UNAC terus bantu pelajar perkukuh asas perakaunan

UNITEN Accounting Club (UNAC) meneruskan usaha memperkukuh penguasaan perakaunan pelajar menerusi program Jom Skor A+ Akaun Bersama UNITEN 4.0 di Kolej Vokasional Kuantan.

Feature Image (7)

Oleh: NIK AMALENA NAJEBAH NIK AZMAN

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 – UNITEN Accounting Club (UNAC) meneruskan usaha membantu pelajar memperkukuh asas perakaunan menerusi program Jom Skor A+ Akaun Bersama UNITEN 4.0 yang berlangsung di Kolej Vokasional Kuantan pada 7 Oktober 2026.

Program yang memasuki penganjuran kali keempat itu dianjurkan bersama USDIC, UNITEN Business School, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kampus Sultan Haji Ahmad Shah.

Berteraskan pendekatan pembelajaran interaktif, kolaboratif dan berorientasikan aplikasi, program itu merangkumi bengkel pengukuhan konsep perakaunan, latihan penyelesaian soalan, kuiz akademik, aktiviti berkumpulan serta sesi perkongsian ilmu yang dikendalikan oleh mahasiswa UNITEN.

Menurut Pengarah Program, Aqilah Ayuni M. Rizal, program berkenaan bertujuan membantu pelajar memantapkan pemahaman konsep perakaunan serta membina keyakinan dalam menjawab soalan melalui bimbingan fasilitator UNITEN.

Beliau menjelaskan bahawa perkongsian ilmu antara mahasiswa dengan pelajar memberi ruang kepada peserta untuk bertanya, berbincang dan mendapatkan penerangan lanjut mengenai topik yang dipelajari. Pendekatan itu juga membantu peserta mengenali teknik pembelajaran dan penyelesaian soalan yang lebih berkesan.

Sementara itu, menurut Presiden UNAC, Aisyah Naziha Azarudin, yang juga ketua fasilitator program, penglibatan mahasiswa sebagai fasilitator dan ahli jawatankuasa memberi peluang kepada mereka untuk mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi serta kerja berpasukan.

Beliau berpandangan bahawa pengalaman menyampaikan ilmu kepada pelajar turut melatih mahasiswa untuk memberikan penerangan dengan jelas, memahami keperluan pembelajaran peserta dan melaksanakan tanggungjawab secara bersama.

Penganjuran program itu mencerminkan usaha UNAC dan UNITEN menggalakkan mahasiswa menyumbang kepada komuniti melalui ilmu serta kemahiran yang dimiliki, di samping memupuk semangat kesukarelawanan.

Penghargaan turut diberikan kepada pihak Kolej Vokasional Kuantan, para guru dan pelajar atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan. Komitmen barisan fasilitator serta ahli jawatankuasa yang menyumbang masa dan tenaga sepanjang persiapan hingga pelaksanaan turut membantu melancarkan perjalanan program.

Kesinambungan program Jom Skor A+ Akaun Bersama UNITEN diharap dapat meningkatkan minat dan motivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang perakaunan, sekali gus mempererat hubungan antara universiti dengan institusi pendidikan setempat.

* Penulis merupakan Pensyarah merangkap Penasihat UNAC, UNITEN Business School, Kampus Sultan Haji Ahmad Shah.