Pesta makanan di bulan Ramadan, pastikan halalan tayyiban

Ramadan ibarat pesta makanan bagi umat Islam. Pelbagai juadah tradisi dan semasa dihasilkan dan dijual di bazar Ramadan dan dihidangkan bersama bufet Ramadan.

Poster Terkini (1)


RAMADAN hadir bersama 1001 keberkatan. Ia hadir bersama berbagai ganjaran berlipat kali ganda bagi setiap amal ibadat dan amal soleh.

Bahkan ia diwarnai dengan pelbagai tradisi setempat. Umpamanya, sambutan Ramadan, pakaian perayaan, makanan festival atau makanan yang hanya ada di bulan puasa dan sebagainya.

Ramadan ibarat pesta makanan bagi umat Islam. Pelbagai juadah tradisi dan semasa dihasilkan dan dijual di bazar Ramadan dan dihidangkan bersama bufet Ramadan.

Dalam berhadapan dengan pesta makanan ini, umat Islam perlu berhati-hati kerana makanan yang dimakan akan menjadi darah daging dan akan memberi kesan terhadap amal ibadah terutamanya selepas berbuka puasa.

Pengambilan makanan berlebihan akan menyebabkan timbulnya rasa malas dan letih untuk mengerjakan solat terawih. Situasi ini berlawanan dengan objektif pensyariatan puasa dan kehadiran bulan yang penuh tawaran yang berganda.

Sewajarnya, makanan yang halalan tayyiban akan memperkuatkan tubuh badan dalam menjalani ibadah kepada Allah SWT.

Pada dasarnya, makanan yang halal adalah makanan yang bersumberkan bahan yang halal, tidak mengandungi bahan yang diharamkan di samping tidak melalui proses penyediaan yang melibatkan pencemaran bahan yang diharamkan.

Makanan yang tayyib pula adalah makanan yang halal dan mempunyai khasiat, tiada bahan yang memudaratkan tubuh badan dan proses penyediaannya yang bersih dan selamat.

Asas pengambilan makanan ini berdasarkan ayat 168, surah al-Baqarah: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Berdasarkan ayat di atas, sesuatu makanan yang diambil perlu melihat dua unsur utama iaitu halal dan tayyib. Ia bukan sahaja melibatkan sumber yang halal semata-mata, sebaliknya ia turut merangkumi kandungannya yang tidak memudaratkan manusia dan ia disediakan dalam keadaan yang bersih dan selamat.

Realitinya pada hari ini, pesta makanan yang diraikan umat Islam ketika menyambut kehadiran Ramadan memperlihatkan pelbagai juadah yang dihasilkan.

Ada makanan yang berat seperti nasi dan lauk pauk, ada kuih-muih, pencuci mulut, makanan ringan dan juga berbagai jenis air yang dijual-beli.

Begitu juga, bufet Ramadan turut sama menawarkan pelbagai pilihan selera makanan dari menu timur hingga masakan barat.

Dalam konteks bufet Ramadan yang disediakan oleh pihak hotel atau restoran, proses pemilihan pakej yang ditawarkan boleh diteliti bersama dengan sijil halal yang diiktiraf oleh pihak berwajib kerana ia boleh menambah keyakinan pengguna Muslim.

Dalam konteks bazar Ramadan pula, ia agak rumit kerana pemilihannya lebih melihat kepada aspek uruf setempat yang sahih. Ia banyak bergantung kepada kejujuran para peniaga sama ada memastikan sumber yang digunakan adalah halal dan tayyib serta proses penyediaan juga bersih dan selamat.

Pengguna Islam biasanya hanya melihat aspek luaran sama ada premis, penjual, proses penyediaan dan penghidangan serta produk akhir yang dihasilkan.

Dari aspek premis atau tempat jualan, pengguna atau pembeli perlu memastikan kebersihannya agar makanan yang dibeli tidak tercemar dengan bakteria dan bahan haram lain, manakala aspek penjual juga perlu dititikberatkan tentang kebersihan dan penampilannya.

Proses penyediaan turut diperhatikan terutamanya melibatkan cara pengolahan makanan, penggunaan sumber bahan yang halal dan tayyib, kebersihan bekas meletakkan makanan serta penghidangan.

Produk akhir yang dihasilkan juga perlu dipastikan halal dan tayyib, di samping layak dimakan seperti tidak mentah atau tidak hangit serta tidak menipu pengguna dengan kualiti dan kuantiti makanan yang dihasilkan.

Selain itu, rasa lapar dan dahaga akibat berpuasa menyebabkan pengguna Muslim akan mudah tergoda dan tertarik dengan juadah dan minuman yang dijual dan dihidangkan tanpa memikirkan aspek tayyib.

Ini disebabkan tidak semua makanan yang halal adalah tayyib dan tidak semua yang tayyib adalah halal. Sebagai contoh, gula dan susu adalah halal tetapi pengambilan dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan tidak tayyib kerana ia boleh memudaratkan.

Begitu juga dengan pengambilan makanan segera, makanannya boleh jadi halal tetapi kandungan lemaknya yang tinggi boleh menyebabkan ia tidak tayyib kerana boleh mengakibatkan obesiti.

Di samping itu, makanan dan minuman viral juga banyak dihasilkan ketika pesta makanan di bulan Ramadan. Para pengguna perlu bertindak bijak dalam membuat pembelian, berpada-pada dan mengawal pengambilan makanan yang terlampau manis atau tinggi lemak, agar kesan mudarat tidak diraih selepas berakhirnya Ramadan kelak.

Justeru, kandungan gula, garam, lemak serta kalori perlu dipertimbangkan.

Sehubungan dengan itu, dalam meraikan bulan pesta makanan ini, umat Islam ambillah makanan yang seimbang, berkhasiat dan tinggi serat agar dapat meningkatkan sistem imuniti tubuh badan serta ringan badan untuk beribadat.

Ini kerana objektif berpuasa adalah menghasilkan umat Islam yang sihat dan kuat selepas sebulan merehatkan mesin penghadaman. Sedangkan 11 bulan lagi, mesin penghadaman akan beroperasi tanpa henti. Biarlah sedap ditekak dan elok sihat tubuh badan.

Apabila siangnya kita menahan lapar dan dahaga, maka apabila malamnya jangan diisi dengan makanan yang haram, tidak tayyib dan boleh memudaratkan tubuh badan.

Ini kerana makanan yang tidak halal dan tidak tayyib akan menyebabkan doa tidak diterima di sisi Allah SWT di samping akan timbul rasa malas untuk beribadat di malam hari.

Dengan itu, objektif berpuasa akan gagal dicapai dan kehadiran Ramadan menjadi sia-sia.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.