UM menyemarak STEM dalam kalangan murid sekolah menengah

12 (1)

KUALA LUMPUR, 15 September 2026 – Hayya ‘Alal Falah: Aspire to Inspire, sebuah projek kesukarelawanan di bawah kluster pendidikan dan motivasi anjuran Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM), kembali dalam fasa kedua menerusi penganjuran sebuah program EduSpark di Universiti Malaya.

Penganjuran ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama tiga buah agensi kerajaan iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Perpaduan Negara dan Majlis Belia Malaysia, yang bukan sahaja memperkukuh jaringan kerjasama antara pelbagai pihak, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pendidikan serta pembangunan generasi muda.

Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 dari sekitar Kuala Lumpur telah berjaya mendaftarkan diri dalam program yang berlangsung selama dua hari ini. Program ini turut digerakkan oleh 30 orang sukarelawan mahasiswa Universiti Malaysia, sekali gus mencerminkan komitmen dan tanggungjawab mereka dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan generasi muda pada masa ini.

Fokus utama program EduSpark adalah untuk membantu para pelajar dalam meneroka laluan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui pelbagai pengisian yang memberi peluang kepada mereka untuk belajar, berinteraksi dan mencuba pengalaman baharu. Setiap aktiviti disusun dengan mengambil kira modul yang disediakan oleh pihak kolaborasi, di samping mengetengahkan elemen perpaduan sebagai salah satu matlamat utama penganjuran program ini.

Perjalanan program dimulakan dengan sesi Hi Adik Junior, yang membuka ruang kepada para pelajar untuk berkenalan dan berinteraksi mengenai pengalaman kehidupan sebagai mahasiswa secara lebih dekat. Daripada persoalan mengenai kehidupan di universiti, peserta kemudiannya dibawa meneroka satu lagi aspek penting dalam kehidupan seharian menerusi modul Ejen Siber.

Slot literasi digital yang berlangsung selama satu jam 30 minit ini bertujuan memberi pendedahan mengenai keselamatan siber dan kepentingan pemikiran kritis dalam mendepani perkembangan teknologi serta kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) yang semakin pesat. Kemuncak modul ini menyaksikan para pelajar bekerjasama dalam aktiviti ‘Masa untuk Poster!’, apabila mereka mengaplikasikan kemahiran menggunakan Canva untuk menghasilkan poster bertemakan ‘Strategi Menangani Ketagihan Digital dan Pengurusan Masa’ sebelum membentangkan hasil karya masing-masing.

Bagi merapatkan jurang antara alam persekolahan dengan suasana sebenar menara gading, modul Campus Connect mengambil tempat dalam bentuk campus tour berpandu yang merentasi sepuluh checkpoint strategik di sekitar Universiti Malaya. Perjalanan bermula di Dewan Tunku Canselor (DTC) yang penuh bersejarah sebelum peserta merakam memori di mercu tanda UM 2026.

Peserta kemudiannya dibawa menelusuri Fakulti Sains, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Fakulti Pendidikan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, serta Fakulti Kejuruteraan. Di setiap fakulti, fasilitator berkongsi maklumat mengenai program akademik yang ditawarkan serta gambaran realiti kehidupan mahasiswa di setiap lapangan bidang.

Lawatan berakhir di Perpustakaan Utama UM, di mana para peserta diperkenalkan dengan kemudahan penyelidikan dan ruang pembelajaran Universiti Malaya. Penerokaan secara langsung ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai ekosistem kampus, sekali gus menyuntik keterujaan dan motivasi kepada para pelajar untuk melangkah ke Universiti Malaya kelak.

Hari kedua program pula menyaksikan para peserta mencabar kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah menerusi modul STEM Blaster. Berasaskan pendekatan pembelajaran melalui pengalaman (hands-on-learning), modul ini memperkenalkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penghasilan projek inovasi bertemakan ‘Kesihatan Mental’.

Para peserta perlu menghasilkan projek inovasi menggunakan bahan-bahan yang disediakan, termasuk bahan kitar semula dan komponen elektrik asas sebelum membentangkan idea mereka di hadapan peserta yang lain. Selain memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal, STEM Blaster membuka ruang kepada generasi muda untuk melihat STEM dari perspektif yang lebih dekat dan menarik.

Kemuncak program diteruskan dengan majlis penutup yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud. Beliau turut memuji dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap penganjuran program yang mampu membentuk generasi muda ke arah yang lebih baik demi masa hadapan negara.

Turut hadir ialah Profesor Dr. Zamri Radzi selaku Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya dan Ralph Gan Jia Kang yang mewakili Majlis Belia Malaysia, sebagai tanda sokongan terhadap pelaksanaan program Eduspark yang berlangsung di Universiti Malaya.

Secara keseluruhannya, program EduSpark telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memberikan pendedahan, inspirasi dan motivasi kepada para pelajar untuk merancang masa depan pendidikan mereka. Pelbagai pengisian yang dilaksanakan bukan sahaja memperkaya pengetahuan peserta, malah turut mengembangkan kemahiran insaniah, kreativiti, pemikiran kritis serta kesedaran terhadap kepentingan perpaduan dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

Kejayaan program ini membuktikan bahawa kerjasama antara mahasiswa, agensi kerajaan dan masyarakat mampu memberikan impak yang bermakna dalam mewujudkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan bersedia menempuhi cabaran akan datang kerana mereka bukan sahaja harapan negara pada masa akan datang namun juga pelaku utama dalam membentuk masa kini.