SAT.Asia perkukuh peranan dalam teknologi pertanian digital menerusi i-AGRI dan kerjasama industri
SAT.Asia memperluas peranan dalam ekosistem teknologi pertanian digital Malaysia menerusi platform i-AGRI bersama MDEC serta kerjasama dengan UNIMAS Holdings dan MarketBoy Marketing bagi pembangunan bakat dan akuakultur berteraskan AI.
MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad bin Sabu menyaksikan pelancaran i-AGRI semasa MAHA 2026 baru-baru ini.
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – Singularity Aerotech Asia Sdn Bhd (SAT.Asia), anak syarikat Singularity Connect Sdn Bhd, memperluas peranannya dalam ekosistem Teknologi Pertanian (AgTech) Malaysia menerusi kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi platform i-AGRI, iaitu platform penerimagunaan Teknologi Pertanian berteraskan kecerdasan buatan (AI) kebangsaan.
SAT.Asia turut menjalinkan kerjasama baharu dengan UNIMAS Holdings dan MarketBoy Marketing yang memberikan tumpuan kepada pembangunan bakat dalam bidang Teknologi Pertanian dan akuakultur berteraskan AI.
Inisiatif yang diperkenalkan semasa MAHA 2026 itu mencerminkan langkah SAT.Asia untuk melangkaui teknologi khusus di peringkat ladang kepada pembangunan keupayaan yang merangkumi risikan data pertanian, AI, penyepaduan teknologi dan pembangunan modal insan.
i-AGRI bangunkan perspektif menyeluruh pendigitalan pertanian
Diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama strategik Kementerian Digital (KD) dan Kementerian Ekonomi (KE), Platform Pengadaptasian Teknologi Pertanian Digital (i-AGRI) dibangunkan dan dikendalikan oleh MDEC dengan kerjasama SAT.Asia.
Platform itu dilancarkan secara rasmi pada MAHA 2026 oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
i-AGRI menyepadukan maklumat mengenai penerimagunaan teknologi pertanian digital merentasi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur dalam satu paparan bersepadu.
Platform itu kini menjejaki pelaksanaan Teknologi Pertanian Digital di seluruh Malaysia dengan menghimpunkan data penerimagunaan bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh tentang tahap kemajuan penerimagunaan teknologi berkenaan, di samping impaknya terhadap produktiviti dan ekonomi.
Dengan menggantikan pelaporan yang berpecah-pecah dan statik kepada analisis dinamik, bersifat visual dan berbantukan AI, i-AGRI direka untuk memberikan gambaran lebih jelas kepada pihak berkepentingan kerajaan tentang perkembangan penerimagunaan teknologi pertanian serta jurang yang masih wujud.
Platform itu menggunakan pelbagai sumber data, termasuk rekod penerima manfaat MyGAP, harga import dan eksport, harga pasaran, maklumat cuaca, data satelit NDVI berkaitan guna tanah serta amaran bencana.
Platform itu turut menyediakan analisis carta yang dijana AI serta paparan landskap dan prospek pertanian pada peringkat kebangsaan.

Selain fungsi khusus untuk pihak kerajaan, i-AGRI turut menyediakan ruang komuniti kepada petani yang mendigitalkan operasi mereka untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada golongan profesional, bertukar-tukar pengetahuan dan mengikuti perkembangan industri.
Platform itu menyokong agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).
Ketua Pegawai Eksekutif SAT.Asia, Hafeiz Hassan berkata, fasa pendigitalan pertanian di Malaysia yang seterusnya memerlukan lebih daripada sekadar teknologi yang berfungsi secara individu, sebaliknya data yang boleh dimanfaatkan, bakat yang bersedia memenuhi keperluan industri dan teknologi yang boleh diaplikasikan merentasi pelbagai segmen pertanian.
“Menerusi i-AGRI dan kerjasama yang sedang kami bangunkan, SAT.Asia menghimpunkan keupayaan ini sekali gus memperkukuh peranan kami dalam landskap Teknologi Pertanian Malaysia,” katanya.
