiswa program Foodservice Management with Entrepreneurship (HM252), Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), UiTM.

Menerusi bimbingan mentor, Hafizah Hassan, mereka menghasilkan produk pelembap kulit berasaskan ubi bit atau beetroot dengan memanfaatkan bahan sampingan tumbuhan berkenaan sebagai sumber inovasi produk penjagaan diri.
Produk yang dibangunkan berteraskan konsep from waste to wellness itu mengetengahkan pendekatan kreatif dalam mengubah bahan sampingan makanan kepada produk bernilai tambah yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Terdahulu, BeetGlow turut mencipta kejayaan apabila muncul juara Pentas CIPTA – Jelajah JIWA SME 2026 anjuran Astro AWANI di Paradigm Mall, Selangor pada 26 September lalu.
Kemenangan tersebut menyaksikan pasukan berkenaan menerima hadiah berbentuk artikel media bernilai RM10,000, sekali gus memperlihatkan potensi idea perniagaan yang dibangunkan oleh mahasiswa UiTM.
Dua kejayaan berturut-turut itu membuktikan kemampuan mahasiswa bidang pengurusan perkhidmatan makanan untuk meneroka peluang perniagaan di luar bidang pengajian tradisional, khususnya dalam industri penjagaan diri dan kesejahteraan.
Penolong Naib Canselor (Keusahawanan), Prof. Madya Dr. Badrul Isa yang menerajui Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) UiTM menyifatkan pencapaian BeetGlow sebagai contoh potensi inovasi mahasiswa untuk diterjemahkan kepada peluang ekonomi.
“Kejayaan BeetGlow membuktikan mahasiswa UiTM bukan sahaja mampu menghasilkan idea inovatif, malah berupaya menterjemahkannya kepada produk yang mempunyai potensi komersial. Inilah budaya keusahawanan yang ingin kita perkukuh, iaitu melahirkan mahasiswa yang berani mencipta peluang ekonomi melalui kreativiti, inovasi dan kelestarian,” katanya.
Beliau berkata, pengiktirafan yang diraih dalam dua pertandingan berbeza itu turut menyerlahkan kepentingan ekosistem keusahawanan universiti dalam membimbing mahasiswa membangunkan produk yang berdaya saing.

Pertandingan IEC Startup Pitching Competition 2026 yang bertemakan Startup for Good: Innovation for Sustainability and Well-being memberi penekanan kepada inovasi perniagaan yang berdaya maju, mampan serta berpotensi memberikan manfaat kepada masyarakat.
Pencapaian BeetGlow turut memperlihatkan bahawa kreativiti mahasiswa dalam memanfaatkan bahan sampingan makanan mampu membuka ruang penerokaan produk baharu yang menggabungkan elemen inovasi, kelestarian dan keusahawanan.
Kejayaan itu sekali gus menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk berani mencipta inovasi dan meneroka peluang perniagaan, selaras dengan usaha UiTM melahirkan graduan berjiwa usahawan yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
