microLEAP, Persatuan FootGolf Malaysia jalin kerjasama strategik
microLEAP memeterai kerjasama strategik bersama Persatuan FootGolf Malaysia (FGAM) dalam usaha memperkasa pembangunan serta kebolehcapaian sukan FootGolf di seluruh negara.

KUALA LUMPUR, 16 Julai 2025 – microLEAP, platform pembiayaan P2P Patuh Syariah dan Konvensional pertama di Malaysia memeterai kerjasama strategik bersama Persatuan FootGolf Malaysia (FGAM) dalam usaha memperkasa pembangunan serta kebolehcapaian sukan FootGolf di seluruh negara.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama dan sidang media yang berlangsung pada 4 Julai 2025 menyaksikan langkah bersejarah antara kedua-dua pihak ke arah merancakkan penglibatan komuniti serta memperluas jangkauan sukan yang menggabungkan elemen bola sepak dan golf itu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Muzaffar berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat, selari dengan prinsip keterangkuman kewangan dan inovasi.
“Di microLEAP, kami percaya bahawa ‘langkah kecil mampu mencipta impak besar’. Gabungan nilai sukan FootGolf yang merangkumi kemahiran, strategi dan kebolehcapaian amat sejajar dengan misi kami. Dengan menyokong FGAM, kami berharap dapat memperkukuh platform untuk membangunkan sukan ini serta memperluas penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Persatuan FootGolf Malaysia merupakan badan induk rasmi bagi sukan itu di negara ini dan giat mempromosikannya menerusi penganjuran kejohanan, pembangunan fasiliti serta penglibatan komuniti.
Naib Presiden FGAM, Jeffrey Cottam menyifatkan kerjasama bersama microLEAP sebagai satu detik penting dalam landskap pembangunan sukan FootGolf di Malaysia.
“Sokongan strategik ini akan membantu kami meluaskan liga, menganjurkan lebih banyak kejohanan serta menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengenali dan menyertai sukan ini. microLEAP adalah rakan penting dalam usaha kami menjadikan FootGolf sebagai sukan untuk semua,” katanya.
FGAM sebelum ini berjaya menganjurkan Piala Asia FootGolf 2024 yang menghimpunkan penyertaan dari enam negara termasuk Jepun, China, Korea Selatan, Australia dan Chinese Taipei, dengan Malaysia meraih tempat pertama dalam kategori Terbuka Wanita, serta tempat kedua bagi kategori Terbuka Lelaki dan Veteran Lelaki.
Malaysia turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik dunia pada Piala Dunia FootGolf 2023 di Orlando, Florida, dan kini menyasarkan kejayaan lebih besar pada kejohanan akan datang di Acapulco, Mexico.
Melalui kerjasama ini, microLEAP dijangka memberikan sokongan terhadap penganjuran kejohanan dan liga anjuran FGAM, sekaligus mempertingkatkan pengalaman peserta, meluaskan liputan media dan menggalakkan penyertaan lebih meluas dari pelbagai komuniti di Malaysia.