MR.DIY raikan ulang tahun ke-20 dengan Konsert Gempak di Stadium Merdeka

Konsert berskala besar itu menampilkan barisan artis popular merentas generasi dan latar budaya, antaranya Ella, Amy Search, Datuk Awie, Shila Amzah, Jaclyn Victor, Jeryl Lee, Penny Tai dan kumpulan 3P.

unnamed

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2025 — Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Stadium Merdeka di ibu negara pada 11 Julai lalu bagi menyaksikan Konsert Ulang Tahun ke-20 MR.DIY, sempena sambutan dua dekad penubuhan syarikat peruncitan barangan rumah tempatan itu.

Konsert berskala besar anjuran MR.DIY itu menampilkan barisan artis popular merentas generasi dan latar budaya, antaranya Ella, Amy Search, Datuk Awie, Shila Amzah, Jaclyn Victor, Jeryl Lee, Penny Tai dan kumpulan 3P.

Persembahan pada malam itu bukan sekadar hiburan, malah menjadi simbol penghargaan MR.DIY kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2005.

Konsert dimulakan dengan persembahan bertenaga oleh penyanyi bertaraf antarabangsa, Shila Amzah yang mendendangkan tiga lagu dalam tiga bahasa iaitu Firework (Inggeris), Memori Tercipta (Bahasa Melayu) dan sebuah lagu Mandarin yang mencerminkan komitmen MR.DIY terhadap nilai keterangkuman dan keharmonian.

Kumpulan 3P turut mempersembahkan buat kali pertama lagu baharu mereka, selain dua lagu bertemakan perayaan sempena Tahun Baharu Cina dan Syawal Berseri untuk Hari Raya bagi menandakan penghormatan kepada kepelbagaian budaya rakyat Malaysia. Mereka juga mengumumkan kerjasama dengan kumpulan tari viral dari Jepun, Avantgardey untuk muzik video terbaharu mereka.

Jaclyn Victor dan Jeryl Lee pula menghangatkan pentas dengan lagu-lagu seperti Gemilang, Believer dan sebuah lahu Mandarin, manakala Jeryl turut menyampaikan lagu klasik Mandarin sebagai penghormatan kepada mendiang bapanya.

Penny Tai, yang kembali membuat persembahan di Malaysia, mengubat rindu peminat dengan lagu-lagu popular, menerima sambutan hangat daripada penonton yang mengangkat sepanduk bercahaya.

Sementara itu, legenda rock tanah air Amy Search menggegarkan stadium dengan lagu-lagu malar segar seperti Tiada Lagi, Fantasia Bulan Madu, Pawana dan Isabella, disusuli persembahan penuh tenaga Datuk Awie dengan lagu Sejati, Di Penjara Janji dan Terima Kasih.

Konsert ditutup dengan persembahan Ratu Rock Negara, Ella yang menyampaikan lagu Rama-Rama dan Sembilu, sebelum berduet bersama Jaclyn Victor dan Jeryl Lee dalam lagu patriotik Standing in the Eyes of the World, menyuntik semangat nasionalisme dan mengakhiri malam penuh gemilang itu dengan penuh kebanggaan.

Selain persembahan muzik, pelbagai aktiviti interaktif seperti zon foto bertema serta pemberian baucar makanan dan minuman turut disediakan di perkarangan stadium, mewujudkan suasana karnival mesra keluarga.

Sorotan utama malam itu adalah pertunjukan cahaya laser dan bunga api berirama tinggi yang menerangi langit Kuala Lumpur, melambangkan pencapaian gemilang syarikat dalam tempoh dua dekad.

MR.DIY dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan atas kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dan menyatakan komitmen untuk terus menawarkan produk berkualiti pada harga berpatutan.

“Sambutan ulang tahun ke-20 ini bukan sekadar perayaan tetapi satu komitmen yang diperbaharui. Kami akan terus mengekalkan prinsip ‘Harga Sentiasa Rendah’ dan berusaha memberi nilai terbaik kepada lebih banyak isi rumah di seluruh Malaysia, untuk 20 tahun akan datang dan seterusnya,” menurut kenyataan itu.