Plastik sampah jadi ‘talian hayat’ ketika hipotermia

Pendaki dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan keselamatan di Hutan Simpan Kekal (HSK) sebelum memulakan sebarang aktiviti.

Feature Image (2)

KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2025 – Tragedi yang meragut nyawa seorang pendaki Mustaqqeem Mansoor di Gunung Liang, Perak baru-baru ini menjadi peringatan tentang bahaya kesejukan melampau di kawasan pendakian dan betapa pentingnya ilmu asas bertahan hidup dalam cuaca ekstrem.

Tragedi itu membuka mata banyak pihak mengenai bahaya hipotermia, situasi apabila suhu badan turun secara mendadak akibat kesejukan, dan setiap pendaki perlu memahami risiko ketika pendakian dilakukan dalam keadaan cuaca lembap, berangin dan suhu rendah di puncak gunung.

Di sebalik tragedi duka itu, Pengerusi Persatuan Malim Gunung Negeri Selangor Mohamad Azuan Abdullah mengingatkan pendaki supaya tidak memandang ringan keperluan asas bertahan hidup termasuk kepingan ‘plastik hitam’ yang sering dianggap tidak penting.

Azuan yang berpengalaman 30 tahun dalam dunia pendakian berkata plastik sampah bukan sekadar alat mengumpul sisa, sebaliknya dianggap barangan ultra ringan yang wajib dibawa pendaki dan Malim Gunung Perhutanan (MGP) kerana sifatnya yang ringan, mudah disimpan dan sangat berguna ketika suhu badan turun mendadak.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata dalam situasi tanpa peralatan utama seperti baju kalis angin dan selimut, plastik sampah mampu menjadi alat memanaskan badan, malah sangat efektif dalam keadaan kecemasan.

“Koyakkan pada bahagian bawah dan sarungkan di kepala sebagai pakaian, automatik badan akan panas tidak sampai 5 minit sebab udara di dalam akan terkumpul tetapi ia perlu di pantau sebab bila terlampau lama di dalam plastik sampah, badan terkepung dan akan jadi wap air yang menyumbang pula kepada hipotermia,” katanya.

Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia pada 3.30 petang 16 Khamis lepas, di puncak Gunung Liang Barat selepas memulakan pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang. 

Jenazah dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba pada 2.45 petang semalam, dan bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan hipotermia. 

Mengulas lanjut mengenai hipotermia, Azuan berkata keadaan itu berlaku apabila tubuh seseorang berada dalam kesejukan terlalu lama termasuk apabila memakai pakaian basah selepas berpeluh.

Beliau yang juga MGP bertauliah sejak 2022 berkata pendaki yang menunjukkan tanda-tanda hipotermia biasanya akan menggeletar, menjadi pasif dan akhirnya tertidur, yang boleh membawa kepada keadaan berbahaya jika tidak dipantau. 

“Biasanya, kalau kami tengok di lapangan, mangsa akan diam, menggigil dan makin lama makin lemah. Kami akan pastikan dia jangan tidur sebab kalau terus tidur, oksigen tak dapat dikawal dan boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Azuan yang telah melengkapkan kursus Wilderness Life Support (WLS) turut menasihatkan pendaki agar membuat persediaan rapi sebelum memulakan pendakian, termasuk memastikan tahap kesihatan diri dalam keadaan baik serta membawa kelengkapan asas seperti lampu kepala, alat komunikasi, bateri tambahan, ubat-ubatan dan jaket kalis angin.

Bagi menghadapi cuaca sejuk ekstrem, beliau menyarankan beberapa langkah tambahan seperti menyalakan unggun api, minum air panas dan melakukan ‘pemindahan haba badan’ iaitu teknik menggunakan haba badan ke badan untuk memanaskan mangsa.

Azuan pada masa sama menasihatkan pendaki agar sentiasa mematuhi peraturan keselamatan di Hutan Simpan Kekal (HSK) sebelum memulakan sebarang aktiviti.

Beliau berkata setiap pendaki wajib memiliki permit HSK yang sah, manakala mereka yang menggunakan khidmat MGP atau penunjuk arah dinasihatkan supaya meminta salinan permit daripada pihak berkenaan sebagai langkah semakan keselamatan.

“Kalau penunjuk arah atau MGP yang bertugas tak dapat tunjukkan permit, itu dah dikira ‘amaran awal’ Sebaiknya aktiviti jangan diteruskan sebab ia boleh membahayakan keselamatan dan menyalahi peraturan,” katanya. — BERNAMA