Budaya buli manifestasi krisis nilai kekeluargaan kita

Isu ini tidak hanya mencerminkan masalah disiplin semata-mata tetapi turut menggambarkan tahap kesejahteraan institusi sosial asas iaitu keluarga.

Feature Image

FENOMENA buli dalam kalangan pelajar dan remaja di Malaysia semakin membimbangkan serta menuntut perhatian pelbagai pihak.

Isu ini tidak hanya mencerminkan masalah disiplin semata-mata tetapi turut menggambarkan tahap kesejahteraan institusi sosial asas iaitu keluarga.

Kekerapan kes buli yang dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa gejala ini memiliki akar yang lebih mendalam, melibatkan interaksi kompleks antara faktor pendidikan, persekitaran sosial dan fungsi kekeluargaan.

Menurut data terkini Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), sebanyak 6,208 kes buli telah direkodkan di sekolah seluruh negara sehingga Oktober 2024.

Tahun sebelumnya, 11,594 murid dilaporkan terlibat dalam insiden buli sama ada buli fizikal, verbal dan siber. Sementara statistik bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, kes yang direkodkan adalah 4,994 kes.

Statistik yang direkodkan tersebut, memperlihatkan bahawa gejala ini terus berlaku tanpa tanda reda. Buli lazimnya berlaku di sekolah, asrama atau persekitaran pembelajaran yang melibatkan interaksi sosial yang rapat.

Namun, perkembangan media digital menyebabkan fenomena ini berpindah ke alam maya, sekali gus meluaskan jangkauan dan kesannya terhadap mangsa. Buli di media sosial sering beroperasi secara tidak bersemuka, menjadikannya lebih sukar dikesan dan dikawal.

Walaupun pihak sekolah sering menjadi tumpuan kritikan, harus diakui bahawa tingkah laku buli bukanlah produk institusi pendidikan semata-mata.

Ia terbentuk melalui satu proses sosial dan psikologi yang panjang, yang turut dipengaruhi oleh corak asuhan, hubungan kekeluargaan, persekitaran komuniti serta paparan nilai dalam media massa.

Dalam konteks ini, sekolah hanyalah salah satu ruang manifestasi kepada perilaku yang telah sedia terbentuk di luar sistem pendidikan formal.

Tanggapan umum masyarakat sering kali meletakkan kesalahan utama terhadap pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan apabila kes buli berlaku.

Ada pandangan yang menuduh kelemahan pengawasan, kegagalan intervensi kaunseling atau pelaksanaan dasar yang tidak konsisten sebagai punca utama. Walau bagaimanapun, pendekatan menuding kesalahan secara tunggal tidak menggambarkan realiti sebenar.

Pembentukan perilaku agresif seperti buli merupakan hasil interaksi pelbagai faktor. Watak seorang pembuli tidak lahir dalam tempoh singkat, sebaliknya melalui proses sosialisasi yang panjang.

Ia mencerminkan nilai dan norma yang diserap oleh individu sejak di rumah lagi. Oleh itu, tanggungjawab menangani isu ini perlu dikongsi bersama antara institusi keluarga, sekolah dan masyarakat secara menyeluruh.

Keluarga memainkan peranan utama dalam pembentukan personaliti dan nilai sosial anak-anak. Interaksi awal dalam rumah tangga menjadi asas kepada perkembangan empati, komunikasi dan kawalan emosi.

Apabila anak-anak terdedah kepada persekitaran yang keras, autoritarian atau penuh konflik, mereka berpotensi meniru corak tingkah laku yang sama dalam pergaulan luar.

Namun, antara cabaran besar masa kini ialah munculnya budaya ‘blame others’ dan sikap defensif dalam kalangan sesetengah ibu bapa.

Apabila anak mereka terlibat dalam kes disiplin, terdapat kecenderungan untuk mempertahankan anak dan menyalahkan pihak ketiga seperti guru atau sekolah.

Campur tangan awal sebelum siasatan dijalankan sepenuhnya bukan sahaja mengganggu proses keadilan, tetapi turut melemahkan keupayaan anak untuk memikul tanggungjawab moral terhadap perbuatannya.

Fenomena ini menggambarkan pergeseran peranan keluarga daripada institusi pendidikan nilai kepada entiti pelindung yang reaktif terhadap kritikan sosial. Dalam jangka panjang, ia boleh menjejaskan fungsi pendidikan moral dalam rumah tangga.

Konsep keluarga lestari merujuk kepada keluarga yang bukan sahaja stabil dari segi struktur tetapi juga berfungsi sebagai institusi pembinaan nilai, kesejahteraan dan moral yang berterusan.

