IPGKDRI bina semangat kepimpinan pelajar
Majlis 100 Hari Kepimpinan menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan JPP untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga kampus.
KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 – Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) menganjurkan Majlis 100 Hari Kepimpinan bagi sesi 2026/2027 pada 22 hingga 24 Jun lepas sebagai platform menilai pencapaian awal kepimpinan pelajar serta memperkukuh hubungan antara siswa guru dan pentadbiran kampus.
Majlis yang berlangsung di kampus itu telah dirasmikan oleh Pengarah IPGKDRI, Dr. Ahamad Rahim.
Yang Dipertua JPP IPGKDRI, Farihul Asyraaf berkata majlis berkenaan menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan JPP untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga kampus.
“Seratus hari ini menjadi titik tolak kami untuk terus komited berkhidmat. Kami mahu JPP sentiasa dekat dengan siswa guru dan menjadi jambatan antara pelajar dan pentadbiran kampus,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang program itu, beberapa aktiviti telah diadakan termasuk Bilik Terbuka JPP, Basketball Charity, Kaunter Pelekat Kenderaan dan Talk Show: Refleksi 100 Hari Kepimpinan.
Menurut kenyataan itu, penganjuran program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada siswa guru menyuarakan idea, aduan dan cadangan penambahbaikan bagi membantu JPP menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada warga kampus.
Sementara itu, Pengerusi Biro Teknologi Maklumat dan Penerbitan JPP sesi 2026/2027, Damia Irdina berkata pengalaman sepanjang 100 hari pertama kepimpinan memberi pengajaran bahawa kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya memikul tanggungjawab untuk mendengar dan bertindak demi kepentingan bersama.
“Ini adalah usaha kami 27 orang dalam memastikan suara siswa guru didengar dan kebajikan dijaga. Seratus hari ini mengajar kami bahawa kepimpinan adalah tanggungjawab untuk mendengar dan bertindak demi manfaat semua warga kampus,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Ahamad memuji komitmen JPP dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada warga kampus serta berharap kepimpinan pelajar terus mengamalkan nilai integriti dan inovasi selaras dengan aspirasi IPGKDRI untuk melahirkan pendidik berjiwa pemimpin.
