Jangan panik, Matriks Tahun Empat bukan peperiksaan

ibu bapa tidak perlu terburu-buru menghantar anak mengikuti kelas tuisyen semata-mata bagi menghadapi Matriks Pembelajaran Tahun Empat.

Feature Image (5)

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2026 – Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun Empat yang bakal melibatkan kira-kira 400,000 murid di seluruh negara mulai Oktober ini tidak seharusnya menjadi punca kebimbangan dalam kalangan ibu bapa. Sebaliknya, inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) itu perlu dilihat sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh kualiti pendidikan negara melalui penilaian berasaskan data.

Pensyarah Kanan Kurikulum, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Azli Ariffin berkata, persepsi bahawa setiap bentuk penilaian memerlukan persediaan seperti peperiksaan perlu diubah kerana Matriks Pembelajaran Tahun Empat bukan bertujuan menentukan kejayaan atau kegagalan murid.

Beliau menegaskan ibu bapa tidak perlu terburu-buru menghantar anak mengikuti kelas tuisyen semata-mata bagi menghadapi matriks tersebut.

“Matlamat utama matriks ini adalah sebagai instrumen diagnostik untuk mengenal pasti tahap penguasaan sebenar murid terhadap kemahiran asas membaca, menulis dan mengira serta kompetensi pembelajaran yang diperlukan mengikut tahap persekolahan.

“Ia bukan bertujuan memberi tekanan kepada murid atau membandingkan pencapaian mereka. Sebaliknya, matriks ini menyediakan data yang lebih tepat mengenai tahap penguasaan murid bagi membantu guru merancang intervensi yang lebih sistematik, berfokus dan bersesuaian dengan keperluan setiap individu,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan tersebut mencerminkan perubahan landskap pendidikan yang semakin memberi penekanan kepada penggunaan data dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Katanya, hasil dapatan matriks bukan sahaja memberi gambaran tentang pencapaian murid, malah menjadi indikator kepada keberkesanan pendekatan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru di bilik darjah.

“Guru dapat menilai semula strategi pengajaran yang digunakan berdasarkan bukti dan data yang diperoleh. Pendekatan pendidikan berasaskan data seperti ini semakin penting dalam sistem pendidikan moden kerana ia membolehkan penambahbaikan dilakukan secara lebih tepat dan berkesan,” jelasnya.

Dr. Azli berkata manfaat pelaksanaan matriks itu turut melangkaui bilik darjah apabila data yang dikumpulkan boleh dimanfaatkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menilai keberkesanan dasar pendidikan secara menyeluruh.

Beliau berkata data tersebut boleh digunakan bagi memperkukuh kurikulum, menambah baik latihan guru serta mengenal pasti keperluan sokongan pembelajaran mengikut kawasan dan latar belakang murid.

“Apabila data diperoleh secara sistematik di peringkat kebangsaan, kementerian mempunyai asas yang lebih kukuh untuk merancang penambahbaikan dasar pendidikan, memperkasakan kurikulum dan memastikan setiap murid menerima intervensi yang bersesuaian tanpa mengira lokasi atau latar belakang mereka,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun Empat juga selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang memberi penekanan kepada peningkatan kemenjadian murid, kesejahteraan pendidikan, pengukuhan kualiti pengajaran serta penggunaan data dalam membuat keputusan.

“Fokus utama pendidikan negara hari ini bukan lagi semata-mata mengejar keputusan peperiksaan, tetapi memastikan setiap murid berkembang mengikut potensi masing-masing melalui intervensi awal yang berkesan. Data yang diperoleh daripada matriks ini mampu membantu merealisasikan matlamat tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak ibu bapa melihat pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun Empat daripada perspektif yang lebih luas, iaitu sebagai usaha memperkasakan sistem pendidikan negara dan bukannya menambah tekanan kepada anak-anak.

“Kita perlu mengubah paradigma masyarakat bahawa setiap bentuk penilaian memerlukan tuisyen. Hakikatnya, sistem pendidikan yang berkualiti ialah apabila data penilaian digunakan untuk menambah baik pengajaran guru, memperkukuh pembelajaran murid dan membantu kementerian merancang dasar pendidikan yang lebih berkesan.

“Apabila semua pihak memanfaatkan data ini dengan sebaiknya, kita bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademik, malah membentuk kemenjadian murid yang holistik, sejahtera dan berdaya saing sebagaimana dihasratkan dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun Empat bergantung kepada kerjasama erat antara ibu bapa, guru, sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memanfaatkan data yang diperoleh untuk memastikan tiada murid tercicir daripada menerima sokongan yang diperlukan.

Jelasnya, apabila penilaian digunakan sebagai asas kepada penambahbaikan pembelajaran dan bukannya semata-mata untuk mengukur pencapaian, sistem pendidikan negara akan menjadi lebih inklusif, responsif dan mampu melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.