Majlis penyampaian anugerah Toym rai bakat serantau

Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro & Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm melabuhkan tirai dengan kejayaan gemilang

Poster Terkini (1)

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) – Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro dan Pertandingan Drama Mikro Terbaik anjuran Thousands of Years Media (ToYm) dengan kerjasama Sunstrong Entertainment, ToYm Wardrobe, WMD dan Flowers.com.my melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang pada malam Ahad lalu.

Majlis yang berlangsung di Majestic Marine Ballroom @ Confetti KL, Mines 2 itu menghimpunkan lebih 300 tetamu, termasuk pencipta kandungan, wakil industri filem dan media tempatan serta antarabangsa.

Sejak penyertaannya dibuka, kedua-dua pertandingan menerima lebih 300 penyertaan daripada penulis skrip dan penggiat kreatif dari Malaysia, China, Hong Kong dan Taiwan, sekali gus mencerminkan pengaruh dan pengiktirafan ToYm yang semakin meluas di peringkat serantau.

Pengasas ToYm dan Sunstrong Entertainment, Jment Lim dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa meskipun dunia tidak sempurna, setiap individu masih mampu memberi sumbangan bermakna ke arah menjadikan dunia lebih baik.

“ToYm komited dalam memperkasakan kandungan kreatif melalui pelbagai inisiatif seperti Pertandingan Idol Bintang Baharu, Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro dan Pertandingan Drama Mikro Terbaik, sekali gus membuka peluang luas kepada bakat tempatan untuk menyerlah,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua syarikat terus memberi fokus kepada penghasilan kandungan filem, drama mikro dan muzik berkualiti. Antara pencapaian membanggakan termasuk filem Snow in Midsummer yang meraih anugerah ‘Uncaged Award for Best Feature Film’ di Festival Filem Asia New York ke-23 serta ‘Firebird Award for Best Film’ dalam kategori ‘Young Cinema Competition (Chinese-Language)’ di Festival Filem Antarabangsa Hong Kong ke-48.

Filem berkenaan turut ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Venice, menjadikan ia antara karya tempatan yang berjaya menembusi pentas antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, drama mikro In Character mencipta sejarah apabila menjadi drama mikro berbahasa Cina pertama negara yang mencapai lebih 14 juta tontonan, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam dunia kandungan digital tempatan.

Jment turut mengumumkan perancangan ToYm untuk menerbitkan sekurang-kurangnya lima lagi drama mikro merangkumi pelbagai genre, termasuk kandungan berbahasa Melayu dan bertemakan perayaan bagi mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.

Majlis anugerah turut menyaksikan kemunculan sulung artis wanita pertama ToYm, Fatimah Noryyah yang memukau penonton dengan persembahan tiga bahasa menerusi lagu Always Remember Us This Way, Bukan Cinta Biasa nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza serta lagu klasik Mandarin Tibetan Plateau.

Fatimah menampilkan potensi sebagai bakat serba boleh yang bakal digilap sebagai aset seni masa depan di bawah naungan ToYm.

Hadiah Utama
Tajuk: Murderous Girl
Hadiah Wang Tunai: RM30,000.00

Naib Juara
Tajuk: The Invisible Killer
Hadiah Wang Tunai: RM20,000.00

Sagu Hati (Setiap pemenang menerima RM5,000.00)
1. GOKILL
2. Kepada Pelajar Baru (To New Students)
3. Office Battle Royale
4. A Very Tiring Day
5. Healing Hearts

Senarai Pemenang Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm

Hadiah Utama
Tajuk: The Girl from the Other Side of the Galaxy
Pencipta / Pasukan: Yap Khai Jing
Hadiah Wang Tunai: RM100,000.00

Naib Juara
Tajuk: STEP BACK
Pencipta: Khairi Hizami Bin Zalani
Hadiah Wang Tunai: RM50,000.00

Sagu Hati (Setiap pemenang menerima RM10,000.00)
1. Tajuk: The Delivery Vault
Pencipta / Pasukan: Emagina Studio

2. Tajuk: Devour
Pencipta: Chew Huat Yeow

3. Tajuk: Miss Ctrl+Z
Pencipta: FELIX TAI VOON BENG

4. Tajuk: Satu Malam di PJ
Pencipta / Pasukan: Haffez Amin / Codils Media and Rights Eye Army Legacy

5. Tajuk: She Is Coming
Pencipta: Goh Cheng How