UPSI anjur SiSMED 2025 perkukuh keupayaan organisasi hadapi krisis komunikasi
Setiap krisis yang melanda sesebuah organisasi tidak wajar dianggap sebagai tragedi semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan inspirasi untuk melakukan penambahbaikan secara menyeluruh.

Noor Azam Ab Aziz (duduk dua dari kiri) bergambar kenangan bersama peserta SiSMED 2025 di Kuala Lumpur.
Oleh: BAZLI RAZAK
KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) menganjurkan Simposium Strategik Pengurusan Krisis dan Media (SiSMED 2025) sebagai usaha memperkukuh keupayaan organisasi dalam menangani krisis komunikasi serta mengekalkan reputasi institusi di era digital.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, setiap krisis yang melanda sesebuah organisasi tidak wajar dianggap sebagai tragedi semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan inspirasi untuk melakukan penambahbaikan secara menyeluruh.
Beliau menegaskan bahawa pengurusan krisis yang berkesan memerlukan strategi komunikasi yang jelas, telus dan berpaksikan integriti agar keyakinan masyarakat terhadap institusi dapat dikekalkan walaupun ketika berdepan tekanan media atau cabaran reputasi.
“Krisis adalah ujian terhadap kepimpinan dan keutuhan nilai organisasi. Jika diurus dengan bijaksana, ia bukan sekadar mengembalikan kestabilan, tetapi membina kekuatan baharu yang lebih mampan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Pengurusan Krisis: Tragedi atau Inspirasi’ pada program berkenaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, keupayaan kepimpinan untuk menyusun naratif yang betul serta menyalurkan maklumat secara berhemah menjadi faktor penting dalam membentuk persepsi awam dan mengelakkan penularan maklumat tidak tepat.
Sementara itu, Pengarah BKK UPSI, Prof Dr. Mohd. Izwan Shahril berkata, penganjuran SiSMED 2025 merupakan inisiatif penting universiti dalam memperkukuh budaya kesiapsiagaan komunikasi dan pengurusan reputasi institusi pendidikan tinggi.
“Dalam landskap media yang bergerak pantas dan tidak menentu, organisasi perlu bersedia dengan strategi komunikasi krisis yang sistematik serta berpaksikan fakta agar mesej yang disampaikan kekal konsisten dan meyakinkan.

“Matlamat utama kami ialah membantu pemimpin dan pegawai komunikasi memahami bahawa setiap krisis membawa potensi pembelajaran, inovasi dan peluang memperkukuh kepercayaan awam terhadap organisasi,” katanya.
Program berprestij itu turut menampilkan barisan penceramah ternama termasuk Zahan Rashid (TV Host, Bernama TV), Ali Imran Mohd Noordin (Pengarah Warta Hidup), Noor Azam Ab Aziz (Pengarang Berita Kanan, Harian Metro), Dr. Haji Ainol Amriz Ismail (Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Akhbar Malaysia), Azwaliza Azman (Editor Berita Utama (Digital, TV) Andy Reza Rohadian (Personaliti RTM) serta Kumaran Rajamoney (Koresponden TV3 dan Person In Charge Bilik Berita Media Prima Berhad, Perak).