Beliau berkata i-AGRI memberikan pihak berkepentingan gambaran bersepadu tentang tahap kemajuan pendigitalan dan data pertanian yang sebelum ini berpecah-pecah merentasi pelbagai sumber.
“Papan pemuka platform ini sudah sedia dan akan dibuka untuk diakses oleh pihak berkepentingan bermula suku keempat 2026, diikuti sasaran pelancaran yang lebih meluas kepada orang awam, paling awal pada separuh kedua 2027,” katanya.
Naib Presiden Penerimagunaan Digital MDEC, Ir Wan Murdani Wan Mohamad berkata, menerusi i-AGRI dan kerjasama dengan SAT.Asia, pihaknya menghimpunkan data, teknologi dan keupayaan industri untuk memberikan pihak berkepentingan gambaran lebih jelas tentang perkembangan pendigitalan, jurang yang masih wujud serta keperluan sokongan bersasar.
Beliau berkata langkah itu akan membolehkan keputusan dibuat berdasarkan maklumat yang lebih menyeluruh dan membantu mempercepat penerimagunaan teknologi praktikal yang boleh diperluas dalam seluruh sektor pertanian Malaysia.
“Matlamat akhirnya adalah untuk beralih daripada penerimagunaan secara terasing kepada ekosistem Teknologi Pertanian Digital kebangsaan yang lebih saling berhubung, sekali gus memperkukuh keupayaan tempatan, meningkatkan produktiviti dan daya tahan serta menyumbang secara langsung kepada aspek keterjaminan makanan Malaysia, MD2030 dan aspirasi negara untuk menjadi Negara AI menjelang 2030,” katanya.
SAT.Asia perkukuh keupayaan teknologi pertanian menerusi kerjasama industri
SAT.Asia melengkapi keupayaan risikan data pada peringkat kebangsaan yang dibangunkan menerusi i-AGRI dengan kerjasama yang memberikan tumpuan kepada dua lagi aspek penerimagunaan Teknologi Pertanian, iaitu pembangunan bakat dan pelaksanaan teknologi berdasarkan keperluan industri.
Kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) semasa MAHA 2026.
Menerusi kerjasama dengan UNIMAS Holdings, SAT.Asia akan menyediakan lesen pendidikan bagi UrusTani, membolehkan pelajar UNIMAS mengakses platform itu secara terancang untuk kerja kursus, latihan amali dan penyelidikan dalam bidang pertanian serta bidang berkaitan.
Kerjasama itu turut merangkumi program pembangunan bakat yang bertujuan melatih graduan UNIMAS sebagai juruteknik pertanian pintar.
Program berkenaan menggabungkan pendedahan teknikal kepada penderia Internet Benda (IoT), dron, sistem pengurusan ladang digital dan automasi ladang dengan pembangunan kemahiran berasaskan pengalaman praktikal di lapangan.
SAT.Asia turut menjalin kerjasama dengan MarketBoy Marketing untuk membangunkan dan mengkomersialkan BlueCore OS AI, iaitu platform pengurusan ladang akuakultur yang diperkukuhkan dengan AI.
Kerjasama itu menggabungkan keupayaan pembangunan teknologi SAT.Asia dengan pengalaman operasi MarketBoy Marketing dalam penternakan udang dan ikan, pemborongan makanan laut serta perundingan akuakultur.
Kerjasama itu bertujuan membangunkan model AI yang berasaskan operasi sebenar di ladang, sekali gus memperluas keupayaan SAT.Asia dalam bidang pertanian pintar dan AI kepada sektor akuakultur.
Secara keseluruhannya, i-AGRI dan kerjasama baharu itu memperluas peranan SAT.Asia dalam ekosistem Teknologi Pertanian yang merangkumi aspek risikan data kebangsaan, aplikasi teknologi dan pembangunan bakat.
Langkah itu sekali gus menyokong penerimagunaan teknologi digital dan berteraskan AI secara lebih meluas dalam sektor pertanian Malaysia.
