KUALA LUMPUR, 13 Jun 2024 – Bintang Selangor FC, Faisal Halim tidak tahu sama ada mampu untuk kembali bermain bola sepak selepas menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.
Menurut Faisal yang muncul buat kali pertama dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC hari ini, berharap semua pihak akan mendoakannya untuk kembali pulih seperti sebelum ini dan dapat bermain semula.
“Keadaan saya sekarang tidak tahu sama ada dapat kembali dalam bola sepak atau tidak.
“Tetapi saya mengharapkan doa semua pihak untuk kembali bermain,” katanya dalam satu sidang media.
Sebelum ini, media melaporkan Faisal menjadi mangsa simbahan asid yang berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.
Pemain sayap kebangsaan itu juga perlu menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecurannya itu sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.
Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya.