Mata Helang: Pembangkang hipokrit, bendera China tak boleh tapi bendera Israel ‘okey’
Tidak peduli warna bendera parti mana tapi apabila bendera Israel dikibarkan di tanah air sendiri dan kononnya ‘tidak sengaja’, itu bukan simulasi tetapi itu simbol kecuaian akal dan kematian integriti.

MALAYSIA sememangnya sebuah negara yang unik, bukan sahaja dalam kepelbagaian kaum dan budaya tetapi juga dalam cara manusia berpolitik dan berfikir.
Kita boleh marah besar bila bendera China dikibarkan dalam program tertentu tapi bila bendera Israel berkibar di bumi Kelantan atas alasan ‘simulasi’ atau sebagai sebahagian daripada gimik acara, tiba-tiba semua jadi sunyi, tenang dan berzikir diam.
Itulah kehebatan politikus dan penyokong pembangkang yang lidahnya tajam bila menyerang orang lain, tetapi tumpul bila kesalahan berpunca daripada kem mereka sendiri.
Bila ‘Simulasi’ Jadi Alasan Menutup Akal
Baru-baru ini, dalam Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza, penganjur iaitu Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia mengibarkan bendera Israel kononnya sebagai sebahagian daripada lakonan semula serangan terhadap sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
Katanya, ia hanyalah ‘simulasi’, bukan tanda sokongan tapi persoalannya, adakah kebijaksanaan di Kelantan kini sudah sampai ke tahap mengibarkan panji musuh umat Islam demi lakonan?
Jika benar mahu tunjukkan semangat solidariti, apakah tidak ada cara lain selain menaikkan bendera rejim yang membunuh ribuan saudara seagama di Gaza?
Lebih menghairankan, bila perkara ini berlaku di negeri yang digelar Serambi Mekah, suara pembangkang yang biasanya bergegar satu negara bila isu kecil berlaku di negeri kerajaan, kini senyap seperti masjid selepas Subuh.
Dulu Marah Bendera China, Sekarang Diam Bila Bendera Israel
Mari kita imbas sedikit. Tidak lama dahulu, apabila bendera China dikibarkan dalam satu acara rasmi di negeri yang ditadbir Kerajaan MADANI, habis segala pemimpin pembangkang menyalak di media sosial. Katanya, ini penghinaan terhadap kedaulatan negara, simbol penjajahan budaya, tanda tunduk kepada kuasa asing.
Namun kini, bendera Israel iaitu simbol kekejaman dan penjajahan sebenar terhadap umat Islam dikibarkan di negeri mereka, dan reaksi yang kita dengar hanyalah: “Oh, itu simulasi saja.”
Simulasi apa, kalau sampai mencemar simbol musuh agama di tanah air sendiri? Ironinya, negeri yang sering melaung ‘hudud’ dan ‘syiar Islam’ kini menjadi lokasi bendera Zionis berkibar walaupun kononnya secara tidak sengaja.
Kalau bendera China dikibarkan dalam pesta budaya dianggap dosa besar, maka kibaran bendera Israel dalam ‘acara Islamik’ ini apa pula hukumnya?
Politik Lidah Bercabang
Inilah penyakit lama politik Malaysia, politik lidah bercabanaag yang menilai dosa dan pahala berdasarkan warna baju, bukan prinsip. Bila kerajaan buat, haram. Bila pembangkang buat, ‘salah faham’.
Paling menjengkelkan, segelintir penganut politik ini masih cuba mempertahankan tindakan itu dengan alasan kononnya ‘tidak berniat menyinggung sesiapa’ tapi bukankah itu hujah yang sama digunakan oleh mereka yang dahulu dikecam habis-habisan kerana ‘tidak sensitif’ terhadap Islam?
Double standard sebegini bukan sahaja memalukan tetapi juga memperlihatkan bagaimana agama dan solidariti Palestin dijadikan modal politik murahan. Bila sesuai, dijunjung tinggi. Bila tidak, dibakulsampahkan di bawah alasan teknikal.
Di Mana Ulama-Ulama Politik?
Menariknya, tokoh agama politik yang selama ini pantas menegur bila ada kesilapan kecil kerajaan, tiba-tiba hilang suara.
Tiada khutbah khas, tiada kenyataan panjang berjela, tiada seruan taubat nasional. Mungkin mereka juga sedang ‘menyimulasikan’ diam, menunggu isu ini dilupakan.
Padahal, kalau benar prinsip Islam yang mereka perjuangkan selama ini tulen, kibaran bendera Israel itu sepatutnya dianggap lebih menghina umat Islam berbanding sehelai bendera negara lain dalam acara kebudayaan.
Namun, nampaknya, bila dosa datang dari pihak sendiri, ia jadi sunat. Bila silap datang dari pihak lawan, ia jadi kufur.
Undang-Undang Bukan Pilihan
Ketua Polis Kelantan sudah mengesahkan siasatan di bawah Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949. Itu langkah yang wajar, bukan kerana niat penganjur tetapi kerana simbol yang digunakan.
Bendera Israel bukan lambang biasa. Ia mewakili rejim yang membunuh kanak-kanak, menghancurkan masjid dan menafikan hak manusia.
Di Malaysia, negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, pengibaran panji itu, walau atas nama simulasi adalah satu penghinaan terhadap dasar luar dan sensitiviti nasional.
Penganjur sudah memohon maaf, itu baik tapi permohonan maaf tidak seharusnya menutup kealpaan. Kesedaran perlu datang bersama pengajaran kerana hari ini ‘simulasi’, esok entah apa lagi yang dijadikan alasan untuk kebodohan.
Solidariti Bukan Sekadar Emosi
Menyokong Palestin bukan sekadar menjerit ‘Free Gaza’ di pentas ceramah. Ia tentang memahami sensitiviti, simbol dan batas tindakan. Bila kita sendiri mengibarkan bendera musuh atas nama perjuangan, kita bukan membantu Palestin tetapi kita mempermainkan penderitaan mereka.
Bila ahli politik yang selama ini melaungkan perjuangan Islam memilih untuk membisu kerana takut menyinggung kawan sendiri, maka jelaslah perjuangan itu bukan kerana Allah tetapi kerana kuasa.
Mata Helang melihat dalam setiap isu, hipokrasi mudah dikenal pasti kerana ia selalunya memakai jubah moral tapi berkasut politik. Isu bendera Israel ini bukan sekadar tentang kesilapan teknikal tetapi tentang konsistensi prinsip dan integriti politik.
Kerajaan MADANI mungkin punya seribu kelemahan tapi sekurang-kurangnya ia tidak menutup mulut bila kesilapan berlaku. Sebaliknya, pembangkang yang kononnya pejuang moral kini terperangkap dalam lumpur hipokrasi sendiri.
Mata Helang tidak peduli warna bendera parti mana tapi apabila bendera Israel dikibarkan di tanah air sendiri dan kononnya ‘tidak sengaja’, itu bukan simulasi tetapi itu simbol kecuaian akal dan kematian integriti.
Jadi, kalau dulu bendera China jadi alasan untuk menjerit soal maruah negara, kali ini bila bendera Israel berkibar di bumi Kelantan, mana suara perjuangan Islam yang kononnya suci itu?