Adakah mereka ancaman atau hidupan yang perlu diurus?

Interaksi antara kera dan manusia telah menimbulkan pelbagai masalah, termasuk gangguan terhadap keselamatan, kebersihan dan keselesaan warga kampus.

Feature Image

PERNAHKAH anda berdepan situasi di mana makanan yang baru dibeli dirampas oleh seekor kera dalam sekelip mata? Situasi seperti ini mungkin kedengaran luar biasa tetapi bagi sesetengah warga kampus yang dikelilingi kawasan hijau dan habitat semula jadi hidupan liar, kejadian sebegini bukanlah sesuatu yang asing.

Kehadiran monyet ekor panjang (Macaca fascicularis) di sekitar kampus telah menjadi satu fenomena yang semakin biasa, terutamanya di kawasan yang berhampiran dengan hutan atau mempunyai litupan hijau yang luas.

Walaupun haiwan ini merupakan sebahagian daripada ekosistem semula jadi, interaksi yang semakin kerap antara kera dan manusia telah menimbulkan pelbagai masalah, termasuk gangguan terhadap keselamatan, kebersihan dan keselesaan warga kampus.

Bagi kebanyakan warga kampus, kehadiran kera bukan lagi sekadar pemandangan biasa tetapi sudah menjadi sebahagian dari realiti yang mengganggu rutin harian. Interaksi yang semakin kerap antara manusia dan haiwan liar ini telah menimbulkan pelbagai gangguan yang memberi kesan secara langsung terhadap keselamatan, kebersihan mahupun kesejahteraan seluruh komuniti.

Persoalannya, adakah kehadiran hidupan liar ini benar-benar satu ancaman mutlak atau adakah ia sebenarnya berpunca daripada aktiviti dan sikap manusia sendiri yang mengundang mereka?

Antara insiden yang sering dilaporkan ialah kehilangan barangan peribadi, khususnya pakaian yang disidai di kawasan terbuka. Dalam beberapa kes yang tular di media sosial, sekumpulan kera dilihat menceroboh kawasan ampaian di kolej kediaman dan membawa lari pakaian pelajar ke kawasan yang berhampiran.

Walaupun kejadian seperti ini sering dianggap lucu dan remeh bagi sesetengah pihak, hakikatnya ia tetap memberi kesan terhadap pelajar yang terpaksa menanggung kerugian serta kesulitan harian.

Selain itu, gangguan juga sering berlaku apabila kera menceroboh ruang kediaman pelajar, terutamanya bilik asrama yang tidak ditutup dengan sempurna. Terdapat banyak laporan di mana pelajar mendapati bilik mereka berselerak dengan barang peribadi dirosakkan atau diambil oleh haiwan tersebut.

Situasi ini bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah boleh mencetuskan rasa takut dan trauma, terutamanya apabila pelajar berdepan secara langsung dengan haiwan yang bertindak agresif di ruang yang kecil dan sempit yang tidak dijangka.

Isu kecurian makanan pula menjadi antara gangguan paling kerap berlaku di kawasan kolej kediaman. Kera yang sudah terbiasa dengan kehadiran manusia akan memanfaatkan sebarang peluang untuk mendapatkan makanan, sama ada dari tangan pelajar, tong sampah mahupun bungkusan makanan yang tidak diawasi.

Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan tetapi juga mengganggu rutin harian pelajar yang bergantung kepada makanan yang dibeli ataupun yang ditempah.

Selain gangguan fizikal dan emosi, konflik manusia dan kera turut membawa risiko dari sudut kesihatan. Haiwan liar berpotensi membawa penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia melalui gigitan, cakaran atau sentuhan dengan sisa yang tercemar.

Walaupun risiko ini tidak sentiasa berlaku, ia tetap menjadi faktor yang perlu diberi perhatian serius dalam pengurusan hidupan liar di kawasan kampus. Tambahan pula, tingkah laku agresif kera seperti merampas makanan secara tiba-tiba juga boleh menyebabkan kecederaan ringan kepada pelajar. Oleh itu, isu ini tidak boleh dianggap remeh kerana melibatkan aspek keselamatan komuniti kampus secara keseluruhan.

Walaupun pelbagai gangguan yang ditimbulkan oleh kera menjadi tumpuan utama, adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada haiwan tersebut tanpa memahami konteks yang lebih luas. Untuk menilai isu ini secara lebih objektif, kita perlu melihatnya dari sudut ekologi serta hubungan yang kompleks antara manusia dan hidupan liar.

