UiTM santuni komuniti melalui program Sentuhan Kasih Ramadan
Inisiatif tersebut menghimpunkan warga universiti, komuniti setempat, wakil industri, alumni serta sukarelawan pelajar UiTM dalam pelbagai aktiviti bermanfaat sepanjang program berlangsung.
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat apabila menganjurkan Program Sentuhan Kasih Ramadan UiTM bersama Surau Al-Ansor di Seksyen 2 di Shah Alam, Selangor yang memberi manfaat kepada anak-anak yatim serta komuniti setempat baru-baru ini.
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu menyaksikan seramai 32 penerima terdiri daripada 27 anak yatim dan lima penjaga daripada Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Ulin Nuha, Klang menerima sumbangan dalam suasana penuh kemesraan dan keberkatan sempena Ramadan.
Inisiatif tersebut menghimpunkan warga universiti, komuniti setempat, wakil industri, alumni serta sukarelawan pelajar UiTM dalam pelbagai aktiviti bermanfaat sepanjang program berlangsung.

Antara pengisian utama termasuk tradisi rewang bubur lambuk secara gotong-royong, pemeriksaan mata percuma oleh Fakulti Sains Kesihatan UiTM, sesi perkongsian ilmu Ramadan oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) serta perkongsian ilmu kesihatan oleh Fakulti Perubatan.
Selain itu, sesi perkongsian bersama komuniti turut disampaikan oleh Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM yang menampilkan penglibatan wakil industri dan alumni dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan masyarakat.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa pihak di UiTM termasuk Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) serta Pejabat Komunikasi Strategik UiTM yang menyelaras pelaksanaannya bersama komuniti setempat.

Dalam majlis tersebut, sumbangan duit raya berjumlah RM6,720 telah diagihkan kepada para penerima. Daripada jumlah itu, RM1,600 disumbangkan oleh UiTM melalui Bahagian Zakat, Wakaf dan Sedekah, manakala RM5,120 lagi disumbangkan oleh Syrna Setara Resources Sdn. Bhd.
Sumbangan daripada pihak industri disalurkan oleh Pengarah Urusan Syrna Setara Resources Sdn. Bhd., Ts. Azhar Jemani yang juga alumni UiTM dan CEO@Faculty. Beliau diwakili oleh Mohd Iqbal Hanif Muhamed Rusdi dalam majlis berkenaan.
Melalui sumbangan itu, setiap penerima menerima RM210 sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada golongan yang diraikan dalam bulan Ramadan.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin serta Pengerusi Surau Al-Ansor Seksyen 2 Shah Alam, Datuk Pahlawan Zakaria Yusof bersama barisan pengurusan universiti, wakil industri dan komuniti setempat.

Menurut Shahrin, program tersebut mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti, komuniti, industri dan alumni melalui aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Beliau berkata program Sentuhan Kasih Ramadan bukan sekadar mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah antara universiti dan komuniti.
Program turut melibatkan 16 sukarelawan pelajar UiTM yang membantu menyediakan bubur lambuk secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada penduduk sekitar Shah Alam.
Majlis diakhiri dengan acara berbuka puasa bersama komuniti, diikuti solat Maghrib dan Tarawih berjemaah serta moreh, sekali gus menyemarakkan suasana Ramadan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga universiti dan masyarakat.