Dalam kerangka ini, anak-anak boleh dianggap sebagai ‘produk sosial’ kepada sistem keluarga. Kualiti asuhan, komunikasi dan nilai yang diterapkan dalam keluarga akan menentukan sifat produk tersebut sama ada berakhlak mulia atau sebaliknya.

Realiti kes buli yang meningkat menimbulkan persoalan besar terhadap sejauh mana keluarga moden di Malaysia masih berfungsi secara lestari.

Walaupun belum terdapat kajian komprehensif yang menghubungkan secara langsung antara masalah rumah tangga dan insiden buli remaja, beberapa kajian lepas secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa tekanan sosioekonomi, konflik keluarga dan corak keibubapaan yang longgar memberi kesan terhadap tingkah laku agresif dalam kalangan remaja.

Dalam masyarakat moden, lazimnya kejayaan anak-anak sering diukur melalui pencapaian akademik dan status pekerjaan.

Keadaan ini menyebabkan aspek spiritual, akhlak dan emosi sering diketepikan. Fenomena ini boleh dikategorikan sebagai bentuk sekularisme pendidikan iaitu pemisahan antara kemajuan intelektual dengan pembangunan moral dan spiritual.

Apabila ibu bapa hanya menekankan kecemerlangan akademik, tanpa memberi perhatian terhadap adab, disiplin dan kepatuhan terhadap nilai agama, anak-anak cenderung menganggap bahawa kecerdikan intelektual sudah memadai untuk mencapai kejayaan hidup.

Dalam jangka panjang, pendekatan ini melahirkan generasi yang cemerlang secara kognitif tetapi rapuh dari sudut emosi dan moral.

Perspektif tersebut menimbulkan persoalan jika diukur dengan pesanan Baginda Rasulullah SAW. Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapalah yang membentuknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi, memberikan penegasan bahawa keluarga ialah ejen sosialisasi utama dalam pembentukan orientasi moral manusia yang sempurna.

Ini bermaksud, keluarga merupakan asas kepada pembangunan ummah dan peradaban. Institusi kekeluargaan tidak terhad kepada hubungan nuklear antara ibu bapa dan anak-anak tetapi bersifat ‘extended’ yang mencakupi hubungan dengan mertua, cucu, ipar-duai dan komuniti sekeliling.

Prinsip ini membentuk ekosistem sokongan yang saling melengkapi dari segi intelektual, emosi, spiritual dan ekonomi.

Sebagai contoh, Islam menggariskan kewajipan pendidikan sejak usia awal hingga ke akhir hayat. Lantaran itu, ibu bapa digesa untuk mendapat pendidikan keibubapaan dan bertanggungjawab menyediakan pendidikan terbaik, sama ada dalam bentuk formal mahupun informal kepada anak-anak mereka.

Oleh itu, keluarga bukan sahaja menjadi tempat berlindung tetapi juga pusat pembentukan adab dan nilai sosial yang berperanan dalam mencegah gejala sosial seperti buli.

Justeru, krisis buli perlu ditangani secara holistik, berpaksikan kepada tanggungjawab kolektif antara keluarga, sekolah, kerajaan dan masyarakat.

Pendekatan berasaskan ‘whole-of-society’ amat diperlukan bagi memastikan usaha pencegahan dan pemulihan dapat berjalan secara menyeluruh.

Pertama, keluarga perlu memperkukuh mekanisme semak dan imbang nilai dalaman, melalui dialog, kaunseling dan komunikasi berterusan antara ibu bapa dan anak.

Kedua, institusi pendidikan perlu melaksanakan pendidikan nilai dan empati secara sistematik dalam kurikulum.

Ketiga, kerajaan perlu memperkukuh dasar pembangunan keluarga agar tidak bersifat jangka pendek, sebaliknya berorientasi kepada kesejahteraan generasi.

Jelasnya, budaya buli merupakan manifestasi kepada krisis nilai dan ketidakstabilan fungsi sosial keluarga.

Pembentukan generasi yang seimbang dan berakhlak tidak dapat dicapai melalui sistem pendidikan formal semata-mata, tetapi memerlukan pembinaan akar yang kukuh menerusi institusi keluarga.

Oleh itu, setiap keluarga wajar menilai semula peranannya sebagai tapak awal pembinaan akhlak dan kemanusiaan agar dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja salih tetapi juga muslih iaitu generasi yang mampu memperbaiki diri dan masyarakat di sekitarnya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.