Malaysia galas amanah suarakan keamanan Kashmir
Isu di Kashmir ialah konflik panjang yang melibatkan India, Pakistan dan sebahagiannya China, yang bermula sejak berakhirnya penjajahan British di India pada tahun 1947.
Oleh: LUJAINI IRSYA HANAZI
“DARI Kuala Lumpur ke Kashmir: Peranan Malaysia dalam Diplomasi Keamanan Kashmir.”
Dalam artikel ini, saya akan menerangkan bagaimanakah Malaysia dapat menggunakan platform antarabangsa untuk menyeru penyelesaian damai konflik berpanjangan yang sedang melanda Kashmir.
Seperti yang kita sedia maklum, Kashmir ialah sebuah wilayah yang amat indah dan subur yang terletak di kaki pergunungan Himalaya. Wilayah ini turut dikenali dengan gelaran ‘syurga di bumi’. Namun, di sebalik keindahan alam semula jadinya yang menakjubkan, wilayah ini sebenarnya telah banyak menyimpan kisah luka panjang berpunca daripada konflik yang telah berlarutan sepanjang tujuh dekad.
Bagi penduduk Kashmir, penindasan dan ketegangan yang dihadapi telah menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan seharian mereka. Oleh hal yang demikian, dalam situasi semasa yang penuh dengan ketegangan ini, Malaysia muncul sebagai sebuah daripada negara Islam yang berprinsip iaitu menggunakan platform antarabangsa untuk menyeru kepada keadilan dan keamanan walaupun tidak memiliki apa-apa kepentingan politik secara langsung dalam konflik yang sedang melanda wilayah itu.
Dalam mencari penyelesaian untuk isu yang sedang berlaku, pertama kita hendaklah mengetahui tentang apakah sejarah dan punca yang menyebabkan timbulnya konflik ini. Isu di Kashmir ialah konflik panjang yang melibatkan India, Pakistan dan sebahagiannya China, yang bermula sejak berakhirnya penjajahan British di India pada tahun 1947.
Pada ketika itu, negeri Jammu dan Kashmir telah diperintah oleh pemerintah beragama Hindu tetapi majoriti penduduknya beragama Islam. Mereka diberi pilihan untuk menyertai India atau Pakistan. Keputusan maharaja untuk bergabung dengan India telah mencetuskan perang yang pertama antara India dan Pakistan, dan akhirnya wilayah itu terbahagi kepada dua bahagian utama yang masing-masing ditadbir oleh kedua-dua negara tersebut.
Namun begitu, kedua-dua negara ini terus menuntut keseluruhan wilayah tersebut sebagai hak milik mereka. Konflik ini bukan sahaja berpunca daripada perebutan wilayah tetapi juga melibatkan isu identiti, agama, politik dan hak penentuan nasib sendiri rakyat Kashmir di mana ramai dari mereka menuntut kebebasan atau autonomi.
Akibatnya, kawasan itu sering menjadi medan pertempuran, menyaksikan keganasan, pelanggaran hak asasi manusia dan tekanan tentera yang berterusan. Selain itu, kedudukan strategik Kashmir dan kepentingannya sebagai sumber air utama tealh menambah kerumitan isu ini. Buktinya, sehingga kini tiada penyelesaian muktamad dicapai dan Kashmir kekal sebagai simbol ketegangan serta pertikaian geopolitik yang belum reda di Asia Selatan.
Rentetan daripada peristiwa perebutan wilayah Kashmir antara India dan Pakistan, maka sejak itu, konflik antara kedua-dua negara ini sentiasa wujud sehinggalah pada masa kini. Buktinya, kedua-dua negara ini telah banyak kali berperang dan akibat daripada konflik yang berterusan ini, wilayah Kashmir ini dianggap sebagai salah satu kawasan ketenteraan di dunia.
Penduduk Kashmir sering melaporkan tentang kes yang melibatkan pelanggaran hak asasi manusia, sekatan pergerakan untuk keluar masuk dari Pakistan ke India serta berlakunya penindasan terhadap aktivitis dan wartawan. Oleh hal yang demikian, situasi yang sedang melanda di Kashmir ini bukanlah sekadar pertikaian politik ataupun sempadan akan tetapi perkara ini melibatkan suatu isu kemanusiaan yang lebih besar dan memerlukan perhatian dari masyarakat global dunia.
Pendirian dan Prinsip Diplomasi
Bagi negara kita yang memiliki pendirian dan prinsip diplomasi tersendiri, Malaysia mampu menggunakan platform antarabangsa untuk menyeru penyelesaian damai terhadap konflik berpanjangan yang tercetus di Kashmir ini.
Sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan dasar luar berasaskan keamanan dan keadilan sejagat, Malaysia sentiasa mengambil pendekatan yang sederhana namun cukup tegas dalam menyuarakan isu-isu antarabangsa kepada dunia luar.
Dalam konteks Kashmir ini, penyelesaian mampu dicapai melalui dialog, rundingan serta penghormatan terhadap hak rakyat untuk menentukan masa depan mereka sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia tidak pernah mengiktiraf sebarang tindakan unilateral ataupun kekerasan dalam menangani konflik yang sedang melanda di Kashmir.
Malah, Malaysia menyeru agar semua pihak menghormati resolusi yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menuntut referendum bagi menentukan status masa depan wilayah ini. Prinsip ini selari dengan dasar luar Malaysia yang menolak sebarang campur tangan ketenteraan dan menegakkan keadilan melalui diplomasi.
