Mahasiswa UM perkasa ketahanan digital murid-murid SKKGV Seremban

Bertujuan meningkatkan kesedaran murid Tahun Enam mengenai keselamatan dalam talian, ketahanan digital serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.

Feature Image (8)

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2026 – Sekumpulan pelajar daripada Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya telah berjaya melaksanakan projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertajuk “AI & Saya: Mengajar Kanak-Kanak Menggunakan Internet Dengan Selamat” pada 22 Mei 2026 dengan kerjasama SK King George V (SKKGV), Seremban.

Program di bawah kursus Undang-Undang dan Kemasyarakatan (Law and Society) itu bertujuan meningkatkan kesedaran murid Tahun Enam mengenai keselamatan dalam talian, ketahanan digital serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.

Seramai 230 murid Tahun Enam terlibat dalam program berkenaan. Pelaksanaan program merangkumi bengkel fizikal di sekolah serta kajian tinjauan pra dan pasca program secara dalam talian bagi menilai tahap kefahaman peserta terhadap keselamatan siber dan teknologi AI.

Inisiatif tersebut dilaksanakan susulan perkembangan pesat teknologi AI yang turut membawa cabaran termasuk penipuan digital, penyebaran maklumat palsu, deepfake dan buli siber. Sehubungan itu, murid didedahkan kepada kemahiran mengenal pasti risiko serta langkah keselamatan ketika menggunakan internet.

Pengarah projek, Hannah Kamiliya berkata program itu bertujuan memberi kefahaman kepada murid bahawa teknologi AI mempunyai manfaat, namun turut membawa risiko sekiranya disalahgunakan.

Bagi memastikan kandungan program berasaskan fakta dan relevan, jawatankuasa penganjur telah menjalankan penyelidikan menyeluruh mengenai pelbagai ancaman digital seperti penipuan suara sintetik, media manipulatif, penyalahgunaan AI untuk kandungan eksplisit, serta penyebaran maklumat palsu. Dapatan ini turut disokong oleh bahan pendidikan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Sebagai pelajar undang-undang, pasukan projek turut menggabungkan elemen literasi perundangan dalam modul pembelajaran dengan memperkenalkan perlindungan yang disediakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian, Akta Kanak-Kanak, Kanun Keseksaan serta beberapa kerangka perundangan lain yang berkaitan dengan keselamatan digital dan perlindungan kanak-kanak.

Selain itu, risalah pendidikan turut dihasilkan dan diedarkan kepada peserta. Risalah tersebut mengandungi maklumat mengenai ancaman digital, statistik penggunaan internet serta panduan asas keselamatan ketika berada dalam ruang siber.

Bengkel yang dijalankan di sekolah disusun dalam bentuk siri pembelajaran mini yang memfokuskan kepada pelbagai cabaran keselamatan digital semasa. Bagi memastikan penglibatan aktif peserta, setiap sesi pembelajaran dipadankan dengan permainan interaktif yang menguji kefahaman murid terhadap topik yang telah dipelajari.

Aktiviti ini disatukan melalui konsep penceritaan bertemakan adiwira dan penjahat digital, di mana peserta perlu menyelesaikan cabaran untuk menewaskan watak yang mewakili ancaman dalam talian.

Antara aktiviti utama ialah permainan “AI atau Tidak”, yang memerlukan murid mengenal pasti sama ada imej dihasilkan oleh AI atau manusia sebelum memberi justifikasi. Pendekatan ini mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan serta menggalakkan pemikiran kritis dan perbincangan aktif. Fasilitator membimbing murid dalam kumpulan kecil bagi memastikan komunikasi lebih berkesan sepanjang bengkel.

Menurut Cikgu Luqman dari SKKGV, pihak sekolah berpuas hati dengan pelaksanaan program tersebut. Beliau memuji pengisian, kaedah penyampaian serta kreativiti fasilitator yang berjaya menarik minat murid melalui bahan bantu mengajar dan aktiviti interaktif.

Tambah beliau, ramai peserta aktif mencatat nota sepanjang sesi, menunjukkan kandungan yang disampaikan bermanfaat. Beliau turut berharap program ini dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah pada masa hadapan.

Fasa kedua projek dilaksanakan melalui laman sesawang dengan kerjasama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya. Peserta menjalani tinjauan sebelum dan selepas bengkel bagi menilai keberkesanan program serta tahap kesedaran terhadap AI dan keselamatan digital.

Dapatan menunjukkan peningkatan ketara dalam kefahaman peserta, dengan pemahaman konsep AI meningkat daripada 72.7 peratus kepada 92.3 peratus. Peserta juga lebih sedar tentang kepentingan menyemak maklumat serta memahami manfaat dan risiko AI, sekali gus membentuk sikap yang lebih kritis dan bertanggungjawab terhadap penggunaan teknologi digital.

Menurut penyelia projek, Dr. Zalina Abdul Halim, inisiatif ini mencerminkan matlamat SULAM yang menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan masyarakat serta membangunkan kemahiran pelajar dalam kepimpinan, penyelidikan, komunikasi dan kerja berpasukan.

Beliau turut menyifatkan projek tersebut sebagai satu pencapaian yang membanggakan hasil usaha dan komitmen pelajar sepanjang beberapa bulan perancangan dan pelaksanaan. Menurut beliau, walaupun masih berada pada tahun pertama pengajian, para pelajar telah menunjukkan tahap profesionalisme, kemahiran penyelidikan dan kualiti kerja yang tinggi dalam menjayakan projek berimpak besar kepada masyarakat.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada SKKGV atas kerjasama, sokongan dan komitmen sepanjang pelaksanaan projek ini. Penglibatan sekolah dalam penyelarasan peserta, logistik dan pengurusan telah memastikan kelancaran program. Penganjur turut menghargai penglibatan aktif murid yang menyumbang kepada kejayaan bengkel.

Kesimpulannya, projek “AI & Saya: Mengajar Kanak-Kanak Menggunakan Internet Dengan Selamat” berjaya menggabungkan pendidikan perundangan, teknologi dan pembelajaran interaktif dalam memperkasakan ketahanan digital kanak-kanak, di samping melahirkan generasi muda yang lebih berpengetahuan, kritis dan bertanggungjawab dalam dunia digital.