SMC jalin kerjasama dengan Annalise.ai dan LAC Medical Supplies

BANDAR SUNWAY, 10 Jun 2024 – Komited untuk terus mara dalam industri penjagaan kesihatan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mengumumkan satu lagi pencapaian melalui integrasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pelaporan radiologi.

SMC telah mengadakan majlis menandatangani perjanjian dengan LAC Medical Supplies, sebuah syarikat yang membekalkan sistem radiologi dan angiografi, bersama Annalise.ai iaitu sebuah syarikat pemenang anugerah yang menyediakan sistem sokongan keputusan dengan kecerdasan buatan.

Hadir pada majlis itu ialah Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long; Pengarah Urusan (Operasi Hospital dan Penjagaan Kesihatan), Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Dr. Khoo Chow Huat; Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Annalise.ai, Dimitry Tran dan Pengarah Urusan LAC Medical Supplies Sdn. Bhd., Liew Yoon Poh.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr. Seow Vei Ken; Ketua Bahagian Asia, Annalise.ai, Teodor Stoev; Ketua Pegawai Teknikal LAC Medical Supplies, Hong Chong Chet; Ketua Radiologi dan Pakar Perunding Kanan Radiologi Intervensi & Neuroradiologi, SMC, Dr. Adam Pany Abdullah dan Pakar Perunding Radiologi & Neuroradiologi, SMC, Dr. Valarmathi Subramaniam.

Vei Ken dalam ucapannya berkata, SMC sentiasa berada di barisan hadapan dalam pelaksanaan teknologi terkini dan majlis tersebut membuktikan komitmen SMC untuk menerima pakai teknologi AI termaju.

“Penggunaan AI mampu merevolusikan cara kami menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada para pesakit.

“Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan, bahkan juga menambah ketepatan diagnostik ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Saya percaya dengan adanya Annalise.ai, akan bertambah satu lagi inovasi teknologi yang kami boleh gunakan untuk menambahbaik penjagaan, rawatan dan pengalaman pesakit di hospital,” ujarnya.

Modul AI imbasan sinar-x di bahagian dada Annalise.ai mempunyai keupayaan untuk mengesan sehingga 124 penemuan sinar-x pada bahagian dada.

Ini merangkumi penilaian komprehensif tentang kemungkinan keganjilan antaranya pneumotoraks, nodul paru-paru, pneumomediastinum, kepatahan tulang (tulang rusuk, klavikula, humerus) dan kedudukan tiub nasogastrik.

Ia membantu doktor mengenal pasti penemuan kritikal dan mengutamakan pesakit berdasarkan tahap kecemasan mereka.

“Salah satu aspek AI yang hebat ialah keupayaannya untuk menjadi mata kedua yang tidak akan letih.

“Teknologi AI ini membolehkan kami memberikan intervensi yang tepat pada masanya dan penjagaan yang khusus dengan mengenal pasti penemuan kritikal dan mengutamakan pesakit berdasarkan tahap kesakitan,” tambah Vei Ken.

Sementara itu, Dimitry Tran berkata, solusi Annalise Enterprise yang komprehensif ini akan dapat menyokong pasukan klinikal SMC dalam meningkatkan hasil penjagaan kesihatan terhadap para pesakit dan meningkatkan keberkesanan operasi.

“Peluang untuk bekerjasama dengan SMC yang merupakan salah satu penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di Malaysia adalah pencapaian yang membanggakan bagi kami di Annalise.ai.

“Ia memaknakan kehadiran dan perkembangan kami yang pesat di Asia. Kerjasama ini membuktikan dedikasi kami untuk sama-sama menyediakan penjagaan yang berkualiti kepada semua pesakit pada setiap masa,” jelasnya.

Sementara itu, Yoon Poh dalam ucapannya berkata, LAC Medicals didorong oleh komitmen untuk meningkatkan taraf penjagaan kesihatan melalui penggunaan teknologi termaju.

“Dengan menyepadukan teknologi AI oleh Annalise ke dalam aliran kerja radiologi di Pusat Perubatan Sunway, kami telah menetapkan piawaian baharu dalam ketepatan dan kecekapan diagnostik,” katanya.

Meraikan ulang tahun ke-25 sejak ditubuhkan pada 1999, SMC merupakan sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia dengan kapasiti 724 katil berlesen dan lebih 60 kepakaran.

SMC juga mempunyai 28 Pusat Kecemerlangan dan pasukan pelbagai disiplin yang disokong oleh lebih 3,500 profesional penjagaan kesihatan dan hospitaliti yang berdedikasi untuk menyediakan rawatan yang khusus serta pendekatan penjagaan yang holistik.