Di pentas antarabangsa, Malaysia mampu menggunakan pelbagai platform untuk memperjuangkan keamanan di Kashmir. Buktinya, melalui PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia telah berulang kali menyatakan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Kashmir dan menggesa agar komuniti antarabangsa memainkan peranan yang lebih aktif dan tegas dalam menyuarakan isu ini kepada masyarakat dunia.
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia ialah salah sebuah negara yang mengamalkan dasar luar yang menekankan keamanan, hak asasi manusia dan penyelesaian secara diplomatik. Misalnya, pada sesi Perhimpunan Agung PBB tahun 2019, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat satu kenyataan lantang di mana beliau secara terbuka menegur tindakan keras yang dilakukan oleh India terhadap rakyat Kashmir selepas negara itu bertindak untuk membatalkan status autonomi wilayah Kashmir ini.
Walaupun kenyataan tersebut telah menerima pelbagai reaksi negatif daripada Kerajaan India sendiri, namun ia secara tidak langsung menggambarkan keberanian Malaysia dalam menegakkan prinsip keadilan dan kemanusiaan.
Selain di PBB, Malaysia juga memainkan peranan aktif dalam menyertai mesyuarat OIC Contact Group on Jammu Kashmir, yang menumpukan kepada usaha diplomatik bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan serta memberi tekanan politik terhadap pelanggaran hak asasi di wilayah Kashmir ini. Melalui platform ini, Malaysia telah menegaskan pendiriannya bahawa keamanan sejati hanya akan tercapai apabila suara dan hak rakyat Kashmir dihormati.
Seterusnya, selain pendekatan diplomatik, sumbangan Malaysia turut terserlah dalam aspek kemanusiaan. Misalnya, beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) tempatan seperti Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), IKRAM Relief dan Mercy Malaysia turut memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan, menyampaikan ubat-ubatan serta menjalankan program kesedaran di peringkat antarabangsa.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha ini bukan sekadar menunjukkan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Kashmir tetapi ia juga mencerminkan semangat solidariti Islam yang menjadi teras kepada hubungan antara Malaysia dan dunia Islam. Bukan itu sahaja, NGO Malaysia turut bekerjasama dengan rakan dari Turkiye, Pakistan dan Indonesia untuk memperjuangkan nasib rakyat Kashmir di forum antarabangsa.
Namun begitu, usaha Malaysia tidak terlepas daripada pelbagai cabaran. Sebagai sebuah negara perdagangan yang mempunyai hubungan ekonomi yang cukup penting dengan India, Malaysia perlu menyeimbangkan antara prinsip kemanusiaan dan kepentingan nasional. Hal ini dikatakan demikian kerana India merupakan antara rakan dagang utama Malaysia, khususnya dalam sektor minyak sawit dan barangan elektronik.
Maka setiap kenyataan mengenai isu Kashmir perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati agar tidak menjejaskan hubungan diplomatik dan ekonomi. Misalnya, walaupun pernah berlaku ketegangan hubungan selepas kenyataan Tun Dr. Mahathir di PBB, namun Malaysia tetap berpegang pada pendirian bahawa menegakkan keadilan tidak seharusnya tunduk kepada tekanan politik atau ekonomi. Buktinya, pendekatan neutral tetapi berprinsip inilah yang menjadi kekuatan Malaysia dalam platform antarabangsa.
Peranan Malaysia Sebagai Pengantara
Malaysia bukanlah sebuah kuasa besar dari segi ketenteraan atau ekonomi, namun kekuatannya terletak pada keupayaan untuk menjadi suara sederhana yang dipercayai. Dalam banyak konflik global, Malaysia sering memainkan peranan sebagai pengantara yang dihormati kerana keupayaannya yang dapat mengimbangi idealisme dengan realiti diplomatik.
Oleh hal yang demikian, sikap ini bukan sahaja terbukti dalam isu Kashmir tetapi juga dalam konflik di Palestin, Rohingya dan Selatan Thailand. Dalam semua isu tersebut, Malaysia telah menonjol sebagai negara kecil yang tetap berani bersuara demi prinsip kemanusiaan. Keunikan inilah yang menjadikan diplomasi Malaysia dihormati oleh banyak negara membangun, khususnya dalam dunia Islam.
Isu Kashmir bukanlah sekadar pertikaian sempadan atau perebutan kuasa tetapi ia melibatkan persoalan tentang maruah dan hak asasi manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat Kashmir telah lama menanggung derita akibat peperangan, sekatan dan kehilangan. Oleh hal yang demikian, mereka juga berhak untuk mendapatkan kehidupan yang aman, di mana suara mereka didengar dan masa depan mereka ditentukan oleh pilihan sendiri, bukanlah oleh senjata.
Dalam konteks ini, suara Malaysia amatlah penting meskipun negara kita datang dari sebuah negara kecil di Asia Tenggara namun realitinya ia tetap membawa makna yang cukup besar. Ia melambangkan bahawa harapan untuk keamanan masih mungkin dapat dicapai jika dunia berani menegakkan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang telah membuktikan bahawa diplomasi yang berteraskan nilai kemanusiaan dan keikhlasan masih relevan dalam dunia kini yang sarat dengan kepentingan politik dan ekonomi.
Akhirnya, dari Kuala Lumpur ke Kashmir, gema seruan kedamaian itu terus bergema. Ia mungkin tidak menggegarkan dunia tetapi ia mengingatkan kita bahawa selagi masih ada suara yang berani bersuara untuk kebenaran, dunia ini belum kehilangan nur kemanusiaannya.
* Penulis adalah Pelajar Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