Kebanyakan kawasan universiti di Malaysia dibangunkan berhampiran atau di dalam kawasan yang suatu ketika dahulu merupakan habitat semula jadi pelbagai spesies haiwan, termasuklah kera. Seiring dengan perkembangan pesat pembangunan kampus, kawasan hutan semakin mengecil dan terpecah, menyebabkan sumber makanan semula jadi haiwan ini turut berkurangan. Keadaan ini secara tidak langsung memaksa mereka untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu yang dikuasai oleh manusia.

Apabila habitat asal semakin terhad, kera mula meluaskan kawasan pencarian makanan mereka sehingga memasuki kawasan kolej kediaman, kafeteria dan bangunan akademik universiti. Dalam konteks ini, konflik yang berlaku bukanlah semata-mata kerana haiwan tersebut “menceroboh”, tetapi juga kerana berlakunya perubahan besar terhadap landskap semula jadi yang sebelum ini menjadi tempat tinggal mereka.

Tambahan pula, kera merupakan haiwan yang sangat memainkan peranan yang penting dalam ekosistem sebagai penyebar biji benih yang membantu proses regenerasi hutan. Tanpa kewujudan spesies seperti ini, keseimbangan ekosistem dan ekologi boleh terganggu dalam jangka masa yang panjang. Oleh itu, pendekatan yang hanya berfokus kepada penghapusan populasi tidak akan menyelesaikan masalah secara mampan, sebaliknya boleh membawa kepada kesan ekologi yang besar.

Salah satu faktor utama yang mempercepatkan konflik antara manusia dan kera di kawasan kampus ialah tabiat memberi makan kepada kera, sama ada secara sengaja mahupun atas dasar kasihan. Amalan ini sering dianggap tidak berbahaya atau bahkan “baik”, sebenarnya memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap tingkah laku kera itu sendiri.

Apabila kera terbiasa menerima makanan daripada manusia, mereka akan mula mengaitkan kehadiran manusia dengan sumber makanan yang mudah diperoleh. Lama-kelamaan, mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber makanan semula jadi di hutan, sebaliknya menjadi lebih berani menghampiri kawasan kediaman, kafeteria dan ruang awam di kampus. Situasi ini akhirnya boleh membawa kepada tingkah laku agresif seperti merampas makanan secara paksa apabila makanan tidak diberikan.

Dalam konteks ini, apa yang sering dianggap sebagai “sedekah makanan” sebenarnya bukanlah satu bentuk kebaikan kepada haiwan tersebut, sebaliknya ia boleh dilihat sebagai satu bentuk “latihan” tidak langsung yang mengubah tingkah laku semula jadi kera menjadi lebih bergantung kepada manusia. Akibatnya, konflik yang berlaku bukan sahaja semakin kerap, tetapi juga semakin sukar dikawal.

Selain perubahan tingkah laku individu, pihak universiti juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mengurangkan konflik ini. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah penyediaan tong sampah berkunci di kawasan tumpuan, peningkatan kekerapan kutipan sisa makanan serta pemasangan papan tanda larangan memberi makanan kepada haiwan liar.

Di samping itu, pendekatan jangka panjang seperti reka bentuk infrastruktur mesra hidupan liar, pemantauan kawasan hotspot serta kerjasama berkala dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) boleh membantu menguruskan populasi kera secara lebih berkesan dan beretika.

Secara tuntasnya, konflik antara manusia dan kera di kawasan universiti bukan sekadar isu gangguan haiwan liar tetapi cerminan kepada hubungan kompleks antara pembangunan manusia dan kelestarian alam. Ia menuntut pendekatan yang seimbang antara keselamatan manusia dan pemeliharaan ekosistem. Kampus yang lestari bukan sahaja diukur melalui kecemerlangan akademik tetapi juga melalui keupayaan warganya untuk hidup secara harmoni dengan alam sekitar.

Dengan kesedaran, disiplin dan pengurusan yang betul, konflik ini boleh dikurangkan dan keseimbangan antara manusia dan hidupan liar dapat dicapai. Bak kata peribahasa, “bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak”, setiap tindakan perlu dilakukan dengan berhati-hati agar kepentingan manusia dan kelestarian hidupan liar dapat dipelihara secara serentak.