Sumber sejarah penentu naratif pembangunan dunia sukan
Peristiwa penting yang direkod dalam sukan negara menjadi pemangkin kepada masyarakat menghayati percapaian dan kegemilangan sukan yang pernah kita kecapi.

DALAM era sukan yang semakin kompetitif, sejarah sukan kini memainkan peranan yang penting dalam membentuk hala tuju pembangunan sukan negara. Bagaimanapun, tumpuan sukan kini seiring dengan kemajuan inovasi dan teknologi sukan dalam sains sukan dan data analisis.
Namun begitu, sumber sejarah tidak boleh dipinggirkan kerana tetap menjadi asas penting dalam memahami identiti serta hala tuju sukan negara. Terdapat beberapa kepentingan sumber sejarah dalam sukan hari ini yang mampu menyokong pembangunan sukan negara.
Kepentingan sejarah berkaitan sukan masih penting dalam arus pemodenan digital hari ini. Sejarah sukan bukan sahaja merakamkan peristiwa penting negara, namun, sebagai simbol kejayaan negara yang pernah cemerlang di pentas sukan dunia.
Peristiwa penting yang direkod dalam sukan negara menjadi pemangkin kepada masyarakat menghayati percapaian dan kegemilangan sukan yang pernah kita kecapi. Ini bukan sahaja mengimbau kenangan manis sukan negara tetapi juga merentis rasa kesamaan antara masyarakat Malaysia menghayati kejayaan yang pernah kita kecapi.
Dalam sukan bola sepak misalnya, kita pernah berbangga dengan melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich pada 1972 dan Olimpik di Moscow 1980. Peristiwa ini pasti menjadi sejarah penting dunia sukan bahawa kita pernah berada di peringkat dunia bersama pasukan bertaraf bintang. Ini tidak mustahil untuk kita mampu melakukannya sekali lagi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Selain itu, sejarah sukan juga turut berperanan sebagai sumber inspirasi kepada atlet muda. Kisah kecemerlangan atlet terdahulu termasuk kejayaan di Sukan SEA, Komanwel dan Olimpik menjadi pendorong kepada generasi baharu.
Sudah semestinya, para atlet negara menjadikan tokoh-tokoh sukan negara dalam pelbagai lapangan sebagai sumber inspirasi kepada atlet muda bagi mengorak langkah lebih jauh. Begitu juga, rekod prestasi lampau pula membantu jurulatih dan penganalisis merancang strategi yang lebih rapi. Ini bagi lebih memahami kekuatan dan kelemahan lawan berdasarkan pola sejarah yang telah diuji masa.
Dalam sukan badminton misalnya, ramai generasi muda menjadikan Datuk Lee Chong Wei sebagai sumber inspirasi. Kekuatan dan ketajaman Chong Wei beraksi dalam sukan badminton menjadi pendorong kepada pelapis muda sukan badminton untuk mengenal erti perjuangan beliau tanpa putus asa sehingga berjaya meraih tiga pingat perak dalam tiga siri kejohanan sukan Olimpik.
Terbaharu Chong Wei dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diharap beliau mampu menyumbang idea baharu dalam sukan badminton.
Kepentingan sejarah sukan dari sudut dasar awam juga memainkan peranan penting. Penggubal polisi menggunakan data dan laporan sejarah untuk merangka pembangunan sukan negara. Ini termasuk menentukan sukan strategik, mengenal pasti kelebihan kompetitif Malaysia serta merancang pelaburan jangka panjang yang lebih efektif.
Dengan semakin banyak arkib sukan didigitalkan dan dibuka kepada umum, para penyelidik percaya bahawa kajian sejarah sukan akan terus relevan dalam mengukuhkan dunia sukan moden. Sejarah bukan sekadar rekod lama. Ia adalah kompas yang memandu hala tuju sukan di masa hadapan.
Selain itu, kepentingan sumber sejarah menjadi suatu naratif baharu bukan sahaja berkaitan peristiwa sukan negara tetapi berkaitan dokumen dan rekod berkaitan atlet dan pemain. Ketika ini, isu berkaitan dokumen sedang menjadi isu panas dalam sukan bola sepak negara.
Persatuan dan agensi sukan melihat bahawa dokumen atlet dan pemain menjadi dokumen penting. Rekod serta dokumen lama bukan sahaja membantu masyarakat menelusuri asal usul dan evolusi sesuatu sukan tetapi juga mengungkap bagaimana nilai dan budaya sukan terbina. Tanpa rujukan sejarah, kita hilang konteks tentang bagaimana sukan berkembang dan apa yang membentuk identiti nasional dalam arena sukan.
Dalam dunia sukan kini, sumber sejarah dokumen keluarga dan identiti turut menjadi isu yang semakin relevan, khususnya dalam kes pemain warisan Malaysia di bawah badan seperti FIFA. Kes pemain yang layak mewakili negara melalui keturunan, salasilah keluarga atau bukti dokumentasi sejarah seperti sijil kelahiran datuk/nenek menunjukkan bahawa dokumen sejarah mampu menentukan masa depan karier seseorang atlet, serta memberi impak kepada kekuatan pasukan kebangsaan.
Pertikaian mengenai kewarganegaraan dan kelayakan pemain memerlukan penilaian teliti terhadap dokumen-dokumen sejarah yang sahih dan boleh dipercayai.
Kajian sejarah sukan tidak terlepas daripada proses kritikan sumber sejarah itu sendiri. Melalui kaedah heuristik, penyelidik mengenal pasti, mengumpul dan menilai sumber relevan termasuk arkib sukan, laporan pertandingan, memo rasmi, gambar dan surat peribadi atlet.
Seterusnya, kritik luaran memastikan kesahihan fizikal dokumen seperti tarikh, penulis, asal usul dan ketulenan bahan. Kritik dalaman pula menganalisis kandungan untuk menilai niat, bias, ketepatan dan konteks penulisan. Proses ini bagi menjamin bahawa maklumat sejarah yang digunakan dalam menggubal dasar atau menilai prestasi tidak bersandarkan sumber yang tidak tepat.
Akhir sekali, historiografi membantu pengkaji melihat bagaimana naratif sejarah sukan dibentuk, ditulis semula dan ditafsir oleh generasi berbeza. Dapatlah kita nyatakan bahawa sejarah sukan kini bukan sahaja berkisah peristiwa penting kegemilangan dan kejayaan sukan negara.
Namun kini, sumber sejarah juga menjadi penanda baharu kepada kepentingan kemajuan dan pembangunan sukan negara.

