Stres musuh senyap meningkatkan risiko penyakit kronik dan kanser
Tekanan pekerjaan, beban kewangan, tuntutan akademik, komitmen keluarga dan penggunaan teknologi tanpa henti menjadikan ramai individu hidup dalam keadaan tertekan tanpa disedari.

PERNAHKAH kita berasa terlalu penat walaupun tidak melakukan kerja berat? Sukar tidur, mudah marah, hilang selera makan atau sentiasa berasa cemas walaupun tiada ancaman yang nyata? Ramai menganggap keadaan itu sekadar tekanan hidup biasa. Hakikatnya, stres yang berpanjangan boleh memberi kesan jauh lebih besar daripada sekadar mengganggu emosi. Ia mampu mengubah cara tubuh berfungsi dan meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik, termasuk kanser.
Dalam era moden, stres menjadi sebahagian daripada kehidupan. Tekanan pekerjaan, beban kewangan, tuntutan akademik, komitmen keluarga dan penggunaan teknologi tanpa henti menjadikan ramai individu hidup dalam keadaan tertekan tanpa disedari. Apabila keadaan ini berlarutan, tubuh tidak lagi berada dalam keadaan seimbang.
Situasi ini semakin membimbangkan apabila Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 melaporkan bahawa kira-kira satu juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas mengalami kemurungan manakala masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat kepada seorang daripada setiap enam kanak-kanak, iaitu hampir dua kali ganda berbanding tahun 2019. Statistik ini menunjukkan bahawa tekanan psikologi kini menjadi isu kesihatan awam yang semakin serius.
Dari sudut bioperubatan, apabila seseorang mengalami tekanan, otak akan mengaktifkan sistem tindak balas stres yang menyebabkan pengeluaran hormon kortisol. Dalam keadaan tertentu, hormon ini membantu tubuh bertindak balas terhadap cabaran dengan meningkatkan tenaga dan kewaspadaan. Namun, apabila stres berlarutan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, paras kortisol yang sentiasa tinggi mula memberi kesan buruk kepada tubuh.
Pendedahan berterusan kepada hormon stres boleh mengganggu kualiti tidur, meningkatkan tekanan darah, mengubah metabolisme gula dan lemak serta melemahkan sistem imun. Tubuh menjadi kurang berupaya mengawal keradangan dan membaiki kerosakan sel yang berlaku setiap hari.
Dalam bidang imunologi, sistem pertahanan badan memainkan peranan penting mengenal pasti dan memusnahkan sel yang tidak normal sebelum ia berkembang menjadi penyakit. Namun, stres kronik didapati boleh mengurangkan kecekapan sel *pembunuh semula jadi (natural killer cells)* serta meningkatkan penghasilan molekul keradangan seperti interleukin-6 (IL-6) dan faktor nekrosis tumor alfa (TNF-α). Keradangan kronik yang berpanjangan inilah yang dikaitkan dengan peningkatan risiko pelbagai penyakit tidak berjangkit.
Perlu ditegaskan bahawa stres bukan penyebab langsung kanser. Kanser ialah penyakit kompleks yang dipengaruhi oleh faktor genetik, persekitaran dan gaya hidup. Namun, stres kronik boleh mewujudkan persekitaran biologi yang kurang sihat sehingga meningkatkan kerentanan tubuh terhadap penyakit kronik apabila digabungkan dengan faktor risiko lain seperti obesiti, merokok, kurang bersenam dan pemakanan tidak seimbang.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 20 juta kes baharu kanser direkodkan di seluruh dunia pada tahun 2022, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 35 juta kes menjelang 2050 sekiranya faktor-faktor risiko tidak dapat dikawal.
Di Malaysia sendiri, beban penyakit kanser terus meningkat. Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan hampir 250,000 kes kanser direkodkan antara tahun 2017 hingga 2023, dengan kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma dan hati kekal sebagai antara kanser yang paling banyak dikesan.
Selain perubahan biologi, stres juga mempengaruhi tingkah laku harian. Individu yang mengalami tekanan berpanjangan cenderung kurang bersenam, makan secara berlebihan atau memilih makanan tidak sihat, merokok, mengambil alkohol serta mengalami gangguan tidur. Kesemua faktor ini saling berinteraksi dan akhirnya meningkatkan risiko penyakit kronik.
Berita baiknya, stres boleh diurus dengan berkesan. Aktiviti fizikal secara berkala membantu menurunkan hormon stres dan meningkatkan penghasilan endorfin yang memberi rasa tenang. Tidur yang mencukupi membolehkan tubuh menjalankan proses pembaikan sel, manakala pemakanan seimbang membantu mengurangkan keradangan dalam badan.
Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang erat, sokongan rakan, amalan kerohanian, teknik relaksasi, latihan pernafasan dan amalan *mindfulness* terbukti membantu meningkatkan daya tahan psikologi serta mengurangkan kesan fisiologi akibat stres.
Apa yang lebih penting ialah kita perlu mengubah persepsi bahawa menjaga kesihatan mental hanyalah untuk mereka yang mengalami kemurungan atau gangguan psikologi. Mengurus stres sebenarnya adalah sebahagian daripada usaha menjaga kesihatan fizikal. Minda dan tubuh saling berkait rapat; apabila satu terjejas, yang lain turut menerima kesannya.
Akhirnya, dalam dunia yang semakin mencabar, kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian kerjaya atau kemewahan hidup. Kesihatan yang baik tetap menjadi aset paling berharga. Mengurus stres bukan sekadar untuk berasa lebih tenang, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang bagi mengurangkan risiko penyakit kronik, meningkatkan kualiti hidup dan memastikan kita terus menikmati kehidupan bersama insan tersayang.

