Drama turut membentuk jiwa

Drama mempunyai pengaruh terhadap cara penonton memahami hubungan, nilai dan kehidupan. Industri kreatif perlu mengimbangi kebebasan berkarya dengan tanggungjawab sosial.

Feature Image (5)

KITA menonton drama untuk mencari hiburan, tetapi tanpa disedari, drama juga sedang mengajar kita tentang kehidupan, hubungan, nilai dan cara melihat sesuatu perkara.

Ada waktunya kita membuka televisyen atau telefon sekadar mahu berehat selepas seharian bekerja. Kita ketawa bersama watak yang lucu, menangis apabila watak kesayangan ditimpa masalah dan marah apabila melihat watak antagonis melakukan kejahatan. Namun, di sebalik hiburan itu, berlaku satu proses psikologi yang cukup halus. Kita sebenarnya sedang belajar melalui apa yang kita tonton.

Dalam psikologi, teori pembelajaran sosial Albert Bandura menjelaskan bahawa manusia boleh mempelajari tingkah laku melalui pemerhatian terhadap orang lain. Dalam drama, penonton bukan sekadar melihat watak, tetapi boleh mengenal pasti dirinya dengan watak tertentu, mengagumi keperibadiannya dan secara tidak sedar menerima nilai yang dipaparkan sebagai sesuatu yang biasa.

Sebab itu drama mempunyai kuasa besar. Ia boleh menjadi guru tanpa papan hitam, pendidik tanpa bilik darjah dan pembentuk karakter tanpa kita sedari. Apa yang ditonton berulang kali boleh mempengaruhi cara seseorang memahami cinta, keluarga, kejayaan, hubungan sosial, konflik bahkan batas antara perkara yang baik dan buruk.

Apa yang diulang, lama-lama kelihatan biasa

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah proses normalisasi. Sesuatu yang pada awalnya dianggap pelik atau tidak sesuai, apabila dipaparkan berulang kali dalam bentuk yang menarik, boleh akhirnya kelihatan biasa kepada sebahagian penonton.

Perkara ini menjadi lebih penting apabila kandungan drama hari ini semakin berani mengetengahkan isu seksual dan hubungan yang kontroversi, termasuk adegan intim atau “aksi atas katil”, hubungan luar perkahwinan serta tema seperti LGBT, biseksual dan gaya hidup swinger.

Persoalannya bukan semata-mata kewujudan sesuatu tema dalam jalan cerita, tetapi bagaimana ia dipersembahkan dan apakah mesej yang akhirnya sampai kepada penonton.

Jika sesuatu isu dipaparkan sebagai realiti sosial yang perlu difahami secara kritis, konteksnya berbeza. Namun, jika sesuatu tingkah laku yang bertentangan dengan nilai agama digambarkan sebagai sesuatu yang glamor, romantik, menyeronokkan dan tanpa sebarang akibat moral, ia boleh mempengaruhi persepsi penonton, khususnya golongan muda.

Isu ini juga bukan lagi sekadar perbincangan di media sosial. Pada 2 September 2026, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak penayangan drama Madu atau Racun susulan kebimbangan terhadap unsur yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan. Pada hari yang sama, Kementerian Komunikasi mengarahkan CMCF bersama FINAS bertemu pihak produksi dan platform iQIYI bagi mendapatkan penjelasan berhubung kandungan drama berkenaan.

Perkembangan ini sepatutnya menjadi ruang muhasabah kepada seluruh industri kreatif. Kebebasan berkarya sememangnya penting, tetapi kebebasan tidak pernah bermaksud bebas daripada tanggungjawab. Menteri Komunikasi turut menegaskan bahawa kebebasan berkarya perlu disertai tanggungjawab menghormati nilai agama, keharmonian masyarakat serta sensitiviti kaum dan budaya.

Mata, telinga dan hati juga akan dipersoalkan

Daripada perspektif Islam, persoalan kandungan media tidak boleh dipisahkan daripada persoalan pertanggungjawaban manusia terhadap apa yang dilihat dan didengar.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud: “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta pertanggungjawabkan.”

Ayat ini sangat menarik jika direnungkan dalam konteks dunia media hari ini. Kita mungkin menganggap menonton drama sebagai perkara kecil. Tetapi al-Quran mengingatkan bahawa pendengaran, penglihatan dan hati merupakan amanah yang akan dipersoalkan.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini merupakan peringatan supaya manusia tidak mengikuti sesuatu tanpa ilmu dan tidak menggunakan pendengaran, penglihatan serta hati pada perkara yang tidak sepatutnya. Semua anggota tersebut akan ditanya tentang penggunaannya.

Maka, persoalan yang wajar ditanya bukan hanya “boleh atau tidak saya menonton?”, tetapi juga “apa yang sedang saya masukkan ke dalam hati melalui apa yang saya tonton?”

Hati adalah pusat pembentukan manusia

Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa dalam jasad terdapat seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad; jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan kedudukan hati sebagai pusat penting yang mempengaruhi baik dan buruknya seseorang. Apabila hati baik, anggota badan akan terdorong melakukan kebaikan. Sebaliknya, kerosakan hati akan memberi kesan kepada tingkah laku.

Di sinilah kita melihat hubungan antara agama dan psikologi. Apa yang kita lihat dan dengar tidak semestinya terus mengubah tingkah laku seseorang, tetapi ia boleh menjadi sebahagian daripada proses pembentukan persepsi, sikap dan kecenderungan.

Watak yang sentiasa kita kagumi boleh menjadi model. Dialog yang selalu diulang boleh melekat dalam ingatan. Cara watak menyelesaikan konflik boleh mempengaruhi bagaimana kita memahami sesuatu hubungan. Bahkan perkara yang dahulu dianggap tidak normal boleh kelihatan semakin biasa apabila sentiasa dipersembahkan tanpa kritikan.

Jangan hanya tanya berapa ramai menonton

Akhirnya, kita perlu mengubah ukuran kejayaan.

Jangan hanya bertanya, “Berapa juta orang menonton drama ini?”

Sebaliknya, tanyalah, “Apakah yang jutaan manusia itu bawa pulang selepas menontonnya?”

Adakah mereka menjadi lebih menghargai keluarga? Lebih menghormati ibu bapa? Lebih memahami kesusahan orang lain? Lebih kuat menghadapi ujian? Lebih dekat dengan Tuhan?

Atau mereka pulang dengan anggapan bahawa pengkhianatan itu romantik, hubungan bebas itu moden, perkara yang dahulu dianggap tabu kini perkara biasa dan maruah manusia boleh dijadikan bahan tontonan?

Kita tidak meminta industri seni berhenti berkarya. Kita hanya berharap industri seni terus berani berkarya dengan lebih matang. Berani menyentuh realiti, tetapi tidak semestinya mengagungkan semua realiti. Berani membina konflik, tetapi tidak perlu menggadaikan maruah. Berani menjadi moden, tetapi tidak perlu memutuskan akar budaya dan agama.

Kerana akhirnya, drama yang paling hebat bukanlah drama yang paling banyak menimbulkan kontroversi.

Drama yang hebat ialah drama yang selepas skrin ditutup, ceritanya masih hidup dalam hati penonton dan membuatkan mereka mahu menjadi manusia yang lebih baik. Rating boleh diperoleh melalui kreativiti. Tetapi nilai yang ditinggalkan dalam jiwa penonton itulah yang menentukan warisan sesebuah karya.