UM teruskan tradisi ‘scrabble’ antarabangsa melalui ASCI ke-18
ASCI 2025 sekali lagi membuktikan mahasiswa UM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berdaya saing serta berwibawa sebagai pemimpin muda di peringkat antarabangsa.

Oleh: DR. MOHD NUR ASHRAF MOHD YUSOFF dan NOR ARISSA YASMIN ABDUL MOMEN
KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2025 – Kejohanan ASTAR Scrabble Challenge International (ASCI) 2025 sekali lagi mengharumkan nama Universiti Malaya (UM) di persada antarabangsa apabila mahasiswa institusi itu berjaya menganjurkan kejohanan Scrabble bertaraf dunia edisi ke-18 dengan penuh komitmen dan profesionalisme.
Kejohanan berprestij itu dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar Kolej Kediaman Tuanku Abdul Rahman (KK1) dengan kerjasama Persatuan Scrabble Malaysia (MSA) serta World English-Language Scrabble Players Association (WESPA).
Berlangsung selama dua hari bermula 31 Mei lalu di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (KPPI) UM, ia menghimpunkan seramai 228 peserta termasuk 51 pemain antarabangsa dari tujuh negara iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Filipina, Sweden dan New Zealand.
ASCI terus mengekalkan reputasinya sebagai platform sukan minda paling berprestij di rantau ini dan kini diiktiraf antara kejohanan Scrabble Collins terbesar di dunia.
Lebih membanggakan, keseluruhan pengurusan pertandingan dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa KK1 meliputi aspek logistik, komunikasi antarabangsa, penyelarasan teknikal dan pengurusan kejohanan, sekali gus mencerminkan tahap profesionalisme dan kompetensi mahasiswa UM dalam menggalas tanggungjawab berskala antarabangsa.
Penasihat Program ASCI 2025, Dr Mohd Nur Ashraf Mohd Yusof berkata kejayaan itu membuktikan mahasiswa mampu memikul amanah besar apabila diberi ruang dan kepercayaan.
“Pelajar kami menunjukkan kepimpinan luar biasa. Mereka menguruskan kejohanan ini hampir sepenuhnya secara kendiri dan hasilnya amat membanggakan. Ini bukti nyata bahawa mahasiswa mampu menyerlah sebagai penganjur bertaraf antarabangsa,” katanya.
Turut memeriahkan pertandingan ialah legenda Scrabble, Nigel Richards dari New Zealand, selain pemain ternama seperti Hubert Wee dan Toh Wei Bin (Singapura) serta Thacha Koowirat (Thailand). Malaysia pula diwakili pemain elit termasuk William Kang, Kong Chock Heng, Tan Zi Kang dan Ahmad Amirul Hakimi Mohamad.
Kehadiran tokoh penting seperti Manop Phiphatboonserm (Thailand), Douglas Tsang (Hong Kong) serta Presiden MSA, Mohamad Ali Ismail turut menyemarakkan suasana kejohanan.
Bertemakan ‘Tile Your Destiny’, penganjuran tahun ini bukan sahaja menonjolkan elemen strategi dalam permainan Scrabble, malah menyampaikan mesej bahawa setiap langkah umpama menyusun huruf di papan permainan mampu membentuk arah tuju dan masa depan seseorang.
Penasihat Bersama ASCI 2025, Nor Arissa Yasmin Abdul Mo’men berkata slogan itu relevan bukan sahaja kepada pemain, malah pasukan penganjur.
“Nilai yang terkandung dalam tema ini seperti perancangan strategik, ketelitian dan semangat juang jelas terpancar dalam setiap aspek penganjuran ASCI 2025. Saya berbangga melihat mahasiswa menghayati dan menterjemahkannya dengan penuh dedikasi, profesionalisme dan kepimpinan tersusun,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek ASCI 2025, Vanessa Ting Mei Yu yang juga penerima Anugerah Ikon Kepimpinan ASTAR (Kategori Individu) sempena ASTAR Gala Night baru-baru ini, menyifatkan pengalaman itu sebagai medan latihan kepimpinan yang amat bermakna.
“ASCI bukan sekadar kejohanan tetapi platform sebenar untuk kami belajar mengurus masa, menangani tekanan, mengendalikan logistik dan berkomunikasi secara efektif dengan pemain antarabangsa. Kejayaan ini hasil usaha gigih seluruh jawatankuasa sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
ASCI mula dianjurkan pada 2006 dan pernah mencatat penyertaan tertinggi sebanyak 500 peserta pada 2017. Walaupun dihentikan seketika pada 2020 akibat pandemik COVID-19, kejohanan itu kekal sebagai antara pertandingan Scrabble paling berprestij di rantau ini.
Kejayaan penganjuran ASCI 2025 sekali lagi membuktikan mahasiswa UM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berdaya saing serta berwibawa sebagai pemimpin muda di peringkat antarabangsa.