Konsert Interaktif Disney Jr. gegar Arena of Stars selama empat hari

Konsert istimewa ini akan berlangsung selama empat hari dengan lapan persembahan menakjubkan, menampilkan watak-watak kesayangan daripada siri Disney Jr. dalam pengembaraan muzikal yang interaktif dan penuh keseronokan.

WhatsApp Image 2025-06-13 at 3.11.33 PM (1)

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Peminat cilik dan keluarga bakal disajikan dengan pengalaman hiburan penuh magis apabila konsert interaktif Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting, dari 29 Ogos hingga 1 September ini.

Konsert yang dijadualkan selama empat hari itu akan menampilkan lapan persembahan menarik, menggabungkan elemen nyanyian, tarian, visual 3D yang memukau serta aksi akrobatik yang menghiburkan seisi keluarga.

Persembahan ini akan menampilkan watak-watak ikonik daripada siri Disney Junior termasuk Mickey Mouse, Minnie Mouse, Ariel daripada The Little Mermaid, SuperKitties, Puppy Dog Pals dan Team Spidey daripada Marvel’s Spidey and His Amazing Friends.

Menurut penerbit daripada Terrapin Station Entertainment, Jonathan Shank, pementasan ini telah mendapat sambutan menggalakkan di Amerika Syarikat dan mencatat kejayaan ketika penampilan sulung antarabangsa di London.

“Kami amat berbesar hati untuk membawakan produksi ajaib ini kepada para peminat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengangkat konsep muzikal interaktif, jalan cerita persembahan kali ini mengisahkan usaha Mickey Mouse yang merancang satu temu janji permainan hebat di Clubhouse. Namun, keadaan menjadi kecoh apabila fenomena cuaca hijau misteri mengancam keseronokan, sebelum Team Spidey tampil bagi menyelamatkan keadaan.

Antara lagu popular yang bakal dipersembahkan termasuk “Hot Dog!” (Mickey Mouse Clubhouse), “Oopsie Kitty” (SuperKitties), serta “Do the Spidey” (Marvel’s Spidey and His Amazing Friends).

Tiket boleh dibeli melalui laman sesawang www.rwgenting.com dan www.ticketingtix.com. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan konsert ini di platform media sosial rasmi serta menggunakan tanda pagar #DisneyJrTour.

Maklumat Persembahan:

Tajuk: Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play!

Tarikh: 29 Ogos – 1 September 2025 (Jumaat hingga Isnin)

Jumlah Persembahan: 8 persembahan

Lokasi: Arena of Stars, Resorts World Genting

Jadual Persembahan:

Jumaat, 29 Ogos – 7.30 malam

Sabtu, 30 Ogos – 11 pagi, 2.30 petang, 6 petang

Ahad, 31 Ogos – 11 pagi, 2.30 petang, 6 petang

Isnin, 1 September – 1 tengah hari