Apabila anak berhenti bercerita

0

Dalam usaha memenuhi keperluan material, kita kadangkala terlupa memenuhi satu keperluan yang jauh lebih asas, iaitu keperluan emosi untuk didengari.

Feature Image (6)

SUATU hari nanti, mungkin kita akan menyedari anak tidak lagi gemar bercerita. Tiada lagi kisah tentang apa yang berlaku di sekolah, tiada lagi cerita mengenai rakan-rakan, guru atau impian kecil mereka. Apabila ditanya, jawapan yang diberikan sekadar, “Tak ada apa-apa,” atau “Okay.”

Ramai ibu bapa menganggap keadaan itu sebagai tanda anak semakin matang dan berdikari. Hakikatnya, ia mungkin petanda bahawa anak sudah tidak pasti sama ada ibu atau ayah masih benar-benar mahu mendengar.

Hubungan antara ibu bapa dan anak jarang sekali renggang secara tiba-tiba. Ia berlaku perlahan-lahan apabila ruang untuk berbual digantikan dengan kesibukan kerja, telefon pintar dan rutin harian yang tidak pernah berakhir. Lama-kelamaan, anak belajar bahawa rumah bukan lagi tempat terbaik untuk meluahkan isi hati.

Hari ini, ramai ibu bapa bekerja keras demi menyediakan rumah yang selesa, pendidikan terbaik dan kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak. Semua itu sememangnya penting. Namun, dalam usaha memenuhi keperluan material, kita kadangkala terlupa memenuhi satu keperluan yang jauh lebih asas, iaitu keperluan emosi untuk didengari.

Realitinya, komunikasi dalam keluarga semakin banyak dipenuhi arahan berbanding perbualan. “Cepat mandi”, “Siapkan kerja sekolah”, “Jangan main telefon”, atau “Tidur awal”. Arahan ini memang perlu, tetapi jika itulah yang paling banyak didengari oleh anak setiap hari, hubungan ibu bapa dan anak akhirnya menjadi hubungan yang bersifat pengurusan, bukannya hubungan yang dibina atas kepercayaan dan kasih sayang.

Ironinya, dunia digital yang sepatutnya mendekatkan manusia kadangkala menjadi penghalang kepada komunikasi dalam keluarga. Di Malaysia, 94 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun menggunakan internet dan hampir semuanya melayari internet setiap hari. Walaupun teknologi membawa banyak manfaat kepada pembelajaran dan perhubungan, ia juga boleh mengurangkan interaksi bersemuka sekiranya tidak digunakan secara seimbang.

Lebih membimbangkan ialah apabila anak mula berkongsi perasaan, kita sering terburu-buru memberikan penyelesaian. Apabila anak berkata, “Hari ini saya sedih.” Kita pantas menjawab, “Tak payahlah sedih.” Apabila anak mengadu, “Kawan tak suka saya.” Kita segera membalas, “Biasalah tu, jangan fikir sangat.” Niat kita mungkin baik kerana mahu anak cepat bangkit. Namun tanpa disedari, kita sedang menghantar mesej bahawa emosi mereka tidak begitu penting untuk didengari.

Lama-kelamaan, anak memilih untuk memendam perasaan kerana mereka merasakan setiap cerita hanya akan disambut dengan nasihat, teguran atau perbandingan.

Sebenarnya, kebanyakan anak tidak mencari jawapan apabila mereka mula bercerita. Mereka sedang mencari seseorang yang sanggup mendengar tanpa menghakimi. Mereka mahu tahu bahawa perasaan mereka diterima sebelum masalah mereka cuba diselesaikan.

Dalam psikologi perkembangan, pengalaman merasa didengari membentuk *secure attachment*, iaitu hubungan emosi yang selamat antara ibu bapa dan anak. Hubungan inilah yang menjadi asas kepada keyakinan diri, kestabilan emosi dan keberanian anak untuk berkongsi masalah apabila meningkat dewasa.

Bayangkan seorang anak pulang dari sekolah lalu berkata, “Saya gagal ujian Matematik.” Respons spontan mungkin, “Kan ayah dah suruh belajar.” Tetapi bagaimana jika kita menjawab, “Ayah nampak awak kecewa. Ceritalah apa yang berlaku.”

Perubahan kecil itu mungkin kelihatan remeh, tetapi kesannya sangat besar. Apabila seseorang berasa difahami, dia akan lebih terbuka menerima bimbingan dan nasihat.

Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu menjadi contoh kepada anak-anak dalam mengurus penggunaan teknologi. Garis Panduan Pemakanan Malaysia untuk Kanak-kanak dan Remaja yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan bahawa hanya 25.2 peratus kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun memenuhi saranan masa skrin, manakala ramai kanak-kanak menghabiskan lebih daripada dua jam sehari di hadapan skrin. Keadaan ini mengingatkan kita bahawa masa berkualiti bersama keluarga tidak boleh digantikan dengan kehadiran di alam maya.

Mendengar juga bukan bererti kita bersetuju dengan semua perkara yang diperkatakan oleh anak. Mendengar bermaksud memberi ruang kepada mereka meluahkan emosi tanpa terus menghukum, memperlekeh atau membandingkan mereka dengan orang lain. Selepas itu, barulah nasihat disampaikan dengan hikmah dan kasih sayang.

Sebagai ibu bapa, kita mungkin tidak mampu menghalang setiap cabaran yang bakal dihadapi oleh anak-anak. Kita juga tidak mungkin dapat berada di sisi mereka sepanjang masa. Namun kita boleh memastikan bahawa apabila mereka berdepan masalah, orang pertama yang ingin mereka cari ialah ibu atau ayah.

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bertanya, “Mengapa anak saya tidak mendengar cakap saya?” Sebaliknya, tanyalah soalan yang lebih penting, “Bilakah kali terakhir saya benar-benar mendengar cerita anak saya tanpa menyampuk, tanpa menasihati terlalu awal dan tanpa memegang telefon?”

Kerana hakikatnya, anak yang membesar dengan perasaan sentiasa didengari akan lebih mudah mempercayai ibu bapanya. Dan apabila kepercayaan itu terus dipelihara, rumah akan kekal menjadi tempat paling selamat untuk mereka kembali, walau sebesar mana pun cabaran hidup yang bakal dihadapi.

Suatu hari nanti, anak-anak mungkin tidak lagi mengingati semua nasihat yang pernah kita berikan. Namun mereka akan sentiasa mengingati bagaimana perasaan mereka ketika berbicara dengan kita. Barangkali hadiah paling berharga daripada seorang ibu atau ayah bukanlah jawapan kepada setiap masalah, tetapi telinga yang sudi mendengar, hati yang sentiasa menerima dan kehadiran yang tidak pernah terganggu oleh apa-apa selain kasih sayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *