Puasa sunat adalah sunnah nabawi dalam membina kehidupan sihat dan seimbang

Budaya makan berlebihan, pengambilan makanan tinggi gula dan lemak serta gaya hidup kurang aktif telah menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit.

Feature Image

DALAM era moden yang dilimpahi kemewahan makanan, manusia berhadapan dengan suatu paradoks kesihatan yang semakin membimbangkan. Kemajuan ekonomi dan teknologi membolehkan makanan diperoleh hampir pada setiap waktu, namun kemudahan tersebut tidak semestinya membawa kepada kehidupan yang lebih sihat.

Budaya makan berlebihan, pengambilan makanan tinggi gula dan lemak serta gaya hidup kurang aktif telah menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular. Persoalannya, adakah krisis kesihatan manusia moden turut berpunca daripada kegagalan manusia mengawal kehendak dan nafsu makannya?

Islam sejak awal tidak pernah memisahkan antara tuntutan kerohanian dengan kesejahteraan jasmani. Tubuh badan merupakan amanah Allah SWT yang perlu dipelihara. Prinsip ini selari dengan salah satu tujuan utama syariat, iaitu pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs). Atas dasar itu, Islam memberikan perhatian terhadap pemakanan, kebersihan, kesederhanaan dan pengawalan diri sebagai sebahagian daripada pembentukan kehidupan Muslim yang seimbang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A‘raf: 31).

Ayat ini menggariskan prinsip penting dalam pemakanan menurut Islam. Syariat tidak menghalang manusia menikmati makanan yang halal dan baik, tetapi menetapkan batas agar kenikmatan tersebut tidak berubah menjadi kemudaratan. Larangan terhadap israf menunjukkan bahawa persoalan pemakanan bukan sekadar berkaitan halal dan haram, bahkan turut melibatkan kuantiti, kesederhanaan dan kemampuan manusia mengawal keinginannya.

Prinsip yang sama ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak ada wadah yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya. Sekiranya dia perlu makan lebih daripada itu, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Riwayat al-Tirmidzi).

Hadis ini bukan sekadar panduan adab ketika makan, tetapi mengetengahkan prinsip kesederhanaan dan pengawalan nafsu. Perut tidak seharusnya sentiasa dipenuhi hanya kerana manusia mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

Di sinilah puasa mempunyai kedudukan yang sangat istimewa. Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi merupakan proses pendidikan jiwa untuk menguasai kehendak diri.

Allah SWT menjelaskan tujuan pensyariatan puasa melalui firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183).

Matlamat akhirnya ialah takwa. Lapar dan dahaga bukan tujuan utama puasa, sebaliknya menjadi wasilah pendidikan bagi membentuk manusia yang mampu mengawal dirinya kerana ketaatan kepada Allah SWT. Falsafah pendidikan ini turut terserlah melalui amalan puasa sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Antaranya puasa Isnin dan Khamis, puasa tiga hari setiap bulan atau Ayyam al-Bid, serta puasa Nabi Daud AS secara berselang sehari. Kesemua amalan ini menyediakan latihan yang berulang untuk mendidik seorang Muslim agar tidak sentiasa tunduk kepada kehendak jasmaninya.

Makanan tersedia di hadapan mata, tetapi dia memilih untuk tidak menyentuhnya; minuman tersedia, tetapi dia menahannya semata-mata kerana mentaati Allah SWT. Jika seseorang mampu meninggalkan sesuatu yang halal kerana perintah Allah untuk tempoh tertentu, seharusnya dia lebih mampu meninggalkan perkara yang diharamkan-Nya.

Selain itu, puasa turut menjadi perisai yang melindungi manusia daripada dorongan hawa nafsu dan perbuatan yang merosakkan dirinya. Oleh sebab itu, orang yang berpuasa bukan sahaja dituntut meninggalkan makanan dan minuman, bahkan perlu menjaga lidah, emosi, pandangan dan tingkah lakunya.

Puasa dengan demikian merupakan madrasah pengawalan diri yang mendidik manusia bahawa kebebasan sebenar bukanlah kemampuan memenuhi setiap keinginan, tetapi kemampuan menentukan keinginan mana yang perlu dipenuhi dan mana yang perlu dikawal.

Atas dasar itu, puasa sunat tidak sewajarnya direduksikan sebagai versi Islam bagi intermittent fasting. Kedua-duanya mungkin mempunyai persamaan dari sudut tempoh tidak mengambil makanan, tetapi matlamatnya berbeza. Puasa dalam Islam bermula dengan niat ibadah dan pengabdian kepada Allah SWT.

Seorang Muslim berpuasa bukan semata-mata untuk menurunkan berat badan, tetapi untuk memperoleh keredaan Allah dan mendidik jiwa. Sekiranya terdapat manfaat kesihatan, ia merupakan hikmah tambahan yang mengiringi ibadah tersebut.

Menariknya, sains pemakanan kontemporari turut memberikan perhatian terhadap amalan mengehadkan tempoh pengambilan makanan. Beberapa kajian tentang puasa berkala menunjukkan potensi manfaat terhadap pengurusan berat badan dan beberapa aspek kesihatan metabolik. Namun, penemuan tersebut wajar dilihat sebagai usaha memahami sebahagian hikmah fizikal berpuasa, bukan sebagai asas yang menentukan kebenaran syariat.

Bagi seorang Muslim, nilai ibadah tidak bergantung kepada sejauh mana sains berjaya membuktikan manfaatnya. Dalam masa yang sama, semangat puasa akan terjejas sekiranya seseorang menahan lapar sepanjang hari tetapi makan secara berlebihan ketika berbuka. Sunnah berpuasa perlu bergerak seiring dengan sunnah kesederhanaan. Puasa seharusnya mendidik manusia mengawal makanan, bukannya sekadar memindahkan waktu makan berlebihan daripada siang kepada malam.

Justeru, sudah tiba masanya puasa sunat dihidupkan kembali sebagai sebahagian daripada pembentukan gaya hidup Muslim. Dalam dunia yang semakin dibentuk oleh budaya berlebihan, puasa menawarkan tiga nilai yang semakin diperlukan manusia moden: kesederhanaan, disiplin dan penguasaan terhadap kehendak diri.

Kesihatan tentunya tidak bergantung kepada puasa semata-mata, tetapi turut memerlukan pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan rawatan apabila diperlukan. Namun, sunnah Rasulullah SAW mengingatkan manusia kepada suatu prinsip yang sederhana tetapi mendalam: tidak semua keinginan perlu dipenuhi dan tidak semua kenikmatan perlu dinikmati tanpa batas. Ada waktunya tubuh diberi makanan, dan ada waktunya nafsu dididik untuk berkata, “cukup”.